Sunday, April 21, 2024

Rakyat mesti sedia terima reformasi, kata PM

freemalaysiatoday.com
Shahrul Shahabudin
-21 Apr 2024, 04:51 PM

Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak boleh tergesa-gesa melaksanakan reformasi kerana perlu mempertimbangkan kesannya terlebih dahulu.
Anwar Ibrahim berkata, reformasi yang dilaksanakan kerajaan perpaduan disasarkan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan.

SHAH ALAM: Sebarang reformasi yang dijanjikan oleh kerajaan perlu dilaksanakan dengan cermat untuk memastikan rakyat bersedia menerima perubahan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh tergesa-gesa melaksanakan reformasi kerana kesan daripada perubahan yang dilakukan turut perlu dipertimbangkan.

Anwar, yang juga presiden PKR berkata, terdapat pengajaran yang boleh diambil daripada keadaan Perancis pada abad ke-18 selepas Revolusi Perancis, apabila keadaan hidup rakyat menjadi lebih teruk disebabkan perubahan radikal yang dilaksanakan oleh pemimpin baharu.

“Kita kena bijak … jangan gopoh penuhkan selera, kehendak (golongan) elit, tanpa lihat kesan (terhadap) politik, kestabilan, dan tak renung (sama ada) perubahan itu dapat tarik minat dan kekalkan sokongan rakyat.

“Ada ‘major disconnect’ antara gagasan perubahan segera dan kesediaan rakyat,” katanya pada konvensyen khas sempena ulang tahun ke-25 PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, kerajaan sedang melaksanakan pelbagai reformasi, termasuk mengkaji semula gaji penjawat awam, penstrukturan semula subsidi elektrik, dan usaha memerangi rasuah.

Katanya, penjimatan daripada pelbagai inisiatif itu digunakan untuk membantu golongan kurang berkemampuan dengan meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada tahun ini daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion.

“Ini yg dikatakan reformasi, dalam erti kata manfaat kepada golongan bawahan, miskin, pekerja ladang, nelayan di kampung, pekebun kecil, (golongan) India di estet, (serta) penjawat awam,” katanya.

Dalam pada itu, mempertahankan rancangan kerajaan untuk menstruktur semula subsidi elektrik, petrol dan diesel, Anwar berkata, langkah membiarkan orang kaya dan warga asing menikmati faedah itu dianggap sebagai tidak bijak.

Katanya, kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai kepada B40 dan M40 sekiranya harga bahan api meningkat, bergantung kepada penggunaan bulanan mereka.

“Dah puluh tahun bincang, kerajaan setuju, (tapi) tak berani laksanakan,” katanya.

“Kerajaan ini berani (semak subsidi) untuk selamatkan ekonomi negara kita. Rakyat yang rugi, kita tampung. Ini dia reformasi, kepimpinan bertanggungjawab.”

Semalam, kerajaan perpaduan diberi amaran bahawa kegagalan melaksanakan reformasi yang dijanjikan akan menjauhkan pengundi atas pagar pada PRU16 nanti.

Jurucakap Projek Sama, Thomas Fann berkata, rakyat sudah mula kecewa apabila tiada reformasi perundangan yang penting dilaksanakan setelah lebih setahun kerajaan perpaduan mentadbir.

Kekecewaan terutamanya dalam kalangan penyokong PH mungkin akan menyebabkan mereka membelakangkan PRU16, malah menyokong pemimpin ekstremis yang menawarkan janji populis, katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-