Wednesday, August 31, 2022

Rakyat sudah tahu siapa UMNO, BN, kata Timbalan Presiden PAS

agendaily.com
31/08/2022
Antara skandal terbesar pernah direkodkan ialah melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disifatkan sebagai skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia membabitkan pemimpin tertinggi BN dan UMNO, hingga memalukan Malaysia.

PAS bersedia berdepan Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang kerana menyedari rakyat sudah faham dan merasai bagaimana negara diperintah oleh gabungan itu sejak puluhan tahun lalu.

Sehubungan itu, PAS kekal dengan pendirian untuk terus bersama Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan menghadapi parti lain dalam PRU-15 nanti, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Tapi kalau BN kata buat keputusan macam Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) sebut, Presiden UMNO sebut, dia nak bertanding solo, okey kita lawan.

“Kita lawan. Bagi PAS, rakyat dah rasa macam mana pemerintahan BN, berpuluh tahun.

“Rakyat dah tahu macam mana, apa akibatnya, apa kesannya, apa semua rakyat tahu dah. Pemerintahan Pakatan Harapan (PH), rakyat pun dah rasa 22 bulan. Macam mana pemerintah PH,” katanya.

Untuk rekod, BN dan UMNO yang memerintah negara sejak merdeka hingga PRU-14 pada 2018 lalu telah banyak melakukan pembangunan, namun pada masa sama pemimpin gabungan itu turut terpalit dengan pelbagai skandal, termasuk rasuah dan jenayah, melibatkan berbilion-bilion wang rakyat.

Antara skandal terbesar pernah direkodkan ialah melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disifatkan sebagai skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia membabitkan pemimpin tertinggi BN dan UMNO, hingga memalukan Malaysia.

Baru-baru ini tercetus pula skandal yang melibatkan sistem pertahanan negara, apabila sebanyak RM6 bilion wang kerajaan telah dibelanjakan bagi perolehan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) untuk Kementerian Pertahanan, gagal disiapkan.

Projek itu turut dimulakan ketika BN memerintah negara yang turut dikaitkan dengan beberapa pemimpin UMNO, termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Pertahanan ketika itu.

Sementara itu, mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata fleksibiliti memilih rakan dalam politik sentiasa mengambil kira kekuatan yang ada, misalnya tanpa berpakat di Selangor, maka PH akan kekal menang, menyebabkan UMNO merasakan perlu bersama PAS di negeri itu.

Katanya PAS berpendirian gabungan antara parti-parti politik mesti berlaku ketika ini iaitu sebelum PRU-15 dan bukannya sebagaimana kemahuan BN untuk menentukan perkara tersebut selepas itu.

“Penentuan rakan politik mesti dibuat sekarang untuk memberitahu rakyat akan hala tuju gabungan dan kerajaan selepas PRU-15.

“Pada ketika ini PAS adalah sebahagian dalam komponen PN dan sudah pasti bersama gabungan tersebut pada PRU-15 nanti, namun masih mengalu-alukan penyertaan UMNO-BN.

“PAS berpendirian jelas bahawa sedia berkongsi pemerintahan atau berada dalam gabungan untuk bersama di mana ia mesti berlaku secara kuat menerusi penyatuan yang turut melibatkan Bersatu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-