Showing posts with label Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Show all posts
Showing posts with label Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Show all posts

Tuesday, December 5, 2017

Tunggu gendang perang UMNO - Zahid

KUALA LUMPUR: Seluruh perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO 2017 diharap menunjukkan semangat cukup tinggi menunggu gendang perang menuju Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dipalu oleh Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang memangku tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO melahirkan harapan itu ketika ditemu bual oleh Utusan Online ketika melawat Laman Media di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pagi.

Beliau yang ditanya harapan terhadap lebih 5000 perwakilan ke perhimpunan kali ini yang dianggap terbesar dan paling signifikan menjelang PRU-14.

"Semangat cukup tinggi terutama apabila tunggu gendang perang dipalu oleh Presiden pada waktu sama, kali ini mungkin hampir kesemua ketua cawangan seluruh negara akan berada di PWTC dan semangat ini memperlihatkan kebersamaan akar umbi ke atas," katanya.

- Utusan Online

Friday, September 22, 2017

3 bekas MB bergabung untuk rampas Selangor

Bernama
Tiga bekas menteri besar Selangor akan bergabung bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menawan kembali negeri tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata penyertaan semula Tan Sri Muhamad Muhamad Taib dalam UMNO juga memberi aura baharu buat BN di negeri itu.

"Kita dah bincang...bukan sahaja dengan Tan Sri Muhamad Muhamad Taib, tetapi Insya-Allah kita ada Tan Sri Abu Hassan Omar dan Dr Mohd Khir Toyo yang mana ketiga-tiga bekas menteri besar ini akan berganding bahu bersama saya untuk pastikan kemenangan BN di negeri ini.

"Mereka ini (menteri besar) tak pandang jawatan, apa yang penting mereka nak lihat apa yang dilaksanakan dahulu ada kesinambungannya...bukan seperti sekarang. Apa yang kerajaan negeri Selangor dah buat?,"katanya.

Noh, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tiga kawasan perumahan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua dan Kajang, dekat Kuala Lumpur, hari ini.

Noh juga mengulangi kenyataannya mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memeriksa semua pusat tahfiz, pondok dan madrasah di seluruh negara susulan kebakaran pusat tahfiz di Kampung Datuk Keramat di ibu negara yang mengorbankan 23 nyawa, Khamis lepas.

"Saya arahkan Bomba untuk memeriksa semua pusat tahfiz dan nasihatkan pihak pengurusan apa yang perlu diperbaiki...kalau pendawaian tak betul, struktur bangunan tak mengikut aspek keselamatan, bagi mereka (pengurusan) tempoh untuk baik pulih dua tiga bulan mengikut budi bicara.

"Bila dah sampai tempohnya, tindakan drastik akan diambil sama ada untuk tutup pusat berkenaan atau membawa kes tersebut ke mahkamah. Dalam masa terdekat ini saya sendiri juga akan turun padang membuat pemeriksaan," katanya.

Beliau berkata hal keselamatan bukan hanya perlu diutamakan di sekolah tahfiz sahaja tetapi juga di kawasan perumahan termasuk rumah pangsa.

Pada lawatan tersebut, Noh meluluskan peruntukkan sebanyak RM4 juta bagi membaik pulih prasarana di tiga perumahan iaitu Perumahan Taman Segar Perdana dan Taman Perkasa Fasa 1 di DUN Dusun Tua serta Rumah Pangsa Taman Kota Cheras di DUN Kajang.

- Bernama
Read more at https://www.malaysiakini.com/news/395948#W66V7RkGrz2xjLwP.99

Saturday, July 22, 2017

Menjelang PRU14, akar umbi PKR bimbang kesan perpecahan parti

Amin Iskandar

Walaupun PKR merupakan sebahagian daripada gabungan pembangkang yang kini semakin tersusun, pergaduhan secara terbuka di antara pemimpin utamanya membimbangkan ahlinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai 2017.

GABUNGAN bersama Bersatu sudah selesai tetapi bagi PKR, terdapat kebimbangan perpecahan dalaman yang akan menjejaskan peluang parti terbesar dalam Pakatan Harapan (PH) itu pada Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU14).

Walaupun PKR merupakan sebahagian daripada gabungan pembangkang yang sudah tersusun, pergaduhan secara terbuka di antara pemimpin utamanya membimbangkan ahli.

Pemimpin akar umbi berkata, kesannya dapat dilihat dengan maklumat bercanggah dan terdapat persoalan sama ada PKR dapat mempertahankan kerusi dimenangi pada pilihan raya sebelum ini jika tidak bersatu.

Perpecahan ketara dilihat di antara Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden Rafizi Ramli.

Tahun lalu, Rafizi membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah melibatkan pentadbiran Azmin yang merupakan menteri besar Selangor.

Azmin bagaimanapun menolak dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai kempen memburuk-burukkannya. Sehingga hari ini, masih belum jelas apakah status kes ini.

Walaupun pergaduhan secara terbuka sudah tidak lagi kedengaran, tetapi kesan perpecahan masih terasa di dalam PKR.

Dikatakan ini merupakan punca mengapa PH yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu terpaksa menangguhkan pengumuman senarai kepimpinan dan struktur selama lebih dua bulan.

Sesetengah pemimpin akar umbi mengatakan puncanya ialah apabila penyatu kepada pemimpin PKR Anwar Ibrahim dipenjarakan, sementara ada juga yang berpendapat pemimpin parti haruslah mengenepikan perbezaan.

Sebelum Anwar dipenjarakan pada 2015 disebabkan dakwaan liwat buat kedua kalinya, beliau mengetuai PKR yang bertanding di 99 kerusi Parlimen pada PRU13 dan memenangi 28 kerusi.

Sebelumnya pada PRU12, PKR memenangi 31 kerusi Parlimen, terbesar dalam sejarah parti yang ditubuhkan sejak 1999 itu.

Bagaimana mahu berdepan PRU14?

Pengarah Pilihan Raya PKR Kedah Ridhwan Razali berpandangan perpecahan berlaku di kalangan pemimpin tertinggi partinya disebabkan “kuasa penenang” iaitu Anwar kini terpenjara.

“Walaupun kadang-kala Anwar dapat ke mahkamah dan berjumpa pimpinan PKR, ia tidak cukup. Berbeza jika beliau berada di luar dan memimpin parti,” kata Ridhwan yang juga ketua Pemuda PKR Kedah kepada The Malaysian Insight.

“Kebimbangan saya ialah apakah polemik di antara pemimpin tertinggi ini akan berpanjangan sehingga berlakunya kekeliruan untuk menghadapi PRU14?”

Setiausaha PKR Cabang Kelana Jaya Najwan Halimi berkata, perpecahan pemimpin di peringkat atasan menyebabkan kekeliruan di kalangan pemimpin akar umbi.

“Nak dengar siapa? Nak ikut siapa? Sudah tentu perpecahan memberikan kesan kepada akar umbi di bawah.

“Ahli di bawah keliru. Arahan berbeza-beza. Nasib baik di Selangor program kerajaan negeri aktif, jadi penggerak PKR di peringkat bawah turut menjadi aktif,” katanya.
Setiausaha PKR Cabang Kelana Jaya Najwan Halimi bimbang perpecahan pemimpin atasan menyebabkan orang bawahan keliru kerana menerima arahan berbeza. – Gambar The Malaysian Insight, 22 Julai 2017.

Menurut Najwan, di peringkat akar umbi mereka terus melakukan kerja seperti biasa tanpa mahu melibatkan diri dengan pertengkaran pemimpin di peringkat nasional.

“Pimpinan PKR peringkat akar umbi perlu secara konsisten turun mendekati rakyat dengan membantu pelaksanaan dasar kerajaan negeri seperti Skim Peduli Sihat dan program kebajikan lain,” katanya.

Pengarah Komunikasi PKR Kelantan Mohd Sukirman Mustafa berkata, “perbezaan pendapat yang terlalu besar” dalam kalangan pemimpin utama parti itu menyebabkan kadangkala berlakunya pertindihan maklumat.

“Apa yang saya lakukan, apabila terdapat maklumat atau arahan bertindih, saya akan rujuk semula kepada PKR Pusat,” katanya.

“Apabila berlaku perbezaan pendapat yang besar di kalangan pemimpin, sudah pasti akan berlaku konflik. Tetapi saya percaya apabila dekat dengan pilihan raya nanti mereka akan kembali bersatu.”

Naib Ketua PKR Cabang Petaling Jaya Utara Fazly Razaly mengatakan perpecahan menyebabkan kesatuan dalam kalangan ahli terjejas kerana mereka juga merupakan pengikut kepada pemimpin nasional.

Untuk memastikan PKR terus relevan, beliau menegaskan pemimpin akar umbi dan ahli harus fokus menyelesaikan masalah rakyat.

“Kita tidak boleh menyerang isu nasional sahaja. Kita kena fikir apa yang rakyat mahu. Apa yang kita boleh beri atau apa yang kita akan selesaikan,” kata Fazly yang juga ahli Majlis Daerah Kuala Langat.

Bagi Timbalan Pengerusi PKR Pahang Ahmad Nizam Abdul Hamid, perpecahan berlaku kerana “perbezaan pendapat yang agak ketara” tidak diuruskan dengan baik.

“Saya mencadangkan agar ‘Council of Elders’ yang terdiri daripada pemimpin lama parti dan dihormati kedua-dua kumpulan ditubuhkan supaya perbezaan pandangan yang ketara di antara pemimpin PKR dapat diuruskan,” katanya.

Nizam mencadangkan agar pemimpin-pemimpin parti itu agar kembali ke asas perjuangan PKR sejak ditubuhkan sejak 1999 iaitu reformasi dan membela nasib rakyat.

“Yang menyedihkan, perbezaan itu hanya sedikit berbanding dengan persamaan di antara mereka.”

Perbezaan bermakna demokrasi 'hidup'

Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin bagaimanapun menafikan partinya mengalami perpecahan sebaliknya mengatakan perbezaan pendapat merupakan perkara biasa dalam amalan demokrasi.

“Memang terdapat banyak perbezaan pendapat. Kita bukan macam Umno, bila Najib Razak cakap semua hanya ikut.

“Umno hanya ikut satu suara sahaja, kita ada proses demokrasi,” kata ahli Parlimen Bayan Baru itu dalam wawancara bersama The Malaysian Insight baru-baru ini.

Sim mengakui pada waktu tertentu, memang terdapat perbezaan pendapat di kalangan pemimpin PKR dan ia ketahui umum.

“Tetapi ini merupakan sebahagian daripada proses di mana ahli politik mengalami proses kematangan.

“Mereka perlu belajar daripada kesalahan. Kadang-kala kita bergaduh secara terbuka tetapi kita belajar daripada itu. Cara ini tidak betul dan mereka perlu bertolak ansur,” katanya.
Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin melihat positif perbezaan pendapat di kalangan pemimpin partinya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 22 Julai 2017.

Berhubung dengan perbezaan pendapat di antara personaliti seperti Azmin dan Rafizi, Sim berkata kedua-dua pemimpin itu mempunyai kelebihan masing-masing.

“Azmin ada kekuatan dalam isu Melayu, hubungan dengan istana, pengalaman dalam pentadbiran negeri, hubungan dengan penjawat awam, dan isu luar bandar.

“Rafizi pula mempunyai pengikut yang terdiri daripada golongan intelek, pelbagai kaum, kelas menengah dan boleh memahami isu.”

Mengenai tuduhan badan bukan kerajaan (NGO) dimulakan sesetengah pemimpin PKR untuk memecahkan parti, Sim berkata ia merupakan langkah strategik untuk mendapatkan sokongan akar umbi.

“Nurul Izzah ada NGO sendiri, Change Makers. Rafizi ada Invoke. Masing-masing perlu buat kerja.

“Saya tidak fikir ini merupakan perkara tidak baik atau ‘parti di dalam parti’,” katanya mengulas kenyataan Ketua PKR Cabang Wangsa Maju Dr Tan Kee Kwong yang menyelar Rafizi kerana cuba memecah belahkan parti dengan menubuhkan Invoke. 

Wednesday, July 19, 2017

Akhirnya pembangkang ada pemimpin berkaliber terajui pucuk pimpinan

The Malaysian Insight
Dr Mahathir Mohamad menjadi satu-satunya pilihan bagi pihak pembangkang untuk menjatuhkan Najib Razak pada Pilihan Raya Umum ke-14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2017.

Apa yang boleh disumbangkan oleh lelaki berusia 92 tahun kepada sekumpulan ahli politik paling berpengalaman dan cerdik di Malaysia?

Sebagai permulaan, tenaga tak terbatas, arah dan etika kerja yang tidak dapat ditandingi – tiga ramuan yang hilang daripada barisan hadapan pihak pembangkang sejak beberapa tahun lalu atau lebih.

Inilah yang berlaku beberapa hari selepas Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim diumumkan akan bekerjasama dan bekas perdana menteri itu menjadi pemimpin de facto Pakatan Harapan (PH): mesyuarat diadakan; isu yang diketengahkan dalam mesyuarat segera diambil tindakan; kerja diagihkan dan draf manifesto serta perlembagaan parti diperkemaskan.

Ringkasnya, secara tiba-tiba terdapat banyak aktiviti di kalangan ahli politik PH yang selepas lebih 12 bulan hanya memberi penumpuan kepada perkara remeh-temeh, nampaknya terdapat keperluan segera menyelesaikan perkara dalaman parti dan pelan hala tuju berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mungkin untuk kali pertama sejak sekian lama, gabungan PKR, DAP, Amanah dan Bersatu nampaknya bergerak dalam satu arah – didorong keinginan Dr Mahathir untuk menjatuhkan Perdana Menteri Najib Razak dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.

Pasti ada isu kepercayaan di kalangan beberapa ahli politik pembangkang dan Dr Mahathir, satu situasi yang boleh difahami kerana ahli politik veteran itu adalah presiden Umno selama lebih dua dekad dan bertanggungjawab bagi senarai panjang kesalahan yang dilakukan semasa berkhidmat.

Dan ada kemungkinan yang "cinta" terkini antara Dr Mahathir dan Anwar atau pemimpin PH yang lain boleh berakhir secara dramatik disebabkan perkara kecil.

Tetapi pada masa sekarang, sentimen di dalam PH nampaknya adalah satu kelebihan besar mempunyai Dr Mahathir yang bertindak memberi arahan operasi – dan menerima serangan daripada Najib dan ahli politik Umno yang lain.

Sepanjang hujung minggu, ahli politik Umno silih berganti menyerang Dr Mahathir, memanggilnya pengkhianat dan pelbagai gelaran tidak elok untuk dinyatakan.

Dr Mahathir menerajui transformasi ekonomi Malaysia dan menukar latar langit Kuala Lumpur tetapi rekod sepanjang pentadbirannya juga penuh dengan "masalah", terutama penghapusan beberapa institusi, penahanan tanpa perbicaraan ahli politik pembangkang dan rekod kurang menyerlah bagi usaha penswastaan.

Najib meminta Dr Mahathir menyatakan jika beliau masih percaya apa yang dikatakannya pada 1997 – yang Anwar tidak layak memegang jawatan tertinggi kerana tuduhan liwat yang menyebabkannya dipecat sebagai timbalan perdana menteri dengan dua sabitan.

Ya, Dr Mahathir akan diasak dari semua arah dari sekarang hinggalah menjelang PRU14. Kerajaan tahu beliau adalah orang penting dalam PH dan jika mampu mencederakannya, ia akan berjaya dalam usaha menggegarkan pakatan pembangkang.

Tetapi sejarah menunjukkan Dr Mahathir akan bersedia, malah mengalu-alukan, menjadi tumpuan serangan. Jika tidak, ia hanya akan membuktikan pendapatnya yang Najib sedang ketakutan.

Selepas beliau memecat Anwar pada September 1997 dan memperkenalkan kawalan modal, Dr Mahathir dibenci di dalam dan luar Malaysia.

Pemimpin antarabangsa dan penerbitan terkenal memanggilnya penentang dan melayannya seperti paria. Mereka yang rapat dengannya berkata, walaupun digertak dan tertekan dengan pemulauan serta kecaman yang diterima, beliau tetap menghargainya.

Ia menarik untuk dilihat sama ada lelaki yang pernah digelar "Mahafiraun" itu boleh bertahan dengan serangan hari ini dengan cara yang sama dilakukannya antara 1997 hingga 2003.

Sunday, July 16, 2017

PAS tidak akan kerjasama dengan UMNO

By watan

PAS tidak akan menjalin kerjasama politik dengan UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU-14), kata Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan.

“Majlis Syura Ulama sudah menjelaskan tidak boleh bekerjasama.

“Bagaimanapun dalam isu RUU355, kita bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan supaya rang undang-undang itu boleh dibentangkan di Parlimen,” katanya selepas majlis Hari Raya Aidilfitri PAS Perlis di Kangar, pada Sabtu.

Ditanya mengenai PRU-14, Takiyuddin berkata PAS bakal bertanding kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang dimenangi bekas rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat serta UMNO.

“Kita mensasarkan memenangi tidak kurang 40 kerusi Parlimen termasuk kerusi yang dimenangi UMNO selain PKR,” kata Ketua Whip Ahli Parlimen PAS itu.

Beliau juga menjelaskan bahawa partinya mempunyai strategi realistik seperti meletakkan calon bukan Islam di kerusi majorti pengundi bukan Islam.

“PAS kini sedang mengenalpasti tiga calon di setiap kerusi Parlimen untuk dikemukakan kepada Majlis Syura yang akan membuat tapisan bagi memilih seorang mewakili parti itu di setiap kerusi ditetapkan,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu.

Wartawan Watan-Online

HARAPAN tempang tanpa PAS, kata Salleh


Impian Pakatan Harapan untuk menguasai Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) semakin jauh tanpa sokongan pengundi PAS berikutan parti itu yang kini tidak lagi bersama pakatan pembangkang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pencapaian besar DAP dan PKR dalam PRU 2008 dan 2013 adalah kerana sokongan PAS yang bergabung dalam Pakatan Rakyat (yang sudah berkubur dan pembangkang kini membentuk gabungan baharu dikenali sebagai Pakatan Harapan).

“Tanpa sokongan pengundi PAS, tentunya DAP dan PKR tidak mencapai kemenangan ini. Tanpa sokongan PAS, tentunya DAP dan PKR tidak akan kuat lagi.

“Bayangkan tanpa PAS, sejumlah 70 peratus pengundi PAS dalam PRU 2013 tidak lagi mengundi pakatan pembangkang? Dengan peralihan undi sejumlah ini, kekuatan pembangkang tentunya tempang,” katanya dalam catatan di blognya sskeruak,blogspot.my, hari ini.

Menurut Salleh, PKR dan Parti Amanah Negara tidak boleh membantu pembangkang untuk menarik undi Melayu kerana kedua-dua parti tersebut tidak mempunyai tapak politik yang kukuh dan gabungan mereka rapuh.

“Dengan kekurangan ini, tentunya Pakatan Harapan yang baharu ditubuhkan tidak mendapat keyakinan pengundi,” katanya.

Pencapaian besar DAP dalam politik negara, kata Salleh, hanya tercapai dalam PRU 2008 apabila bekerjasama dengan PAS dan menyaksikan DAP memenangi 28 kerusi dan PKR 31 kerusi. Melalui kerjasama berterusan dengan PAS pada PRU 2013, DAP menang 38 kerusi dan PKR (30).

“Dahulu ketika DAP bertanding sendirian, pencapaian parti itu adalah jauh daripada memberangsangkan. Dalam PRU 1969 semasa pembangkang menang besar, DAP hanya memenangi 13 kerusi, 1974 (9), 1978 (16), 1982 (9), 1986 (24), 1990 (20) dan 1995 (9),” kata Salleh.

Seramai 84.84 peratus keluar mengundi daripada jumlah 13,268,002 pengundi berdaftar pada PRU13 dengan keputusan Barisan Nasional (BN) memperoleh 5,237,699 undi, PAS (1,633,389 undi), DAP (1,736,267 undi), dan selebihnya parti-parti lain.

“Sesungguhnya, sejarah menunjukkan PAS adalah tunjang kepada kekuatan pembangkang sepertimana Umno adalah tunjang kepada kekuatan BN. Kini realitinya, DAP adalah tunjang kepada Pakatan Harapan,” katanya.

-Bernama

Saturday, June 17, 2017

Anwar tarik diri sebagai calon perdana menteri PH

Anwar Ibrahim menggesa Pakatan Harapan lebih fokus kepada pilihan raya umum akan datang dan mengenepikan semua isu sampingan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2017.

ANWAR Ibrahim hari ini mengumumkan menarik diri sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) ketika pakatan pembangkang itu bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang..

Pengumuman mengejut itu keluar di saat PH berdepan pertikaian barisan kepimpinan yang akan mengetuai gabungan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.

"Dan terkait dengan gesaan untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada PRU, maka saya memilih untuk tidak menawarkan diri selaku calon perdana menterii," kata Anwar dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata PH kini perlu memberi fokus kepada pilihan raya umum akan datang dan semua isu sampingan lain seperti muslihat perebutan kuasa dan kedudukan atau keterlanjuran kata kurang sopan perlu dihentikan. 

– 17 Jun, 2017.

Thursday, June 15, 2017

PKR akhirnya setuju Dr Mahathir jadi ketua pembangkang



Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dijangka mampu mengukuhkan gabungan pembangkang untuk menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2017.
SELEPAS berminggu dalam keraguan tanpa sebarang keputusan, akhirnya biro politik PKR bersetuju Dr Mahathir Mohamad mengetuai senarai pimpinan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, keputusan itu dicapai semasa mesyuarat biro politik PKR malam tadi.

Sumber biro politik PKR memberitahu, mereka bersetuju bekas perdana menteri itu mengetuai gabungan pembangkang itu agar ia lebih kukuh untuk menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Mesyuarat biro politik bersetuju Dr Mahathir menjadi pengerusi PH. Manakala presiden kami Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi presiden PH," kata sumber berkenaan.

Sumber berkata, Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim pula dinamakan sebagai penasihat PH.

The Malaysian Insight difahamkan, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali masing-masing dinamakan sebagai timbalan presiden PH.

"Dr Mahathir dipersetujui memimpin kerana beliau mampu mengetuai PH untuk mendapatkan undi Melayu yang selama ini dikuasai Umno," kata sumber itu lagi.

"Selepas ini PKR akan berbincang dengan Amanah dan DAP untuk mendapatkan persetujuan mereka kerana Bersatu sudah bersetuju."

Semalam The Malaysian Insight melaporkan Anwar bersetuju menyerahkan kata putus kepada biro politik PKR dalam mencadangkan barisan kepimpinan majlis presiden PH sebelum ia didaftarkan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Menurut sumber, persetujuan itu dibuat Anwar dalam pertemuan dengan dua wakil PH iaitu Mohamad Sabu dan Naib Presiden Husam Musa di mahkamah pada Selasa.

Pada mesyuarat terbaru Majlis Presiden PH Jumaat lepas, persetujuan sudah dicapai tentang struktur perjawatan majlis presiden namun PKR tidak berani memberikan kata putus kerana ia berbeza dengan struktur dipersetujui Anwar sebelum ini.

Dalam struktur baru itu, Anwar dilantik sebagai ketua umum PH. Dr Mahathir pula dipersetujui untuk menjadi pengerusi manakala Wan Azizah pula dilantik sebagai presiden majlis.

Sebelum ini, dalam notanya kepada PKR, Anwar mahu senarai yang dipersetujui sebulan lalu dikekalkan.

Dalam senarai itu, Dr Mahathir dan Anwar dilantik sebagai penasihat manakala jawatan pengerusi diberikan kepada Wan Azizah. – 15 Jun, 2017.

Monday, May 29, 2017

PAS: Hudud sekadar modal politik Umno menjelang PRU14

Mohamad Fadli 
May 29, 2017

Idris Ahmad berkata, Umno tidak seperti PAS yang sentiasa konsisten untuk menambah baik undang-undang Islam seperti RUU 355.
PETALING JAYA: Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, Umno menjadikan perbincangan isu pelaksanaan hudud oleh kerajaan Terengganu sebagai modal politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, Umno tidak seperti PAS yang sentiasa konsisten untuk menambah baik undang-undang Islam seperti rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.

“Itu semua modal untuk hadapi pilihan raya untuk menyekat PAS (di Terengganu). Umno tak ada pendirian. Kalau nak buat, buatlah.

“PAS konsisten, bukan macam orang lain nak jadikan isu politik,” katanya kepada FMT sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang negeri itu belum bersedia melaksanakan hukum hudud sebelum kajian mendalam mengenainya dilaksanakan.

Razif yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu berkata, keputusan melaksanakan hukum hudud hanya akan ditentukan Dewan Undangan Negeri dan seterusnya perlu mendapat persetujuan Sultan Terengganu.

Pandangan Razif itu berlawanan dengan kenyataan Exco Telekomunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas Terengganu, Ghazali Taib yang berkata, negeri itu akan tetap memperjuangkan pelaksanaan Undang-undang Syariah 2001 di negeri itu, ketika Kembara Dakwah Media Terengganu ke Acheh, pada Jumaat lalu.

Ghazali dilaporkan berkata, Terengganu akan menjadikan Aceh, Indonesia sebagai model dalam pelaksanaan hukum hudud jika ia dilaksanakan kelak.

Mengulas lanjut, Idris berkata, kenyataan itu menunjukkan sikap sebenar Umno.

“Itulah Umno. Itulah sikapnya. Bila dia (hendak) bersedia pula? Sikap kita (PAS) jelas dalam semua benda,” katanya yang mempersoalkan kesediaan Umno untuk melaksanakan hudud.

Friday, May 26, 2017

Jika PRU selepas Julai 2017, PH berpeluang menang

Posted By: Selena Tay

Media arus perdana berhempas pulas menerbitkan ramalan kononnya keputusan pilihan raya umum Ke-14 (PRU14) tidak akan berubah sejak negara merdeka BN diramal menang dan akan merampas kembali majoriti 2/3 di parlimen.

Bagaimanapun, penganalisis ekonomi, Albert Kwok berpendapat sebaliknya. Menurut beliau sekiranya pentadbiran Najib Razak menangguhkan PRU sehingga September Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang tipis untuk menang.

“Secara realitinya, saya berpendapat jika PRU14 diadakan selepas bulan Julai, Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang untuk menang tipis.

“Berdasarkan keputusan PRU13 dan tinjauan dalam kalangan golongan usahawan, saya meramalkan PKR akan dapat 40 kerusi, DAP 38 kerusi, PPBM 30 kerusi dan Amanah 12 kerusi.

“Secara kasar ini memberikan PH jumlah 120 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen dan mereka menang secara simple majoriti. PRU14 selepas bulan Julai juga akan memberi masa kepada PH untuk mengatur strategi. Tetapi kalau PRU14 dalam bulan Julai, ia agak susah untuk PH membuat kejutan,” katanya kepada Suara pakatan daily.

Albert menegaskan pentadbiran PH di Selangor dan Pulau Pinang akan memberikan gambaran yang baik mengenai kemampuan gabungan itu sebagai pemerintah. Selain daripada itu, pelbagai skandal rasuah dan imej negara yang sudah terjejas juga akan mendorong pengundi untuk memilih PH.

Dari sudut ekonomi, katanya, Selangor menyediakan banyak peluang pekerjaan baharu yang meningkat dari angka 2,912,300 kekosongan dalam tahun 2014 kepada 3,217,600 dalam tahun 2016. Ini bukti jelas ekonomi Selangor adalah kukuh, stabil dan sedang berkembang pesat.

“Walaubagaimanapun, saya mempunyai pandangan bahawa Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Perdana Menteri sementara (interim PM) agak kurang sesuai.

“Pakatan memerlukan seorang yang berpengalaman dan ‘garang sedikit’ dalam jawatan tersebut. Ini kerana pihak musuh akan menggunakan pelbagai taktik untuk menyerang PH semasa Anwar Ibrahim masih di dalam penjara,” jelas Albert.

Beliau juga menggesa PH supaya mengumumkan kabinet bayangan dalam bulan Ogos untuk memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia bahawa PH adalah pilihan yang sesuai untuk masa depan negara.

Monday, May 22, 2017

PRU14: PAS tak beri 'talian hayat' pada Umno, kata Khalil

Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan, kerjasama bersama Umno hari ini bukan pemberian talian hayat kepada parti itu menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Jika ia agenda yang baik, kita akan sokong. Jika tidak baik, kita akan tegur dan nasihat dengan cara yang betul.

"Ini bukan kita beri talian hayat kepada Umno-BN. Ini adalah satu politik matang yang diambil oleh PAS untuk kita menjadi sebuah negara yang maju pada masa akan datang," kata beliau dalam wawancara bersama Sinar Harian.

Dua hari yang lalu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)) Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan partinya dan PKR serta DAP berkali-kali memujuk PAS untuk menjalin kerjasama, namun PAS enggan dan berterusan menolak tawaran mereka.

Beliau mendakwa PAS sejak akhir-akhir ini dilihat lebih mengutamakan hubungan bersama Umno, sehinggakan sanggup menolak dan menamatkan hubungan bersama rakan-rakan pembangkang lain.

"Sehingga kita lewatkan penubuhan Pakatan Harapan kerana mahu mendapat persetujuan PAS, tetapi PAS lebih utamakan hubungan dengan Umno," katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata, pakatan pembangkang juga pun tidak mengotakan kata-kata mereka sebelum ini.

"Sebagai contoh, dalam isu berkait pembangunan Pulau Pinang mereka boleh berbincang dengan kerajaan Pusat. Boleh duduk semeja dan bergurau senda.

"Bila PAS mengambil sikap sama dalam agenda Islam yang menjadi kepentingan bersama dalam negara kita tidak kira PAS atau Umno, lalu mereka kata PAS beri talian hayat kepada Umno.

"Kononnya PAS mahu berbaik dengan Umno dan lain-lain tuduhan," jelas beliau yang juga anak kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mengenai keputusan Majlis Syura Ulama yang memutuskan hubungan dengan PKR, ujar beliau, Pemuda PAS tidak merasa lebih kuat dengan berbuat demikian.

"Tetapi ini tindakan yang betul kerana dalam politik Islam, kita bukan saja melihat dari sudut kekuatan orang yang sokong kita kerana itu mengikut fahaman politik barat.

"Sesuatu yang dibuat mestilah mahu dapat sokongan ramai khususnya dalam PRU, tetapi dalam politik Islam, Pas sebagai sebuah parti bertunjangkan politik Islam yang asasnya mestilah politik benar.

"Dari sudut hubungan dengan PKR, ini adalah keputusan yang benar," katanya lagi.

Namun, tambah beliau, tindakan segelintir pemimpin PAS yang keluar daripada parti itu dan menubuhkan Parti Amanah Negara (AMANAH) memberi kesan positif kepada parti itu.

"Alhamdulillah, saya melihat bahawa PAS pada hari ini lebih baik dan kuat daripada sebelum ini dengan keluarnya mereka yang kecewa dan menubuhkan parti baharu," menurutnya lagi.

Monday, May 15, 2017

PAS optimis sapu bersih DUN & parlimen Terengganu

15 MEI: Di ibaratkan misi untuk menawan kembali Terengganu, kepimpinan PAS negeri itu mengumumkan untuk bertanding kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Husain Awang berkata parti itu ‘optimis’ memenangi lebih banyak kerusi berbanding jumlah semasa yang disandangnya ketika ini berikutan kemantapan barisan kepimpinan PAS negeri yang baharu selepas rombakan dilakukan baru-baru ini.

“Kita akan bertanding semua kerusi Parlimen dan DUN negeri. Kita bersedia menghadapi apa jua keadaan dan suasana termasuk pertandingan tiga penjuru,” katanya, Isnin.

Pada ketika ini, PAS Terengganu hanya mempunyai tiga kerusi parlimen dan 15 kerusi DUN.

Tindakan itu dilihat mengikut jejak langkah PAS Wilayah Persekutuan yang membuat keputusan bakal bertanding di sembilan kerusi daripada 13 kerusi parlimen yang ditawarkan.

Terdahulu, Husain mengumumkan ahli jawatankuasa baharu Badan Perhubungan PAS Terengganu Sesi 2017-2019 dengan ADUN Paka, Satiful Bahri Mamat yang sebelum ini Pesurujaya negeri kini menyandang jawatan Timbalan Pesuruhjaya I manakala ADUN Bukit Tunggal, Dr Alias Razak dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya II.

Mengulas mengenai rombakan beberapa barisan kepimpinan PAS negeri oleh kepimpinan pusat baru-baru ini, Husain menafikan tindakan itu berpunca daripada pergolakan dalaman parti.

“Sebaliknya, ahli jawatankuasa Badan Perhubungan PAS negeri yang baharu akan menguatkan lagi saf kepimpinan di samping meneruskan legasi peimpin terdahulu.

Sementara itu, ditanya sama ada PAS Terengganu sudah menyenaraikan calon bagi semua kerusi yang bakal ditandingi pada PRU akan datang, beliau berkata perkara tersebut belum diputuskan.

Husain bagaimanapun juga tidak menolak kemungkinan bertanding pada pilihanraya umum.

Saturday, May 13, 2017

Zahid: Jangan leka, 3 penjuru bukan laluan mudah untuk BN

Bernama
May 13, 2017

Timbalan pengerusi BN itu berkata, hampir pasti semua kerusi akan berlaku pertandingan 3 penjuru susulan keputusan PAS menamatkan kerjasama dengan PKR.
MARANG: Senario politik ketika ini memberi gambaran semua kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan melibatkan pertembungan 3 penjuru, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, keputusan PAS yang mahu bersendirian dan tidak lagi menyertai pakatan pembangkang turut meningkatkan keyakinannya parti itu akan meletakkan calonnya untuk bertanding dan menjurus kepada pertandingan 3 penjuru.

“Ekosistem dan senario politik telah berubah, dahulu seolah-olah kita berada dalam sistem 2 parti iaitu Barisan Nasional (BN) lawan pembangkang…kini di tengah-tengahnya ada PAS.

“Hampir pasti di semua kerusi akan hadapi (pertandingan) 3 penjuru. Kepastian ini kerana Majlis Syura Ulama PAS telah memutuskan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan PKR dan (sebelum ini memutuskan hubungan dengan) DAP, mereka (PAS) akan bersendirian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Himpunan Rakyat dan Pelancaran Jentera Jalinan Rakyat Parlimen Marang, hari ini. Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan pemimpin kerajaan negeri.

Berikutan itu, Zahid yang juga timbalan pengerusi BN berkata, ahli parti komponen BN tidak boleh berada dalam keadaan selesa kerana pertembungan 3 penjuru bukanlah laluan mudah dan segala kemungkinan boleh berlaku.

“Jangan pernah leka dan selesa dengan 3 penjuru…jangan fikir 3 penjuru lebih mudah. Kita perlu bekerja keras dalam menghadapi situasi ini pada pilihan raya akan datang kerana kita yakin musuh politik kita mahu melihat kita kecundang di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, BN memutuskan menghormati pendirian PAS untuk bergerak sendirian, namun akan terus mengadakan kerjasama yang mampu memberi kelebihan kepada orang Melayu dan Islam.

“Hari ini terdapat kenyataan daripada pihak pembangkang yang sengaja menyalahkan Umno kerana tidak membawa usul Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1955 atau Akta 355 di Parlimen, dan mempersoalkan keputusan PAS memutuskan hubungan baik dengan PKR,” katanya.

Kenyataan sedemikian katanya, adalah strategi pembangkang yang sengaja mencetuskan spekulasi untuk mengeruhkan keadaan berhubung kerjasama yang sudah berlangsung, namun BN akan tetap terus menyokong perjuangan PAS berkaitan agama dan bangsa.

Dalam pada itu, Zahid mengumumkan Jentera Jalinan Rakyat akan menjadi jentera utama dalam membantu gerakan PRU14 dan meminta semua ahli Umno dan komponen BN memberikan sokongan padu.

“Kita (BN) mesti terus kekalkan kerusi yang kita menangi dan tambah majoriti…kita harus lakukan sesuatu dan rampas kerusi daripada pembangkang. Kita mesti fokus…zaman sabotaj, zaman berkecil hati telah berlalu,” katanya.

Beliau juga mahu jentera itu memberi penerangan serta mengambil pendekatan berkesan dalam memberi keyakinan kepada rakyat untuk mengundi BN.

Perhimpunan hari ini menarik penyertaan kira-kira 15,000 orang dari sekitar daerah Marang.

Saturday, April 29, 2017

PAS mahu tambah kerusi sehingga 50 peratus untuk kukuhkan Melayu

ARIF ATAN
29 April 2017
Muktamar Pas
Ketika Pas memusuhi Amanah, PKR dan DAP menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), parti itu nampaknya masih menyimpan angan-angan tinggi untuk meluaskan kuasa.

Hal ini dapat dilihat pada keinginan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam taklimat tertutup bersama perwakilan parti di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut di Alor Setar malam tadi.

Menurut sumber, Pas akan berusaha menambah bilangan kerusi yang dikuasai orang Melayu sehingga 50 peratus.

"Difahamkan, sasaran itu boleh dicapai dengan memperkukuhkan pengaruh Pas di beberapa negeri.

"Usaha itu juga berupaya mengekalkan teras Melayu dan Islam dalam pentadbiran negara," dipetik dari Utusan Online.

Sumber berkenaan turut menyebut komitmen Pas untuk menghalang DAP yang dilihat sebagai ancaman terhadap Islam daripada menguasai pentadbiran negara.

Pendirian sama juga diambil terhadap Pakatan Harapan yang diketuai DAP, lapor media pro Umno-BN itu.

Untuk rekod, prestasi Pas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menjunam dengan Kedah yang dikuasainya hanya mampu bertahan sepenggal apabila dirampas oleh BN.

Bagi keseluruhan kerusi Parlimen ditandingi, Pas yang ketika itu bersama gabungan Pakatan Rakyat cuma memperoleh 29 peratus atau 21 daripada 73 kerusi.

Pencapaian Pas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) juga tidak memberangsangkan apabila hanya menang 36 peratus iaitu 85 daripada 237 kerusi ditandingi.

Sunday, April 16, 2017

Jentera BN di setiap negeri sudah digerakkan

Hakimi Ismail
16 April 2017
MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyampaikan sijil penghargaan kepada murid terbaik SPM 2016 murid sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), Mohd Aiman Mat Sukor antara murid terbaik keseluruhan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik 2016, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

PUTRAJAYA 16 April- Jentera Barisan Nasional (BN) di setiap negeri sudah digerakkan dalam usaha mendekati rakyat sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, jentera tersebut bersedia sepenuhnya dan hanya menanti pengumuman tarikh PRU-14 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Pengerusi BN.

“Sekarang kita sudah minta jentera setiap negeri menggerakkan usaha mendekati rakyat dan saya percaya BN bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk menghadapi PRU-14 seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri baru-baru ini.

“Untuk UMNO pula, kita juga telah bersedia untuk berdepan PRU-14. Bagaimanapun kita akan menunggu segala arahan daripada Presiden UMNO terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Tengku Adnan menghadiri hari anugerah kecemerlangan akademik sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Putrajaya 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri membayangkan PRU-14 akan diadakan bila-bila masa apabila meminta semua jentera parti bersedia dan memastikan kemenangan tetap milik BN.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, sama ada PRU-14 diadakan pada tahun ini atau tahun depan, beliau meletakkan keyakinan untuk mempertahankan pemerintahan kerajaan di atas satu semangat kerjasama konsensus kukuh dalam BN.

Mengulas mengenai persiapan Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71, Tengku Adnan berkata, elemen keagamaan akan diterapkan dalam majlis sambutan ulang tahun terbesar dalam sejarah parti yang akan berlangsung pada 11 Mei depan di Stadium Nasional Bukit Jalil

“Program ini akan diisi dengan program keagamaan terlebih dahulu sebelum Presiden parti tiba dan kita juga akan mengadakan lintas langsung dari tapak acara yang akan dibangunkan di Pusat Dagangan Dunia KL Putra , di mana kita akan tunjukkan acara pecah tanah,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya berkata, sempena hari anugerah kecemerlangan akademik hari ini, pihaknya telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM500,000 kepada 25 buah sekolah rendah dan menengah di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

“Setiap sekolah menerima sumbangan sebanyak RM20,000 sekaligus boleh dimanfaatkan untuk pembangunan pendidikan pelajar masing-masing,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/jentera-bn-di-setiap-negeri-sudah-digerakkan-1.470071#ixzz4ePRKinb0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sunday, February 26, 2017

PAS berjiwa besar jika buat pusingan U terima Amanah, DAP

 ARIF ATAN
Mahfuz Omar
Bimbang dengan penolakan rakyat terhadap Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sekiranya masih mahu bersendirian, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menyeru kepimpinan partinya segera berubah.

Menurutnya, Pas dilihat berjiwa besar jika melakukan pusingan U dengan menghentikan permusuhan terhadap Amanah dan DAP sebaliknya parti yang dikepalai Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu akan menerima padah jika gagal berbuat demikian.

"Kalau Pas buat 'U-turn' terima Amanah, terima DAP, orang akan lihat inilah pengorbanan yang dilakukan oleh Pas. Itulah berjiwa besar. Jika tidak dilakukan, rakyat akan menolak Pas pada pilihan raya umum akan datang," tegasnya pada ceramah perdana anjuran Amanah Pokok Sena semalam.

Mengulas panggilan yang digunakan Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib baru-baru ini kepada golongan wakil rakyat 'kencing tikus' yang tidak menyuarakan masalah rakyat di Parlimen, beliau khuatir pengundi juga mempunyai persepsi sedemikian.

"Saya cukup terkejut apabila seorang pensyarah UUM tolak mana-mana wakil rakyat atau pemimpin politik yang 'kencing tikus', tolak yang tidak bersuara. Saya bimbang ini yang sedang dilihat. Saya bimbang (tanggapan) ini ada dalam pemikiran pengundi," ujar bekas Ketua Whip Pas di Dewan Rakyat itu.

Beliau pada masa sama turut menghargai usaha Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam 'memujuk' Pas untuk tidak bersendirian mendepani Umno-BN pada PRU-14 nanti.

"Saya ucap terima kasih kepada Mukhriz yang masih lagi mengharap iaitu sedia untuk terus berbincang (dengan Pas). Kita nak supaya semua parti bergabung dalam pakatan pembangkang yang kuat pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya bukan Allah untuk menentukan kalah menang tetapi dalam politik ini, dalam Pas sendiri dididik untuk cula, mana boleh menang itu yang Pas akan bertanding.

"Tengah-tengah Georgetown, mana pernah Pas bertanding. Bukan kita tidak yakin tapi perkiraan politik dengan akal yang dikurniakan Allah tak munasabah, tak masuk akal untuk bertanding di tengah-tengah Georgetown," ujarnya diikuti ketawa oleh hadirin yang juga termasuk penyokong Bersatu.

Mahfuz adalah antara Ahli Parlimen Pas yang dikenali paling menonjol berhujah di Parlimen berbanding baki 13 wakil rakyat parti itu yang dilihat pasif untuk mengambil bahagian dalam perbahasan termasuk ponteng untuk hadir ke Dewan Rakyat.

Keputusan PRU-13 menyaksikan Pas mulanya mempunyai 21 Ahli Parlimen tetapi akibat kegagalan pengurusan konflik dalaman parti, enam daripadanya menyertai Amanah manakala seorang lagi Ahli Parlimen Pas dari Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar memilih PKR pada 2015.

Thursday, February 23, 2017

PPBM mahu runding 'pakatan pilihan raya' dengan PAS

Bernama
February 23, 2017

Timbalan presidennya berkata PPBM akan pilih tarikh untuk memuktamadkan sama ada mereka boleh bekerjasama walaupun dalam bentuk ‘pakatan pilihan raya’.
PORT DICKSON: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu menjalin “pakatan pilihan raya” dengan PAS bagi mengelakkan pertembungan 3 penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Timbalan Presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata PPBM akan berusaha untuk berunding dengan PAS bagi merintis satu “pakatan pilihan raya”.

“Mahu tak mahu kami (PPBM) terpaksa ada (pilih) satu tarikh untuk memuktamadkan adakah kami boleh atau tidak jalin kerjasama dengan PAS walaupun dalam bentuk “electoral pact’ (pakatan pilihan raya)”, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mukhriz berada di sini bagi menghadiri program pemukiman PPBM selama 4 hari bermula Isnin lepas yang turut dihadiri semua pimpinan tertinggi parti termasuk Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan PAS tetap dengan pendirian tidak akan bekerjasama dengan PPBM selagi ia menjalin hubungan dan bekerjasama dengan DAP dan Amanah.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata pada PRU14, PPBM akan menumpukan untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu.

Monday, January 30, 2017

Sasar menang 40 kerusi bukti Pas tak mahu ganti BN

MALAYSIA DATELINE
Mohd Sany Hamzan

Sasaran Pas untuk memenangi 40 kerusi parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) membuktikan parti itu tidak berhasrat mengambil alih pemerintahan negara daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda Amanah Nasional Mohd Sany Hamzan berkata, Pas secara tidak langsung telah memberi harapan palsu kepada penyokong mereka sendiri yang mengharapkan parti itu menggantikan pemerintahan BN dan semakin jauh daripada semangat rakyat yang ingin membuat perubahan.

"Rakyat Malaysia khususnya kelompok yang masih keliru perlu melihat kenyataan Presiden Pas itu satu perkara serius. Rakyat perlu tahu Pas tidak berhasrat untuk memerintah negara oleh kerana mereka hanya mahu memenangi kerusi yang disasarkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Portal rasmi Pas, Harakahdaily melaporkan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam berkata, parti itu perlu mempunyai kedudukan yang kukuh dan kuat melalui strategi mempertahankan Kelantan, memerintah semula Terengganu dan Kedah, memimpin Selangor, serta mendapat sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen.

Ahli Parlimen Marang itu juga turut mengakui Pas sukar untuk mendapat majoriti 112 kerusi dan memerintah sendiri.

Mengulas lanjut, Sany berkata ia memberi gambaran lebih jelas bahawa Pas menyedari mereka tidak mampu memerintah dengan pendekatan politik mereka ketika ini.

Justeru tegasnya, rakyat harus memberi sokongan kepada pakatan pembangkang yang benar-benar komited untuk membuat perubahan dan menolak mana-mana pihak yang tidak bersungguh untuk menghadapi BN.

"Dengan mengundi Pas pada PRU14 nanti akan merencatkan usaha pembangkang untuk menyelamatkan Malaysia dari cengkaman Barisan Nasional.

"Pemuda Amanah Nasional mengajak seluruh rakyat Malaysia memberikan sokongan dan dokongan sepenuhnya Pakatan Harapan agar harapan untuk menyelamatkan Malaysia terlaksana," katanya.

Friday, January 20, 2017

Peluang BN menang di Kedah 50-50, faktor Dr M antara punca

Looi Sue-Chern
January 20, 2017

Kehadiran Dr M dan Mukhriz di sesebuah ceramah menarik kehadiran penduduk di kawasan luar bandar, kata penganalisis.
GEORGE TOWN: Faktor Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat mampu menggugat peluang Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan Kedah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata penganalisis politik.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomuddin Bakar dan penganalisis politik, Dr Ahmad Atory Hussain sependapat, susulan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Dr Mahathir akan memainkan peranan penting untuk merampas Kedah yang merupakan negeri asal bekas perdana menteri itu.

Hisomuddin berkata, BN yang sudah hilang sokongan di kawasan penyokong Dr Mahathir, seperti Langkawi dan Kubang Pasu, boleh mengekalkan sokongan orang Melayu dengan bantuan PAS, tetapi kerjasama itu tidak baik untuk parti Islam itu.

“Ada corak unik pergerakan pengundi Melayu sejak Ilham Centre mula memantau Amanah dan PPBM. Penerimaan terhadap PPBM agak ketara,” katanya kepada FMT.

PPBM yang diasaskan Dr Mahathir kini bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah. PAS memutuskan tidak menyertai pakatan itu kerana tidak sebulu dengan DAP dan Amanah.

Atory yang mengkaji sejarah kepimpinan Dr Mahathir berkata, BN masih mempunyai peluang 50-50 untuk mengekalkan pemerintahan di Kedah, di mana ia kini menguasai 20 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun usahanya itu lebih mudah jika mendapat kerjasama PAS.

PAS mempunyai 8 kerusi, manakala baki 8 lagi kerusi dimiliki PKR, DAP, Amanah dan PPBM.

“Jika PAS kembali kepada Pakatan, BN akan kalah. Jika PAS tidak bantu BN, gabungan itu mungkin hilang banyak kerusi,” katanya sambil menambah ia disebabkan Umno sudah berpecah dengan ramai ahlinya menyertai PPBM.

“Dari segi psikologi, ini sesuatu yang Umno bimbangkan.”

Hisomuddin berkata, faktor Dr Mahathir dan anaknya, bekas menteri besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak boleh dipandang ringan.

“Kehadiran mereka boleh menarik 1,000 hingga 2,000 penduduk di kawasan luar bandar. Tanpa mereka, penerimaan akan jadi perlahan.”

Katanya, hasil perbualan dengan belia yang menghadiri acara besar anjuran PPBM seperti majlis pelancaran lagu dan parti itu awal bulan ini, mendapati mereka kagum dan hormat kepada Dr Mahathir.

“Mereka pergi ke sana demi Dr Mahathir. Mereka tidak boleh terima apa yang Umno lakukan kepada beliau, seorang negarawan di mata mereka,” katanya.

Bagi Mukhriz pula, Hisomuddin berkata, beliau sentiasa popular dan merupakan punca BN berjaya merampas Kedah daripada pembangkang pada 2013.

“Sejak disingkirkan sebagai menteri besar tahun lalu, pengundi muda di Kedah, seperti di kawasan bandar Kota Setar masih marah. Ini sebabnya kita lihat banyak (sokongan) diberikan kepada PPBM.”

Hisomuddin berkata, jumlah kehadiran di acara anjuran PPBM juga perlu dipertimbangkan kerana ribuan borang keahlian diedarkan untuk mengambil ahli baharu.

“Mereka boleh edar 3,000 hingga 4,000 borang dan dapat (kembali) 1,000 borang di acara sama. Terdapat cakap-cakap 5,000 ahli Umno lompat ke PPBM. Tetapi, orang boleh kata ia tidak bermakna undi, ia mungkin bantahan dalam diam. Ada juga cakap-cakap ini seperti api dalam sekam. Sukar diteka.”

Kekuatan PAS
Pun begitu, Hisomuddin berkata kekuatan PAS tidak boleh diabaikan kerana parti itu mempunyai penyokong tegar seperti Umno, khasnya di kerusi seperti Tokai, Bukit Pinang, Anak Bukit dan Sungai Limau.

“Ia tidak begitu kuat di tempat lain, jadi pengundi atas pagar dan pengundi luar yang bekerja di Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur, seramai 35% hingga 40% yang menentukan pihak mana akan menang,” katanya.

Sementara itu, Atory berkata, sokongan rakyat kepada Amanah juga semakin meningkat sejak penubuhannya oleh sekumpulan bekas pemimpin progresif PAS dan parti baharu itu mungkin dapat menggantikan tempat PAS dalam pakatan pembangkang.

“(Mursyidul Am PAS, Datuk) Nik Aziz Nik Mat sudah tiada lagi. PAS tidak mempunyai pemimpin yang mempunyai pengaruh sama. Malah di Kelantan, terdapat isu yang boleh menjejaskan sokongan PAS seperti banjir dan pembalakan.

“Jika itu boleh berlaku di kubu kuat PAS di Kelantan, mereka juga mungkin boleh hilang sedikit sokongan di Terengganu dan Kedah. Saya dengar yang ceramah PAS di kerusi mereka di Terengganu tidak mendapat sambutan baik daripada rakyat,” katanya sambil menambah parti itu boleh kehilangan pengundi atas pagar kepada Amanah dan PPBM di Terengganu.

Sunday, January 1, 2017

Pas Kelantan dan Terengganu tak perlukan Pakatan Harapan

MALAYSIA DATELINE
Pas dicadang ketuai pembangkang di Kelantan dan Terengganu jika sertai Pakatan Harapan

Pas Kelantan dan Terengganu menolak cadangan Pakatan Harapan (PH) membenarkan parti itu “mengetuai” pembangkang di dua negeri terbabit pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Setiausaha Perhubungan Pas Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, Parti Amanah Negara (Amanah) tidak perlu memberi nasihat atau cadangan kepada Pas kerana parti serpihan itu tiada pendirian jelas.

“Kita tidak nampak akan ada kerjasama dengan PAN (Amanah) selepas pengkhianatan yang dilakukan Amanah, malah PAS juga tidak nampak dasar jelas yang ada pada PAN, selain melaksanakan apa-apa arahan atau kehendak DAP,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today kelmarin.

Selasa lalu, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, jika Pas mahu turut serta dalam pakatan bagi menghadapi PRU14, PH akan membenarkan parti itu “mengetuai” pembangkang di Kelantan dan Terengganu.

“Jika PAS mahu turut serta, sudah tentu kami akan benarkan mereka "mengetuai" Kelantan dan Terengganu.

“Walaupun kami akan bertanding di beberapa kerusi di Kelantan, tetapi kami akan pastikan PAS "mengetuai" di Kelantan and Terengganu,” kata Khalid.

Bagaimanapun Che Abdullah mengingatkan Amanah untuk menyedari hakikat kekuatan mereka sebenarnya tidak diyakini sekutunya dalam PH, sehingga ada pemimpin yang mencadangkan parti itu dibubarkan.

“Di peringkat pusat sendiri ada cadangan daripada pemimpin PKR supaya PAN ini dibubarkan dan bergabung dengan PKR, itu satu petunjuk rakan yang sudah bersama PAN pun sedar tidak ada sebab untuk PAN ini wujud.

“PKR sebelum ini pernah bekerjasama dengan DAP, bekerjasama dengan Pas, tetapi tidak pernah lagi mereka beri cadangan supaya Pas dibubar dan bergabung dengan PKR. Begitu juga dengan DAP, mereka tidak minta parti itu dibubarkan kerana PKR melihat kedua-dua parti ini ada peranan dan kekuatan tersendiri," katanya.

Katanya, Pas Kelantan yakin mampu mengekalkan pentadbiran di negeri itu tanpa perlu menyertai PH kerana rakyat masih menyokong parti Islam itu.

Pesuruhjaya Pas Terengganu Saiful Bahri Mamat berkata, pihaknya akan mematuhi arahan Pas Pusat dan tidak akan sesekali mengadakan rundingan dengan PH, termasuk Amanah berhubung soal pembahagian kerusi.

“Pas Terengganu sedia berdepan pertandingan tiga penjuru, Pas mempunyai kelebihan tersendiri kerana parti sudah bertapak sejak 1959 dan pernah memerintah dua kali. Kita tidak terikat dengan PH, jadi kita boleh buat keputusan sendiri.

“Setakat ini, kerusi yang kita bertanding pada PRU lepas kita kekal bertanding dan kita juga putuskan bertanding di semua kerusi di Terengganu melibatkan lapan Parlimen dan 32 Dun. Soal pembahagian kerusi dengan PKR, kita tunggu bagaimana keputusan PAS pusat,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-