Thursday, December 3, 2015

Umno adakan mesyuarat khas tentukan siapa bercakap, kata Ku Nan

OLEH YASMIN RAMLAN

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bercakap semasa di persidangan di PWTC, Kuala Lumpur, dan mengatakan satu mesyuarat akan diadakan parti untuk menentukan pemimipin yang dibenarkan membuat ucapan penggulungan. Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 3 Disember 2015.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengumumkan parti akan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Khas bagi menentukan pemimipin yang dibenarkan membuat ucapan penggulungan pada perhimpunan minggu hadapan.

Bagaimanapun, Tengku Adnan, yang juga menteri Wilayah Persekutuan, kekal dengan pendiriannya sebelum ini, ucapan penggulungan sepatutnya hanya diberikan kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

"Pada pandangan saya sehingga ke hari ini, presiden cukuplah, tak payah orang lain.

"Itu pandangan saya, tunggu bila mesyuarat Majlis Tertinggi Khas nanti barangkali," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan akan tetap menyertai perhimpunan agung pada 8 Disember ini, walaupun kehadirannya ke perhimpunan tahunan itu ibarat tunggul.

"Saya hendak berucap, tetapi saya diberitahu tidak boleh berucap. Saya tidak boleh berucap pada sayap Wanita, Puteri dan Pemuda.

"Saya diberitahu tidak boleh terlibat dalam penggulungan. Saya jadi tunggul saja duduk di atas pentas," katanya.

Sementara itu, Tengku Adnan mengesahkan surat pemecatan kepada bekas ketua Wanita Gopeng Datuk Hamidah Osman sudah dihantar.

Pengesahan Tengku Adnan itu sekali gus menafikan dakwaan Hamidah semalam yang mengatakan masih menerima surat pemecatan itu.

"Sudah hantar surat (kepada Hamidah), dia ini macam Saifuddin jugalah... kita sudah hantar surat, dia kata tidak terima surat, surat sudah hantar," katanya, merujuk kepada bekas ahli MT Umno, Datuk Saifuddin Abdullah.

"Saya sudah hantar surat dan dia bukan perwakilan."

Semalam, Hamidah mengatakan masih belum menerima surat pemecatan, tetapi tidak kisah dengan tindakan tersebut.

Hamidah sebelum ini dilaporkan berkata, beliau tidak gentar dipecat daripada Umno ekoran seruannya agar Najib berundur. – 3 Disember 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/umno-adakan-mesyuarat-khas-tentukan-siapa-berucap-kata-ku-nan#sthash.VVeFOoQd.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-