Sunday, August 30, 2015

Orang Melayu atau Umno ke yang kesal tu.........?

Orang Melayu paling kesal Dr Mahathir datang Bersih 4, kata Utusan
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyertai perhimpunan Bersih 4 buat seketika malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 30 Ogos, 2015.

Orang Melayu dianggap Utusan Malaysia hari ini, yang paling terkilan apabila mengetahui bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri perhimpunan Bersih 4 di Dataran Merdeka semalam.

Melalui ruangan pojok akhbar milik Umno itu, Awang Selamat berkata ia kerana Dr Mahathir sebelum ini dikenali dengan prinsipnya yang begitu tegar menolak perhimpunan haram.

"Kehadiran Dr Mahathir dan isterinya buat seketika di lokasi perhimpunan Bersih 4 mengundang pelbagai tafsiran.

"Bagi penganjur dan peserta Bersih 4, ia dilihat sebagai tanda sokongan beliau kepada perhimpunan itu.

"Namun daripada banyak maklum balas diterima, terutama orang Melayu, melahirkan rasa tidak selesa dan terkilan dengan penampilan beliau," tulisnya dalam akhbar Utusan edisi mingguan.

Awang berkata, Dr Mahathir dahulunya pernah berdepan dengan siri demonstrasi haram dan liar daripada penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, katanya, bekas perdana menteri itu tidak pernah mengalah, malah sering membidas keras budaya perhimpunan haram.

"Untuk sekian lamanya majoriti rakyat bersama-sama mempertahankan beliau daripada gelombang demonstrasi.

"Tetapi Dr Mahathir tetap dengan karakter Dr Mahathir. Beliau boleh buat apa yang beliau mahu walaupun bercanggah dengan pendiriannya dulu dan sekarang dalam soal tersebut," katanya.

Awang tegas membidas penampilan Dr Mahathir dengan menyatakan ia perkara tidak wajar, bagaimanapun menyerahkan kepada rakyat untuk menilainya. – 30 Ogos, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/orang-melayu-paling-kesal-dr-mahathir-datang-bersih-4-kata-utusan#sthash.e0CkQpL4.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-