Tuesday, April 23, 2024

PRK KKB: Ini soal maruah MCA, Wee tetap pendirian tak bantu kempen

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-23 Apr 2024, 04:04 PM

Wee Ka Siong berkata ahli MCA terguris dengan penghinaan pemimpin DAP.
Presiden Wee Ka Siong tetap dengan pendirian untuk tidak melibatkan MCA dengan kempen PRK Kuala Kubu Baharu, sekiranya calon bertanding bukan daripada BN.

PETALING JAYA: Presiden Wee Ka Siong tetap dengan pendirian tidak akan melibatkan MCA dengan kempen PRK Kuala Kubu Baharu, yang dijangka akan mempertaruhkan calon DAP.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming, yang berharap Barisan Nasional ‘membalas jasa’ Pakatan Harapan kerana memenangkan calon Umno pada PRK Pelangai tahun lepas.

Wee menarik perhatian kepada komen Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dalam audio siar Keluar Sekejap pada 5 April lepas, yang dipapar berkata MCA “parti tauke” dan tidak mementingkan kepentingan rakyat terutamanya masyarakat Cina.

“Amboi bukan main angkuh lagi ungkapan setiausaha agung DAP ini. Selepas seronok bantai, caci, maki hamun MCA sekarang nak suruh MCA bantu DAP berkempen? Apa kamu ingat MCA ini tak ada maruah atau tak ada perasaan ke?” katanya dalam satu video di Facebook.

Wee berkata ahli MCA terguris dengan penghinaan pemimpin DAP. “Ini soal maruah parti saya,” katanya, mengingatkan bahawa MCA telah banyak berjasa dan berbakti kepada masyarakat sejak 1949.

“Eh masa bercakap kamu tak ingat dunia, hentam MCA tak tentu arah dengan pelbagai tuduhan liar, siap maki hamun dengan penuh kebencian. Sekarang mahu MCA berjiwa besar?” katanya.

“Masa diperlukan pijak semut tak mati, bila tak diperlukan diperlaku, diludah, dikahak sesuka hati. Sudahlah.”

Wee turut mengingatkan rakan-rakannya dalam BN bahawa MCA menjadi sasaran DAP selama ini.

“Jangan lupa selama ini, parti itu hanya bertanding di kawasan-kawasan yang ditandingi MCA atas tiket BN.

“Adakah saudara masih ingat parti itu tidak berapa lama yang lalu menuduh MCA bersekongkol dengan ‘penyamun’, malah MCA pernah dianggap pengkhianat masyarakat Cina kerana tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama dan gagal memansuhkan sistem kuota Bumiputera.”

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong dari DAP, pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi jatuh pada 11 Mei, dengan 27 April sebagai hari penamaan calon.

Ketika DAP bersiap sedia untuk mempertahankan DUN Kuala Kubu Baharu dari kemaraan Perikatan Nasional, MCA mengumumkan ia tidak akan terlibat dengan kempen jika calon bukan daripada Barisan Nasional.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-