Friday, September 4, 2015

Kerajaan Malaysia serius bantras rasuah, kata TPM

Malaysia serius banteras gejala rasuah dan ini terbukti dengan peningkatan jumlah sabitan kes, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Gambar fail The Malaysian Insider, 3 September, 2015.

Kerajaan Malaysia serius dalam membanteras gejala rasuah dan ini terbukti dengan peningkatan jumlah sabitan kes, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, kadar sabitan kes oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meningkat daripada 54% pada 2009 kepada 78% pada 2014.

"Dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), kedudukan Malaysia meningkat 3 anak tangga daripada kedudukan ke-53 daripada 175 negara pada 2013 kepada kedudukan ke-50 pada 2014. Ini merupakan kedudukan kedua terbaik dalam ASEAN selepas Singapura," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata kerajaan berhasrat untuk melakukan usaha yang lebih baik dengan menetapkan sasaran menghuni kelompok 30 negara terbaik dalam senarai CPI menjelang 2020.

Zahid berkata tahun lepas semakan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pencegahan Rasuah (UNCAC) memuji usaha kerajaan dengan menyatakan Malaysia "menerima syor untuk amalan terbaik dalam sejumlah 23 bidang, iaitu jumlah tertinggi daripada semula negara yang disemak semula”.

Ini termasuk ketiadaan undang-undang sekatan yang membantu menghalang pesalah mengelak pendakwaan, penubuhan 14 mahkamah anti rasuah di mana hakim diarah mendengar kes dalam tempoh setahun dan boleh dipertanggungjawabkan kerana tidak mematuhi arahan itu.

Ia juga termasuk inisiatif dalam kalangan sektor swasta untuk memerangi rasuah dengan lebih 142,000 telah menandatangani ikrar integriti korporat, kata Zahid,yang juga menteri dalam negeri.

Beliau berkata ini termasuk komitmen tahap tinggi untuk membanteras rasuah di peringkat antarabangsa di mana Malaysia menerima pujian kerana mengambil langkah untuk mempercepatkan prosedur ekstradisi dan memudahkan syarat untuk memperoleh bukti.

"Di negara yang mempunyai tahap rasuah tinggi, usaha menangani kemiskinan dan menggalakkan pembangunan terjejas akibat gejala ini," katanya sambil menegaskan isu seperti itu tidak berlaku di Malaysia.

Zahid berkata kadar kemiskinan di negara ini dikurangkan daripada 3.8% pada 2009 kepada 0.6% pada 2014.

Beliau berkata Malaysia menduduki ranking ke-18 daripada 189 negara dalam laporan mudah menjalankan perniagaan pada 2015 manakala 1MD Yearbook 2015 meletakkan Malaysia pada ranking ke-14 daripada 61 negara sebagai negara paling berdaya saing.

"Kita tidak mungkin dapat mencapai keputusan ini sekiranya gejala rasuah tidak ditangani dengan kuasa penuh undang-undang," katanya.

Menyedari tema Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) ke-16 iaitu 'Mengakhiri Kekebalan' yang kini berlangsung di Putrajaya, timbalan perdana menteri itu berkata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan ditubuhkan semula pada sidang Parlimen akan datang dan siasatan yang dijalankan oleh badan itu sebelum ini akan diteruskan.

Katanya, adalah malang untuk ketua-ketua pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa (NGO) datang ke Malaysia hanya untuk diperdayakan dengan dakwaan tidak berasa yang dikitar semula dan sengaja melibatkan diri mereka dalam politik dalaman negara.

"Kami yakin akan memenangi perang menentang rasuah ini dan terus melakukan pembaharuan untuk meningkatkan integriti dan ketelusan dalam sektor awam dan swasta.

"Mereka yang didapati melanggar undang-undang akan tetap didakwa. Perdana menteri sudah pun menyatakan ini dengan jelas...biar saya ulangi tidak akan ada kekebalan," katanya. – Bernama, 3 September, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kerajaan-malaysia-serius-banteras-rasuah-kata-tpm#sthash.Hup69zMy.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-