Tuesday, September 1, 2015

'Ahli Parlimen PAS keluar parti perlu letak jawatan, elak makan gaji haram'

Mohd Amar (tengah) berkata, calon PAS terikat dengan sumpah bai'ah dan jika tidak meletak jawatan, maka haramlah segala pendapatan mereka sebagai wakil rakyat. - Foto TRP/ Adnan Mohamad

KOTA BHARU, 1 September:

Jika Ahli Parlimen PAS dari Kelantan yang menyertai Parti Pekerja Malaysia tidak meletak jawatan, semua pendapatan mereka sebagai wakil rakyat adalah haram.

Naib Presiden PAS yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan, pendirian parti itu amat jelas, iaitu mereka yang keluar parti perlu meletak jawatan, kerana bertanding atas tiket PAS.

“Semua wakil rakyat di Malaysia perlu tahu yang bai’ah itu adalah pengikat. Cuma di Kelantan, kita tambah dengan taklik (cerai talak tiga ke atas isteri), sepertimana yang disarankan Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat dahulu.

“Cuma kita ingin ingatkan, kalau tidak letak jawatan, apa-apa elaun yang diterima adalah haram..itu janji..tidak ada paksaan. Setiap calon kena bai’ah…tak nak jadi calon, jangan bai’ah,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Tambahnya, setakat ini, hanya seorang wakil rakyat di Kelantan yang terbabit dalam situasi itu.

Mengulas kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat, Mohd Amar menjelaskan, PAS masih di dalam pakatan terbabit, kerana mereka hanya putus hubungan dengan DAP.

“Sebagai contoh, kalau kita berkahwin dua, kalau cerai seorang, ada lagi seorang isteri dan kita tidak boleh dipanggil sebagai duda,” katanya secara berseloroh.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, 22 ahli PAS yang menyertai Parti Pekerja Malaysia, secara automatik terkeluar daripada parti itu.

“Sebagai mengelak beberapa kekeliruan, kita ingin menjelaskan, peruntukan di dalam Perlembagaan PAS, iaitu Fasa 15, keberhentian ahli. Pertamanya, apabila dia minta untuk keluar parti, keluar sendiri..maka tamatlah.

“Kedua, apabila dipecat sebagai ahli dan yang ketiga, apabila seseorang ahli itu isytihar diri keluar PAS atau sertai parti lain.

“Peruntukan ini jelas dalam Perlembagaan PAS. Apa yang kita ingin nyatakan ialah kesan tindakan ini, apabila seseorang itu menjadi ahli parti lain, maka di saat itu dia gugur sebagai ahli dalam PAS,” katanya pada sidang media hari ini.

Jelasnya, di pihak PAS, tiada apa-apa tindakan, kecuali dari segi pentadbiran, surat akan dikeluarkan berdasarkan Fasa 15 ceraian 1(c), iaitu seseorang ahli itu tidak lagi menjadi ahli, berkuatkuasa dari saat dia menjadi ahli parti lain.

“Merujuk kepada laporan yang diterima (termasuk laporan akhbar), secara sahnya, mereka bukan lagi ahli, selepas tersenarai dalam Jawatankuasa Parti Pekerja Malaysia.

“Ini juga berdasarkan senarai yang dikeluarkan parti berkenaan. Jumlah lain tidak kita ketahui. Apa yang parti lakukan ini adalah sebagai makluman kepada mereka dan akan disertai dengan surat secepat mungkin,” katanya yang turut menjelaskan, setiap surat itu akan disertakan surat sumpah bai’ah yang pernah mereka lakukan.

Jelasnya, jika ada di antara bekas ahli PAS itu yang membuat ‘pusingan U’, mereka perlu mengisi borang keahlian semula dan dibincangkan parti terlebih dahulu, sebelum permohonan mereka boleh diluluskan.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/09/01/ahli-parlimen-pas-keluar-parti-perlu-letak-jawatan-elak-makan-gaji-haram/#ixzz3kUvMjtsQ

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-