Sunday, August 2, 2015

Umno cawangan mana yang berani sangat berusul tu.......?

Umno cawangan usul ‘lebih agresif’ terhadap Najib jika gagal jawab dakwaan

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikatakan perlu memberi jawapan terhadap dakwaan yang melanda kepimpinannya, jika tidak, tindakan 'agresif' perlu dikenakan terhadapnya.Gambar fail The Malaysian Insider, 2 Ogos, 2015.

Umno Cawangan Taman Datuk Amar Diraja mengusulkan agar kaedah yang lebih "agresif" diambil sekiranya Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak gagal memberikan jawapan terhadap dakwaan yang melanda kepimpinannya.

Usul yang dibawa pada mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kluang itu menyatakan isu membabitkan pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibu, syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pembelian jet peribadi, serta ekonomi Melayu, memerlukan jawapan yang jitu dan padu dari Najib.

"Sekiranya Najib tidak dapat mengemukakan jawapan yang padu, kami mengusulkan agar kepimpinan Umno di peringkat bahagian, negeri, mahupun Malaysia, memikirkan kaedah yang lebih agresif dan bersepadu dengan mengutamakan dan melebihkan parti berbanding individu," kata usul berkenaan.

"Sesungguhnya, sekiranya keadaan ini tidak diberi perhatian dan tindakan oleh barisan tertinggi kepimpinan Umno, kami selaku ahli Umno bimbang, parti keramat yang menjadi tunggak bangsa Melayu ini akan jatuh tersembam dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak," katanya.

Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menaikkan bendera di Dewan Pekan Rabu untuk majilis perasmian mesyuarat Umno Kluang di Johor.Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 2 Ogos, 2015.

Usul berkenaan menyebut, selama 2 penggal Najib menerajui kepimpinan negara, tiada sebarang tanda menunjukkan ekonomi bangsa Melayu mengalami peningkatan.

"Belum ada tanda-tanda sokongan masyarakat Cina bertambah, belum ada tanda-tanda kestabilan politik negara akan berlaku, sebaliknya isu demi isu didedahkan yang membabitkan Najib amat membimbangkan kami selaku ahli Umno dan penyokong tegar kerajaan Barisan Nasional (BN)," kata usul tersebut.

Mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kluang berlangsung hari ini di Dewan Pekan Rabu, Kluang, Johor dirasmikan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin digugurkan daripada jawatan timbalan perdana menteri dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Najib pada Selasa.

Beliau sebelum ini dilihat lantang mengkritik pentadbiran Najib, terutamanya membabitkan isu 1MDB yang dibebani skandal hutang berjumlah RM42 bilion.

Ketua Pemuda Umno Cawangan Bandar Bahagian Kluang, Azizul Ali, pagi ini dalam satu kenyataan berkata, tindakan Najib menggugurkan Muhyiddin daripada Kabinetnya membelakangkan 145,000 suara yang memilih beliau pada pemilihan parti sebelum ini.

"Ahli-ahli parti sentiasa mahukan supaya parti yang menguasai kerajaan. Perkara ini selalu disebut dalam Perhimpunan Agung Umno.

"Tetapi Najib nampaknya secara terang terangan mengabaikan suara ini dengan menggugurkan Muhyiddin daripada senarai Kabinet baharu.

"Dalam tradisi Umno, timbalan presiden adalah timbalan perdana menteri. Maknanya, orang yang diletakkan menjadi timbalan perdana menteri adalah timbalan presiden yang dipilih oleh ahli-ahli parti," katanya.

Azizul berkata, meskipun perdana menteri mempunyai kuasa prerogatif dalam memilih anggota Kabinet, tradisi Umno memperuntukkan ia dipandu keputusan parti.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran, sekiranya Najib gagal menghormati ahli parti, perkara sama akan turut berlaku kepadanya. – 2 Ogos, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/umno-cawangan-usul-lebih-agresif-terhadap-najib-jika-gagal-jawab-dakwaan#sthash.94GcuLgB.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-