Monday, November 16, 2015

Blog pro-Umno patut desak siasat penyelewengan dana YaPEIM

KUALA LUMPUR 16 NOV: Blog pro-Umno, mykmu.net harus mendesak pihak berkuasa menyiasat penyelewengan dana Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), bukan menuduh DAP seolah-olah mahu melencong tumpuan orang ramai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balakong, Ng Tien Chee, berkata ia perlu bagi memastikan dana YaPEIM digunakan untuk membantu umat Islam dan tidak disalah guna untuk politik termasuk mengkayakan segelintir ahli UMNO.
“Ini kerana dana YaPEIM untuk umat Islam, bukannya untuk UMNO. Menteri berkenaan dan kerajaan wajib menjawab keraguan yang timbul dalam kalangan pemberi sumbangan berikutan pendedahan itu.

“Adakah pemimpin UMNO turut menerima dana sumbangan orang ramai melalui potongan gaji bulanan kepada YaPEIM sebagai ‘derma’ kepada pemimpin berkenaan sedangkan ia sepatutnya disalur untuk amal jariah.

“Jika ya, mungkin itulah yang memupuk semangat Perdana Menteri dalam isu derma RM2.6 bilion,” katanya sambil membidas blog itu kerana menuduh DAP merancang pembongkaran skandal YaPEIM itu.

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO), National Oversight and Whistleblowers (NOW) mendedahkan sebuah keluarga pentadbiran atasan YaPEIM membolot 26 jawatan dengan jumlah gaji RM154,700 sebulan.

Seorang pimpinan wanita Umno Kelantan didakwa menerima gaji bulanan RM45,500 daripada tujuh jawatan yang disandangnya manakala anak lelakinya (RM31,200) dan suaminya (RM5,000), bermakna keluarga itu mendapat RM81,700 sebulan.

Seorang lagi pimpinan YaPEIM memperoleh pendapatan RM73,000.00 sebulan dengan memegang 12 jawatan, malah dana YaPEIM sebanyak RM223,000 disalur ke Rompin untuk membantu UMNO BN pada Pilihan Raya Kecil Rompin lalu.

Tien Chee turut mempersoal sama ada pelantikan pemimpin UMNO Wanita Kelantan dan ahli keluarganya sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah (YaPEIM) melalui prosedur adil dan telus.

“Saya tidak menafikan YaPEIM banyak membantu umat Islam tetapi adakah ia bermakna pegawai-pegawai boleh berbuat suka hati dengan sumbangan itu?” kata Setiausaha Organisasi DAP Selangor itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-