Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Sunday, July 24, 2016

TPM: Malaysia pandang serius saman DOJ

Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan memandang serius tindakan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS memfailkan saman pelucutan hak sivil yang berkaitan dengan 1MDB.

Beliau berkata Malaysia menyambut baik usaha DOJ AS dalam memerangi rasuah antarabangsa dan menggesa semua pihak terlibat supaya memberi kerjasama sepenuhnya supaya proses undang-undang dapat dilaksanakan.

Katanya Malaysia sebagai anggota bertanggungjawab Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat global, menghormati proses perundangan bagi bidang kuasa yang berbeza dan kekal komited sepenuhnya dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.

"Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, ini adalah selaras dengan komitmen kami untuk menggalakkan tadbir urus yang baik, terutamanya dari segi ketelusan dan akauntabiliti.

"Dalam kapasiti saya sebagai Menteri Dalam Negeri, saya boleh mengesahkan bahawa siasatan itu masih dijalankan dalam negara oleh pihak berkuasa yang berkaitan terutamanya Polis Diraja Malaysia," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

DOJ AS telah memfailkan saman sivil itu bagi mendapatkan kembali aset yang diperoleh melalui dana 1MDB, yang didakwa diselewengkan.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa mana-mana individu atau syarikat Malaysia yang didapati terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang di mana-mana saja di dunia, bakal berdepan dengan tindakan perundangan.

Menurutnya kerajaan Malaysia komited menyelesaikan isu itu sepenuhnya dan keutamaan diberikan kepada usaha menegakkan keadilan bagi memastikan kepentingan rakyat dilindungi sepenuhnya.

"Apa yang lebih penting ialah kita tidak boleh membiarkan diri kita terjejas dengan tindakan undang-undang itu.

"Rakyat Malaysia perlu terus bersatu dan memberi tumpuan dalam menghadapi cabaran yang mendepani negara kita sama ada di tanah air atau di luar negara. Saya yakin, kita dapat mengatasi masalah 1MDB tidak lama lagi," katanya.

- Bernama