Sunday, September 6, 2015

Janganlah gelabah.... jika Najib jatuh, tetap MELAYU JADI PM

Oleh Shahbudin Husin
Desakan agar Najib Razak berundur bukan lagi jeritan rakyat Malaysia semata-mata, tetapi sudah menjadi suara antarabangsa di mana dalam persidangan anti rasuah sedunia atau IACC di Kuala Lumpur baru-baru ini, perkara yang sama turut menjadi fokus utama para peserta.

Hakikatnya tidak ada sesiapa dapat menerima kemasukan wang ke dalam akaun peribadi seorang ketua negara dengan jumlah yang begitu besar hanyalah sekadar derma. Selain menyatakan wang RM2,600 juta itu mempunyai segala elemen berkaitan rasuah mengikut penilaian antarabangsa, peserta IACC juga mendesak Najib meletakkan jawatan bagi memudahkan siasatan terhadapnya.

Hanya kerana Najib menerima wang tersebut, rata-rata peserta IACC bercakap, meluahkan rasa tidak puas dan memberi kritikan tajam kepadanya. Sekaligus perbuatan Najib telah memalukan nama negara ke persada dunia dan ia dilakukan di depan mata kita semua.

Dengan ini rakyat negara ini dan masyarakat di seluruh dunia sudah hampir senada tentang perlunya Najib segera berundur daripada jawatannya.

Jika dilakukan referendum bebas, pastinya suara penolakan itu lebih ketara lagi. Kehadiran kira-kira 500 ribu peserta dalam himpunan Bersih 4 adalah petanda jelas ke arah itu dan tidak pernah dalam sejarah negara, rakyat sanggup berhimpun dan bermalam di atas jalanraya hanya untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka.

Dengan terus kekalnya Najib bersama jawatannya dan sekiranya tiada penjelasan meyakinkan mengenai wang tersebut, tidak mustahil angka 500 ribu itu akan terus meningkat kiranya ada perhimpunan rakyat lagi selepas ini.

Tetapi seperti biasa, kebangkitan rakyat ini seringkali dilihat dari perspektif perkauman saja. Jika ramai Melayu datang berdemo, mereka dikatakan bodoh dan tidak secerdik kaum Cina yang hanya duduk di rumah sambil terus membesarkan penguasaan ekenomi mereka.

Jika orang Cina yang ramai pula seperti dalam Bersih 4 baru-baru ini, mereka dikatakan mahu merampas kepimpinan Melayu yang sedang menguasai kepimpinan negara pula. Orang Melayu lantas diingatkan agar segera bersatu bersama kepimpinan sedia ada sambil diberikan amaran bahawa kebangkitan bangsa lain ini adalah bahaya kepada anak cucu kita.

Ada seorang menteri juga turut latah mengingatkan dengan berkata, terus-menerus membesarkan isu wang RM2,600 juta yang melibatkan Najib tidak lebih hanya mengancam kedudukan kerajaan dan kepimpinan Melayu sekarang.

Oleh itu, beliau menyarankan agar polemik ini segera dihentikan, sebaliknya berusaha mempertahankan kepimpinan Melayu yang ada sekarang.

Elehh...macamlah Najib merupakan lambang mutlak Melayu di negara ini.

Ia seperti kisah seorang perompak yang sedang mengangkut hasil rompakan dan ketika diserbu oleh orangramai, lantas memberi helah bahawa kampung tempat tinggal mereka sedang dalam bahaya kerana kononnya lima enam keluarga Cina yang tinggal di situ sedang berusaha mengambil alih dan menguasai kampung tersebut.

Setelah semua orangramai tadi menyerbu setiap satu rumah keluarga Cina itu, perompak pun ketawa berdekah-dekah sambil memuatkan lebih banyak hasil rompakan ke dalam lori mereka.

Begitu juga seperti yang berlaku sekarang. Ia tiada kena mengena dengan sebarang isu perkauman atau kemungkinan orang Cina mahu menguasai kepimpinan negara, tetapi persoalan pokok ialah dari mana datangnya wang RM2,600 juta itu?
Namun, seperti biasa, manusia memang mudah diperdaya oleh perompak, lebih-lebih lagi kalau perompak itu juga pandai berlagak sebagai pejuang Melayu.

Dalam isu mahu menurunkan Najib sekarang, ia sebenarnya adalah untuk kepentingan rakyat dan negara. Ia tidak harus dilihat dari sudut jatuhnya kepimpinan Melayu kerana jika Melayu itu jahat dan merosakkan kehidupan ramai orang, tiada sebab untuk terus dipertahankan.

Di samping itu, bagaimana mahu dikatakan jika Najib diturunkan, kepimpinan Cina akan mengambil alihnya sedangkan nama-nama yang disebut sebagai penggganti semuanya Melayu?

Tun Mahathir sendiri dalam gesaannya yang semakin agresif untuk menurunkan Najib berkata, yang perlu ditukar hanyalah Perdana Menteri tetapi kerajaan BN akan terus kekal.

Begitu juga dengan kesediaan Pakatan Rakyat bersama-sama dengan kira-kira 30 lagi Ahli Parlimen BN untuk menjayakan usul tidak percaya di Parlimen, ia juga semata-mata untuk menurunkan Najib dengan membentuk sebuah kerajaan peralihan yang melibatkan semua parti.

Jika sudah melibatkan semua parti, tentu saja UMNO yang mempunyai 88 kerusi Parlimen akan memiliki majoritinya. Jadi di mana perlunya kita kalut dengan penguasaan Cina ini?

Nama-nama yang disebut dan diperkatakan ramai untuk menggantikan Najib pula semuanya Melayu. Pakatan Rakyat jelas sedia menerima Tengku Razaleigh Hamzah atau Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang baru bagi menggantikan Najib. Adakah Ku Li dan Muhyiddin keturunan Cina?

Jika prosesnya berlaku selepas 9 September di mana ketika itu Muhyiddin mungkin sudah dipecat atau digantung keahlian UMNOnya, nama Zahid Hamidi juga berpeluang tersenarai sebagai calon bakal Perdana Menteri. Adakah Zahid berbangsa Cina atau Jawa?

Pernahkah kita dengar jika usul tidak percaya di Parlimen ini berjaya, Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng yang akan menjadi Perdana Menteri baru bagi menggantikan Najib?

Janganlah kita mengelabah berlebih-lebihan sehingga semua perkara mahu dikaitkan dengan sentimen perkauman. Jika ada kecurian atau rompakan, tangkaplah perompak terlebih dahulu sebelum risaukan kampung halaman daripada ditakluki bangsa lain.

Orang Cina pun sebenarnya sedar kedudukan mereka sebagai minoriti dan tidak mungkin menjadi Perdana Menteri bagi mewujudkan keamanan dan kestabilan. Bukan saja calon Perdana Menteri BN terdiri daripada Melayu, daripada Pakatan Rakyat juga calonnya Melayu.

Lagi pula dalam pilihanraya umum lalu, DAP hanya bertanding kira-kira 70 kerusi Parlimen saja daripada 222 kerusi keseluruhannya dan jumlah ini tentu saja tidak banyak berbeza dalam pilihanraya akan datang.

Maka, di mana logiknya calon mereka layak menjadi Perdana Menteri? Apakah pemimpin Melayu daripada PKR, Pas dan GHB ( Amanah) tidak mahu jadi Perdana Menteri?

Sama ada melalui usul tidak percaya atau sekiranya BN kalah dalam pilihanraya ke 14 nanti lantaran kedegilan Najib tidak mahu berundur, janganlah bimbang dengan penguasaan Cina kerana kuasa dan kepimpinan Melayu tidak hilang sama sekali.

Kalau tak pernah jumpa hantu, tidak perlu takut dengan hantu dan janganlah pandai-pandai menakutkan orang lain pula supaya takut sama dengan hantu.

Yang nyata, perompak dan penyamun jauh lebih bahaya berbanding hantu. - Blogspot

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=325842:janganlah-gelabahjika-najib-jatuh-tetap-melayu-jadi-pm&Itemid=2#ixzz3ksnRgX1J
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-