Showing posts with label Jabatan Kehakiman (DOJ) AS. Show all posts
Showing posts with label Jabatan Kehakiman (DOJ) AS. Show all posts

Tuesday, December 5, 2017

Sessions: AS$3.5 bilion hasil rasuah dirampas, sebahagian dari 1MDB

1MDB kleptokrasi paling teruk, kata peguam negara AS
Hari ini, 10:20 am Hari ini, 10:39 am

Hampir separuh daripada kutipan hasil rasuah bernilai AS$ 3.5 bilion yang telah dirampas oleh kerajaan Amerika Syarikat datang dari saman sivil berkaitan 1MDB, dedah Peguam Negara Jeff Sessions.

"Hampir separuh daripada AS$ 3.5 bilion dalam kutipan rasuah yang telah kita tahan adalah berkaitan dengan hanya satu tindakan penguatkuasaan.

"Tindakan itu berkaitan dengan dana kekayaan negara Malaysia yang dikenali sebagai 1MDB," kata Sessions dalam ucapannya di Global Forum Global on Asset Recovery di Washington DC semalam.

Beliau berkata pegawai yang dikatakan rasuah dan sekutu mereka dilaporkan menggunakan dana 1MDB untuk "perbelanjaan mewah" seperti AS$ 200 juta untuk hartanah di California Selatan dan New York, AS $ 130 juta dalam karya seni, AS$ 100 juta untuk muzik dan kapal layar AS$ 265 juta.

Pegawai 1MDB didakwa melakukan pengubahan wang haram lebih daripada AS $ 4.5 bilion secara keseluruhan menerusi urus niaga haram yang kompleks dan syarikat cengkerang dengan akaun bank di pelbagai negara seperti Switzerland, Singapura, Luxembourg dan Amerika Syarikat, katanya.

"Ini kleptokrasi paling teruk.

"Hari ini, Jabatan Keadilan AS (DOJ) sedang berusaha untuk memberi keadilan kepada mangsa-mangsa skim yang dikatakan ini," katanya.

Beliau bercakap mengenai usaha AS bekerjasama dengan badan penguatkuasa undang-undang di seluruh dunia dan bagaimana ia telah memberi manfaat kepada mereka.

Amerika Syarikat telah mengembalikan lebih AS$ 255 juta hasil rasuah sejak tahun 2004 sebagai pampasan kepada mangsa, katanya.

"Perolehan itu hanya mungkin dilakukan kerana kerjasama dengan rakan penguatkuasa undang-undang asing kita," katanya.

Mengulas pengalaman selama 14 tahun sebagai pendakwa, beliau berkata bukti terbaik dalam kes rasuah adalah seperti rekod bank, rekod penerbangan pesawat dan rekod telefon.

Jika maklumat tersebut tidak dikongsi dengan betul antara negara, maka "keadilan tidak dapat dilakukan" dalam banyak kes.

"Itulah sebabnya kita semua mesti berbuat lebih banyak untuk mempercepat permintaan Bantuan Perundangan Bersama (MLA).

"Permintaan ini memastikan bahawa pendakwa mempunyai bukti bahawa mereka perlu membawa penjenayah ke muka pengadilan," katanya.

DOJ telah memfailkan tiga saman pelucuthakan sivil untuk merampas aset bernilai AS$ 1.7 bilion yang didakwa dibeli dengan dana yang disalahgunakan dari 1MDB.

Kali ketiga saman tersebut difailkan ialah pada Jun lalu.

[Baca berita asal]

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/404349#D1vs6blpp65VymKU.99

Sunday, July 2, 2017

Kertas putih adalah jawapan skandal 1MDB

Kerajaan perlu segera menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat isu 1MDB seterusnya mengeluarkan kertas putih supaya tiada mana-mana pihak mengamgil kesempatan, kata PAS hari ini.

Timbalan presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata walaupun parti itu ada pengalaman pahit berhubung kertas putih, dalam keadaans sekarang itu saja pilihan yang ada sementara semua parti politik menunggu kedatangan pilihan raya umum (PRU) ke-14

"Isu ini perlu diselesaikan dalam negara secepat mungkin supaya tiada pihak yang boleh mengambil kesempatan ke atasnya.

"Diharap semua pihak dapat melobi agar RCI untuk 1MDB diadakan secepat mungkin.

"Walaupun PAS mempunyai pengalaman pahit berhubung kertas putih dalam isu Memali - apabila kertas putih itu pun telah menjadi kelabu asap - tapi itu sahaja pilihan yang ada sementara semua parti politik menanti keputusan rakyat di PRU ke-14," katanya dalam kenyataan hari ini.

PAS berkali-kali bertegas menolak sebarang campur tangan asing dalam usaha parti pembangkang mengenakan tekanan terhadap kerajaan berhubung skandal 1MDB.

Ada pemimpin PAS mengaitkan laporan dibuat pihak tertentu di negara asing sebagai cubaan menjemput negara asing supaya campur tangan dalam urusan dalaman negara.
Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan menggelar pihak itu sebagai orang yang "pendek akal".

Kata Tuan Ibrahim kegagalan institusi penguatkuasaan di negara ini membawa Malaysia ke arah bahaya.

Menurutnya rakyat perlu yakin kepada seluruh institusi negara, terutama berkaitan penguatkuasaan dan kehakiman yang memastikan peraturan dipatuhi tanpa pengecualian.

"Apabila semua tempat rakyat mengharapkan keadilan bagi membela nasib mereka telah hilang, tidak pelik jika sesiapa sahaja yang dianggap dapat membantu mereka akan disanjung dan didukung.

"Pendek kata, kegagalan atau kerakusan kerajaan yang merosakkan keyakinan rakyat kepada sistem negara adalah pembuka pintu kepada pihak asing mengambil peluang untuk terlibat di dalam urusan sesebuah negara," katanya lagi.

Penguatkuasaan sangat lemah

Dalam isu 1MDB, kata Tuan Ibrahim, kegagalan institusi penguatkuasaan menyiasat dan bersikap telus membuka ruang kepada pihak lain yang sudi menyiasatnya.

Contohnya, kata beliau, laporan audit terhadap 1MDB kini masih diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

"SPRM dengan mudahnya menolak kes 1MDB dan berkata ia di bawah siasatan polis. Polis pula berkata kes ini sedang disiasat tanpa ada tempoh waktu yang tetap untuk menyiapkan siasatan.

"Sehingga hari ini, Peguam Negara tetap berkata tiada bukti sedangkan bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mengesahkan bahawa denda yang dikenakan kepada badan dan institusi kewangan yang melanggar peraturan Bank Negara dalam kes 1MDB mungkin adalah yang tertinggi dalam sejarah.

"Kesannya, apabila Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mengeluarkan laporan siasatan dan pendakwaan sivilnya yang melibatkan 1MDB, ia amat menarik perhatian rakyat kita sendiri," katanya.

Persoalannya, kata Tuan Ibrahim, apakah sistem penguatkuasaan Malaysia begitu lemah dibandingkan dengan DOJ.

"Tapi apakah sistem penguatkuasaan kita dirosakkan kerana ingin mempertahankan sebuah pasangan berkuasa? Tidak pasti, tapi PAS percaya sebilangan besar rakyat sudah ada jawapannya yang tidak perlu dibicara lagi," katanya.

Tak malukah kita

PAS, katanya, tidak membela penyelewengan terutamanya isu yang melibatkan salah urus tadbir negara, rasuah dalam pelbagai isu besar negara termasuklah 1MDB, kerugian dagangan mata wang asing Bank Negara Malaysia, kerugian MAS, kronisme syarikat anak-beranak dan segala bentuk program dan polisi yang membazir wang negara.

"Bagi PAS, pelbagai kemelut yang berlaku mesti ditangani dengan cermat dan penuh berhemah. PAS berpegang kepada prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan ia bersalah," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, ketika DOJ memulakan pendakwaan sivil terhadap individu yang dikaitkan dengan 1MDB, penguat kuasa dalam negara berkata, ia masih di peringkat siasatan sedangkan skandal berkenaan sudah lama berlaku.

"Macam mana boleh siasatan domestik terhadap kes yang berlaku dalam negara lebih lambat daripada siasatan di luar negara?

"Tidak malukah kita? Bukan ini menghakis keyakinan rakyat?" katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, semua pihak yang diharapkan rakyat untuk bertindak dalam isu 1MDB mengeluarkan kenyataan bahawa tiada kes untuk didakwa.

"Cuma Bank Negara Malaysia sahaja yang menyatakan bahawa mereka tiada kuasa untuk melakukan pendakwaan terhadap 1MDB, bukannya ianya tiada kes.

"1MDB bertegas bahawa wang mereka tidak hilang, masih ada sama ada dalam bentuk aset atau pelaburan. Namun DOJ menyatakan berlaku pengubahan wang haram yang bersumber dari dana 1MDB. Siapa yang betul?" katanya.

Saturday, July 1, 2017

Pas kesal campur tangan asing dalam isu 1MDB

HABSAH ISMAIL
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
KOTA BHARU - Pas kesal apabila isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan campur tangan negara luar sedangkan tindakan itu boleh merugikan Malaysia.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, Pas secara jelas menolak 1MDB kerana ia didakwa merupakan satu perniagaan yang salah, sama ada dari sudut syarak atau hukum perniagaan.

“Jabatan Kehakiman (DOJ) berhak untuk melakukan siasatan ke atas siapa yang dia mahu yang melibatkan negara masing-masing termasuk isu 1MDB, tetapi kita rakyat Malaysia tidak boleh terpengaruh dengan apa-apa campur tangan dengan negara asing.

“1MDB ini bukan payah untuk difahami kerana rakyat sudah tahu ia adalah satu perniagaan yang dianggap melibatkan riba dan harta rakyat sebagai jaminan dalam perniagaan itu, malah banyak tadbir urus yang salah, juga ada campur tangan terutama politik,” dakwanya kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.

Nik Mohamad Abduh berkata, mencukupi atau memuaskan hati rakyat sekiranya suruhanjaya bebas ditubuhkan, namun apa yang menjadi masalahnya kata beliau, kerajaan dianggap gagal untuk berbuat demikian.

“Mereka bahkan cuba menyembunyikan sesuatu dalam siasatan 1MDB, jadi rakyat sudah boleh buat keputusan bahawa kerajaan BN memang gagal menangani isu 1MDB dan kita tidak perlu campur tangan negara asing.

“Kita tak akan jadikan DOJ sebagai rujukan kerana kita sendiri sudah ada kepakaran untuk menyiasat dan kita yakin isu 1MDB ini boleh disesuaikan dengan cara pembentukan suruhanjaya bebas, malah penubuhan itu sudah dipersetujui semua pihak termasuk pembangkang dan suara rakyat sendiri,” katanya.

Nik Mohamad Abduh yang juga bekas Ketua Pemuda Pas Pusat berkata, hanya BN sahaja yang menolak penubuhan suruhanjaya bebas tersebut, oleh itu segala tangungjawab terhadap isu 1MDB terletak kepada mereka.

“Pas berharap rakyat dapat menilai dengan baik dan menyeru rakyat supaya bangkit memastikan pemerintahan politik kembali ke landasan yang benar dan diurus tadbir dengan baik,” katanya.

Sunday, June 18, 2017

Hisham cabar DOJ

Zikri Kamarulzaman 
Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein mencabar Jabatan Kehakiman (DOJ) melakukan pendakwaan jika benar agensi penguat kuasa AS itu memiliki bukti berkaitan dana 1MDB.

Beliau juga menyatakan keraguannya mengenai identiti sebenar Malaysian Official 1 apabila isteri individu terbabit kini turut dibabitkan dalam skandal agensi pelaburan negara.

Bercakap kepada media di Kuala Lumpur hari ini, Hishammuddin yang juga menteri pertahanan berkata jika DOJ tidak mengemukakan dakwaan di mahkamah, ia hanya menjejaskan kredibiliti mereka.

"Saya nak nasihat, kalau DOJ mempunyai bukti-bukti yang kukuh, dakwalah, jangan buat kenyataan demi kenyataan tanpa mengambil tindakan .

"Apabila mereka (DOJ) dakwa (di mahkamah), yang yang didakwa ada ruang untuk membersihkan nama masing-masing," katanya.

DOJ pada Khamis lalu membuat kejutan degan saman sivil ketiganya untuk merampas pelbagai aset didakwa diperoleh melalui salah guna dana 1MDB.

Antara individu dinamakan DOJ dalam saman berkenaan ialah ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang, Jho Low dan anak tiri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz.

Keadaan diambil kesempatan

Turut dinamakan dalam saman itu ialah seseorang dirujuk sebagai MO1 dan isterinya.

Saman setebal 251 halaman itu antara lain mendakwa wang bernilai AS$620 juta (RM2.6 bilion) yang sepatutnya dikembalikan kepada "penderma" malah dipindahkan kepada Low yang menggunakan wang itu untuk membeli rantai leher berlian buat isteri MO1. Rantai merah jambu itu dikatakan bernilai AS$27.3 juta (RM116.7 juta).
Tahun lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan mengenal pasti MO1 sebagai Najib namun menegaskan nama perdana menteri tidak disebut dalam saman berkenaan.

Justeru, katanya, Najib tidak tertakluk kepada siasatan DOJ.

Bagaimanapun Hishammuddin mempertikaikan tanggapan itu apabila ditanya sama ada MO1 adalah Najib.

"Ia boleh jadi sesiapa saja. MO1 itu mungkin (Menteri Kewangan II, Datuk Seri) Johari (Abdul) Ghani.

"Sehinggalah kita tahu fakta sebenar, sehingga mereka membuat dakwaan rasmi, macam mana kita nak tahu (siapa sebenarnya MO1)?" katanya.

Hishammuddin yang juga sepupu kepada Najib berkata, DOJ boleh dianggap tidak bertanggungjawab dan kegagalan mereka bertindak mendorong wujud spekulasi dan ia diambil kesempatan oleh ahli politik yang oportunis

Ditanya jika saman DOJ itu akan memberi kesan kepada BN pada pilihan raya umum akan datang, beliau berkata, rakyat yang akan menentukan.

DOJ: Rakyat jangan terpedaya penipuan akhir zaman

Muhammad Rahimi Osman
ULASAN | Apabila saya membaca saman sivil 251 mukasurat yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat kelmarin, saya rasa ia tidak ubah seperti sebuah karya fiksyen.

Saya amat teruja dengan jalan ceritanya, watak-watak yang disebut seolah-olah lebih dasyat dari Voldermort dalam kisah Harry Potter atau Claudius dalam karya William Shakespeare, Hamlet.

Namun, fiksyen tetap sebuah fiksyen dan ianya kekal rekaan imaginasi semata-mata.

Dokumen saman tersebut cuma penuh dengan cerita-cerita kosong serta kronologi peristiwa yang dikatakan telah berlaku sepanjang beberapa tahun yang lepas.

Ia tidak langsung dilampirkan dengan sebarang bukti mengenai ‘Penyelewengan Dana 1MDB’ oleh individu-individu yang telah dinamakan.

Jadi bagi saya, melainkan satu keputusan di mahkamah yang adil bersandarkan bahan bukti yang kukuh serta kesaksian individu yang tidak berkepentingan dan diragui, barulah satu telahan baru boleh dibuat terhadap apa yang disebut dalam saman DOJ ini.

DOJ sendiri nampaknya mengambil langkah berhati-hati apabila menamakan individu-individu dalam saman tersebut.

Jika mereka mempunyai bukti yang kukuh yang melibatkan pegawai-pegawai kerajaan ini, maka sudah tentu mereka akan terus menamakan individu-individu tersebut dengan nama yang sebenar sebagai defendan.

Pembangkang alih isu rakyat

Namun, saman sivil DOJ siri ke dua ini menjadi satu bahan baru buat pembangkang yang kehausan isu dan berada di ambang keretakan yang maha dasyat.

Sejak beberapa bulan lepas, mereka seakan-akan hilang arah kerana diasak dengan pelbagai permasalahan dan pertikaian dalaman.

Perginya PAS meninggalkan wadah Pakatan Harapan merupakan satu malapetaka kepada mereka.

Tanpa ketumbukan pengaruh PAS, mereka kehilangan lebih dari separuh sokongan yang diperlukan untuk menang pada pilihan raya umum.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pula tidak mampu meraih sokongan ahli-ahli Umno yang diimpikan selama ini, malah satu demi satu pemimpin mereka pergi meninggalkan parti.

BERSATU telah digoncang kuat apabila ketua-ketua penaja bahagiannya di seluruh negeri Perak keluar parti beramai-ramai. Ternyata Tun Dr Mahathir Mohamad itu tidaklah sehebat mana dalam memimpin sesebuah gerakan.

DAP pula diancam dengan pelbagai tuduhan korupsi yang berlegar di sekitar Komtar. PKR juga berdepan krisis perpecahan apabila timbul pertikian terbuka antara pemimpin-pemimpin mereka.

Faksi-faksi Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR mula menghala muncung senjata ke arah masing-masing.

Bagai warga zoo yang dihulurkan makan dalam baldi, maka bertempiklah mereka apabila timbul isu DOJ ini. Mudah untuk mengalihkan fokus rakyat terhadap masalah yang dialami mereka.

Satu demi satu kenyataan dibuat dengan pelbagai saranan dan tuduhan. Saya percaya, ramai yang mengeluarkan kenyataan itu masih belum memahami saman sivil DOJ ini kerana mereka tidak membacanya dari helaian ke helaian.

Rakyat mudah terpengaruh

Bagi menghangatkan lagi keadaan, fiksyen saman kali ini dikarang dengan tambahan satu watak baru iaitu ‘isteri MO1’.

Mereka tahu bahawa rakyat Malaysia mudah terpengaruh dengan cerita-cerita sensasi mengenai Datin Seri Rosmah Mansor.

Maka mereka membuat watak yang membayangkan seolah-olah Datin Seri Rosmah juga turut terlibat dalam cerita rekaan mereka ini.

Kendatipun mereka tidak mempunyai sebarang bukti kukuh, namun dengan menggunakan nama pembayang ini mereka terselamat dari sebarang tindakan atau tentangan dari kerajaan Malaysia.

Dalam masa yang sama objektif mereka untuk memburuk-burukkan Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah tetap terlaksana. Bijaknya mereka ini memperbodohkan kita!

Mereka tidak salah startegi. Pemimpin dan penyokong pembangkang, keyboard warriors dan pemilik portal yang dahagakan isu sensasi terus keluar dengan telahan masing-masing.

Seorang pemimpin DAP pula melompat seperti kera menggesa Datin Seri Rosmah menjelaskan siapa isteri MO1 tersebut.

Friday, June 16, 2017

Rosmah ingatkan rakyat jangan percaya fitnah

Anne Muhammad
Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor mengingatkan rakyat di negara ini supaya tidak mudah mempercayai fitnah yang sengaja diadakan bagi menjatuhkan pemimpin, organisasi mahupun negara.

Katanya, ada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan sosial media bagi tujuan itu.

“Bagi melebar luas anasir-anasir kotor mereka, media sosial telah dijadikan senjata utama mereka untuk mengelirukan serta mempengaruhi minda dan fikiran rakyat.

“Natijahnya orang yang difitnah terus menjadi mangsa dan masyarakat akan dimomokkan dengan perkara tidak benar,” kata Rosmah dalam ucapannya sebelum memberi sumbangan Hari Raya di Kementerian Pertahanan Malaysia Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur, hari ini.

Peringatan Rosmah itu dibuat ketika Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat memfailkan saman sivil terbaru berkaitan dana 1MDB yang diseleweng yang turut menyebut tentang isteri Malaysian Official 1 (MO1).

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman mengesahkan bahawa MO1 yang dinamakan dalam saman pertama DOJ pada tahun lalu adalah Najib.

Dalam kenyataan terbarunya semalam, DOJ mendakwa sebahagian daripada wang AS$620 juta yang didakwa oleh MO1 kononnya telah dipulangkan kepada "penderma" beliau telah digunakan untuk membeli loket berlian 22 karat dan rantai leher untuk isteri MO1 pada harga kira-kira AS$27.3 juta.

DOJ juga menuduh ahli perniagaan Jho Low membeli 27 rantai leher emas 18 karat lain dan gelang tangan untuk isteri MO1, bernilai sebanyak AS$1.3 juta.

Najib berulang kali menafikan beliau menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi dan menuduh dakwaan itu dibuat oleh mereka yang berkomplot untuk menggulingkan beliau daripada kuasa.

Peguam Negara Mohamed Tan Sri Apandi Ali juga telah membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku.

Sebelum itu Rosmah dalam ucapannya beliau menyentuh mengenai keamanan sejagat dan katanya semua pihak harus melihat peperangan itu bukan sahaja menggunakan senjata di medan tempur, kini perang siber juga adalah sebahagian dari bentuk peperangan yang boleh menggugat keamanan negara.

Beliau turut menyeru rakyat supaya meneliti fakta terlebih dahulu sebelum mempercayai segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kepada pemimpin.

“Justeru, dalam konteks ini, saya menyeru rakyat jangan mudah terpedaya dengan fitnah yang di putar-belit di media sosial. Malaysia adalah sebuah negara yang sedang pesat membangun, dan kita harus menyediakan masyarakat kita untuk menjadi masyarakat berfikir.

“Rakyat Malaysia janganlah mudah terpedaya dengan tohmahan, malah meneliti kesahihan fakta yang dilemparkan serta menyiasat kebenaran cerita tersebut.

“Hakikatnya fitnah adalah suatu jenayah kerana ia suatu rekaan daripada peristiwa yang tidak benar. Tujuannya adalah untuk merosakkan reputasi atau menjatuhkan kredibiliti seseorang,” katanya.

Thursday, November 3, 2016

'Rizal tak termasuk dalam siasatan rasuah'

Zikri Kamarulzaman  :
Tidak ada keperluan bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memanggil Riza Aziz, anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kerana dia tidak termasuk dalam siasatan rasuah, kata seorang timbalan menteri malam tadi.

"Riza memang tidak termasuk dalam siasatan rasuah, jadi tak perlu SPRM nak panggil pun," Datuk Razali Ibrahim memberitahu Parlimen malam tadi.

"Dia tak masuk dalam ambit siasatan kita. Dia bukan bagi duit kat sesiapa," kata Razali.

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menegaskan demikian ketika menggulung perbahasan bajet 2017, dengan tumpuan kepada SPRM dan Felda.

Apabila Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) bertanya mengenai dakwaan Jabatan Kehakiman (DOJ) bahawa Riza membeli hartanah mewah di luar negara dengan dana 1MDB, Razali menjawab: "Orang duit banyak beli barang apa salahnya".

Razali juga berkata, SPRM telah bertemu dengan Jho Low, tetapi timbalan menteri itu tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu. Suruhanjaya itu sebelum ini berkata ia telah mengambil kenyataan hartawan itu pada tahun lepas.

Menurut Razali lagi, ia terpulang kepada DOJ untuk membuktikan dakwaan bahawa wang 1MDB telah disalahgunakan.

"Dia (DOJ) kata wang rakyat Malaysia kena ambil. Tapi 1MDB kata duit itu tak hilang. Saya tengah tunggu (untuk tengok) apa yang betul."

Mengenai sama ada kerajaan akan bertindak sebagai pencelah dalam saman sivil DOJ, Razali berkata beliau tidak pasti tentang itu, tetapi berkata kalau Putrajaya hendak berbuat demikian "ia mesti ada kepentingan" dalam kes itu.

Friday, August 19, 2016

Umno mesti dikebumikan jika gagal pertahan Raja-raja Melayu

ULASAN l  Ahli Parlimen Langkawi, Nawawi Ahmad melakukan penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong apabila memfitnah, menghina dan mengheret nama suci Seri Paduka dengan skandal rasuah 1MDB.

Dengan mencadangkan bahawa MO1 (Malaysian Official 1), pegawai korup yang disebut dalam prosiding Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika, adalah Agong, beliau melakukan fitnah jenayah.

Kedudukan Agong adalah paling tinnggi dalam institusi negara mengikut perlembagaan persekutuan.

Oleh itu, semua rakyat Malaysia perlu bangkit untuk menuntut supaya peguam negara (AG) mesti menunjukkan semangat yang sama dalam mempertahankan dan melindungi institusi ini sebagai AG lakukan dalam membersihkan Najib Razak daripada dakwaan rasuah berhubung dengan skandal 1MDB.

Saya telah dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan kemudian sebagai timbalan presiden Umno kerana menimbulkan skandal ini, kerana mahu Umno dan kerajaan bersikap telus mengenai perkara ini.

Dengan pemecatan saya, Najib fikir rasuahnya boleh disembunyi di bawah permaidani.

Tetapi DOJ kemudian membuat tuduhan setebal 136 muka surat terhadap penyelewengan dana 1MDB.

Dokumen mahkamah menunjukkan tanpa keraguan bahawa firma dana pelaburan negara itu dijarah oleh seorang pegawai kerajaan yang korup dan dirujuk sebagai MO1. Penerangan yang cukup diberikan mengenai siapa itu MO1 ini.

Adalah menjijikan bagi rakyat menyaksikan institusi-institusi kerajaan yang bertanggungjawab untuk memantau, menyelia dan menyiasat dilumpuhkan.

Adalah sesuatu yang memalukan bagi orang Melayu-Islam bahawa tidak ada mufti negeri dan ulama kerajaan berani mengulas mengenai skandal ini walaupun Islam menuntut Amr Ma'ruf Nahy Mungkar.

Adalah jelik melihat ahli akar umbi Umno tidak mampu memperbetulkan Majlis Tertinggi dan kepimpinan tertinggi.

Dan hanya semata-mata untuk membela tidak lagi dapat dibela, ahli pParlimen Langkawi mengheret dan melumurkan kesucian institusi raja-raja Melayu dengan skandal ini dengan mencadangkan bahawa MO1 adalah Agong.

Begitu sekali wakil rakyat Umno sedia tunduk dalam mempertahankan presiden parti. Bagaimana ini boleh berlaku kepada parti keramat orang Melayu ini?

Apabila kita melihat pemimpin Umno dan ahli politik berkelakuan sedemikian, kita mesti menerima hakikat bahawa Umno tidak lagi dapat diselamatkan.

Umno tidak mungkin diselamatkan jika parti itu tidak mampu menyingkirkan pemimpin yang korup.

Umno mesti dikebumikan jika ia tidak dapat mempertahankan institusi raja tetapi lebih mementingkan mempertahankan presiden dan kini seorang ahli politik kerdil boleh menghina Seri Paduka tanpa sebarang tindakan.

Laporan polis telah dibuat berhubung fitnah itu oleh pengasas BERSATU, Anina Saadudin.

Terpulang kepada polis untuk mengambil tindakan.

Pejabat Peguam Negara pernah dan sedang mendakwa penulis blog, kartunis, peguam dan pemimpin pembangkang kerana menghasut dan di bawah Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Jabatan Peguam Negara kini perlu menggunakan undang-undang sama ke atas ahli parlimen Langkawi.

Tidak kurang pentingnya adalah untuk menamakan siapa sebenarnya adalah MO1.

Ini adalah supaya memastikan tidak ada individu lain pula yang tampil dan memfitnah Yang di-Pertuan Agong seperti yang dilakukan oleh ahli parlimen Langkawi mahupun ahli politik lain yang cuba mencari publisiti murahan. Fitnah seumpama ini mesti dihentikan.

Saya kata dengan jelas bahawa MO1 adalah Najib Razak. Beliau adalah penyangak yang dirujuk dalam pemfailan mahkamah DOJ.

Oleh kerana saya pasti yang diri saya adalah betul, saya meminta ahli Umno untuk memikirkan sama ada orang seperti ini yang mereka mahu sebagai pemimpin parti mereka.

Saya meminta rakyat Malaysia menjawap sama ada pemimpin ini yang mereka mahu sebagai perdana menteri dan memimpin negara ini?

Kita mesti menamatkan kekejian ini dan mengembalikan kebenaran serta keadilan. Saya minta semua rakyat Malaysia untuk bersatu dalam mencapai matlamat ini.

MUHYIDDIN YASSIN adalah bekas timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno.

Monday, August 8, 2016

Pemuda UMNO WP: DOJ sengaja bagi carca marba

Zikri Kamarulzaman 
 Hari ini, 9:48 pagi Hari ini, 9:49 pagi

Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) sengaja memasukkan Malaysian Official 1 (MO1) dalam dokumen saman sivil untuk merampas aset berkaitan 1MDB, untuk menjadikan Malaysia “carca marba”.

Akhirnya, kata Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Razlan Rafii, rakyat Malaysia bergaduh sesama sendiri bagi menentukan identiti pihak itu.

“Mereka bagi kita fikir entah apa-apa macam hendak histeria, umpamakan Malaysian Official 1 dengan si polan si polan.

“Akhirnya kita gaduh bersama sendiri,” katanya yang mendakwa ia membuatkan negara porak peranda.

Pengkritik mendakwa MO1 ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri.

Pemimpin Umno bagaimanapun menegaskan nama Najib tidak disebut secara langsung kerana beliau tidak terlibat.

DOJ merampas lebih RM1 bilion aset yang didakwa berasal daripada dana 1MDB yang menurutnya “dicuri” daripada rakyat Malaysia.

MO1 didakwa menerima US$731 juta daripada penyalahgunaan sekurang-kurangnya AS$3.5 bilion.

Beliau berkata AS terkenal sebagai negara yang memalsukan bukti untuk campur tangan dalam urusan negara lain.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini Jumaat lalu, Razlan membangkitkan kenyataan George W Bush, presiden AS pada 2002, yang mendakwa Iraq mempunyai senjata pemusnah.

Katanya, ia kemudian terbukti salah walaupun perang teluk telah tercetus.

“Mereka ingat Malaysia ini kecil. Mereka ingat boleh hancurkan Malaysia semalaman. (Mereka ingat boleh kata) aku buat kenyataan media hari ini ,esok kerajaan ubah,” katanya.

Saturday, August 6, 2016

Najib ulas hubungan 'hangat jadi masam' dengan Dr M


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berdepan dengan media Indonesia bagi menjelaskan dakwaan skandal 1MDB yang melanda dirinya.

Diwawancara Metro TV, beliau ditanya pelbagai perkara daripada isu tenaga kerja Indonesia di negara ini, hubungan dua hala dan hubungan “hangat jadi masam” beliau dengan Mahathir.

Mengakui Mahathir pernah menjadi mentor dan mendukung kepimpinan sebelum ini, Najib berkata bekas perdana menteri keempat itu suka mengawal keputusan negara walaupun sudah tidak lagi berkuasa.

“Saya tahu saya ada dua pilihan sebagai perdana menteri. Pertama, sama ada saya sebagai perdana menteri yang merujuk kepada beliau, mendapat 'nasihat' beliau, saya kata nasihat tapi mungkin arahan....

“Ataupun saya akan menjadi perdana menteri yang percaya kepada kepimpinan saya, pertimbangan saya, berdasarkan mandat yang rakyat dan parti telah berikan kepada saya.

Ditanya beliau memilih yang mana, Najib berkata beliau yang kedua dengan mempertimbangkan bertanggungjawab pada rakyat.

“Saya tak dengar cakap dia sebab saya fikir saya ada pertimbangkan yang tepat untuk Malaysia,” katanya ketika diminta mengulas hubungan “hangat jadi masam” mereka berdua.

Wawancara dengan Metro TV itu yang pertama dilakukan di peringkat antarabangsa selepas Jabatan Kehakiman (DOJ), Amerika Syarikat (AS) mendakwa sekurang-sekurang AS$3.5 bilion “dicuri” daripada 1MDB dan AS$1 bilion aset berkaitan syarikat itu akan disita.

Beliau sekali lagi menegaskan tidak terlibat dan berkata 1MDB hanya isu perniagaan tetapi dipolitikkan.

Wednesday, August 3, 2016

Mesyuarat MT Umno tak bincang MO1, kata Bung

Kow Gah Chie
Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Bung Moktar Radin mengakui parti itu membincangkan isu saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat ke atas 1MDB namun tidak menyentuh mengenai Malaysian Official 1 sekalipun ia disebut 36 kali dalam dokumen guaman itu.

"Kami tidak bincang kerana tiada yang tahu siapa itu MO1," katanya kepada Malaysiakini melalui temu bual telefon.

Ini di sebalik kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang mempengerusikan mesyuarat itu pada 29 Julai lalu yang berkata majlis tertinggi mengambil maklum mengenai kewujudan seseorang dikenali sebagai Malaysian Official 1 dalam dokumen itu.

"Kami maklum perkara itu dan ia telah jelaskan kepada orang ramai," kata Najib.

Mengulas lanjut, Bung berkata DOJ tidak menamakan individu itu, justeru adalah sukar untuk meramalkan identitinya.

Beliau diminta mengulas sama pemimpin seperti Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ada membangkitkan isu-isu berkaitan dengan MO1, yang sesetengah pihak percaya adalah Najib sendiri.

"Ya, mereka (orang ramai) boleh tuduh Najib, tetapi oleh kerana namanya tidak ada, MO1 ini boleh jadi siapa-siapa sahaja, boleh jadi kamu, boleh jadi saya... Boleh jadi (MO1) bukan sesiapa pun," katanya.

"Najib orang baik, saya suka dia dan saya akan sokongnya," katanya.

"Ini bukan satu isu. Ia bukan masalah besar," katanya.

Menurut Bung, saman DOJ disentuh secara ringkas pada mesyuarat majlis tertinggi, tetapi tidak dibincangkan secara panjang lebar.

Katanya, Umno memutuskan mereka yang dinamakan dalam saman berkenaan harus membersihkan nama mereka melalui mahkamah di Amerika.

Individu berkenaan termasuk tiga pegawai 1MDB yang tidak dinamakan, hartawan kelahiran Pulau Pinang Low Taek Jho dan anak tiri Najib, Riza Aziz.

Turut disebut Malaysian Official 1 yang tidak didedahkan identitinya, namun dikaitkan secara meluas dengan Najib.

Ini berdasarkan huraian mengenai Malaysian Official 1, hubungan kekeluargaan dengan Riza dan pembabitannya dalam skandal 1MDB.

Malaysian Official 1 didakwa akhirnya menerima AS$731 juta dana 1MDB.

[Baca berita penuh]

Tuesday, August 2, 2016

Riza Aziz, Jho Low tiada kena mengena dengan kerajaan, kata Azalina

by ANA GHOIB2016-08-01
Kerajaan tidak akan menyediakan bantuan guaman kepada keempat-empat defendan yang dinamakan dalam saman Jabatan Kehakiman (DOJ) untuk melucutkan aset yang dikaitkan dengan 1MDB.

Menteri Undang-undang, Datuk Seri Azalina Othman Said, menjelaskan, saman itu adalah suatu perkara antara kerajaan Amerika Syarikat dan pihak yang dinamakan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan menghantar pakar undang-undang untuk mewakili kedua-dua Jho Low dan Riza Aziz, anak tiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

– KiniTV | Foto FMT

Saturday, July 30, 2016

Pembangkang: Najib berada dalam penafian terhadap laporan DoJ

Sheith Khidhir Bin Abu Bakar

Penafian Najib terhadap isu yang didedahkan oleh DoJ boleh membawa implikasi negatif kepada kebajikan rakyat selain merisikokan negara
PETALING JAYA: Sudah tiba masanya untuk Datuk Seri Najib Razak mengakui “Malaysian Official 1” (MO1) yang dinamakan oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) AS adalah dirinya dan 1MDB terlibat secara langsung dalam laporan itu, pesan Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Beliau dalam satu temuramah dengan FMT berkata, penafian oleh Perdana Menteri berhubung perkara itu akan hanya mengecewakan siasatan antarabangsa serta menghalang siasatan dalam negara.

“Dia berada dalam penafian dan ia membawa implikasi negatif kepada kebajikan rakyat selain merisikokan negara. Justeru eloklah beliau tampil menjelaskan perkara itu secara jujur,” katanya.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang bersetuju dengan Tian Chua berkata laporan DoJ dengan jelas menyatakan dana amanah awam negara telah digunakan dengan disalurkan ke dalam akaun bank peribadi seorang individu.

“Beliau (Najib) berada dalam penafian. Beliau terlibat dalam penipuan terbesar terhadap sebuah negara. MO1 disebut beberapa kali dalam laporan itu dan adakah beliau cuba menafikan dirinya bukan MO1?” katanya kepada FMT.

Santiago berpendapat kenyataan itu ditujukan kepada Umno untuk mengubah tumpuan ahli Umno terhadap kaitannya dengan 1MDB dan laporan DOJ dengan menimbulkan isu lain.

Dalam sidang akhbar di Hotel Empire Subang di sini hari ini, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata “pembohongan demi pembohongan” yang dikemukakan oleh pemimpin di negara ini menunjukkan mereka berada dalam penafian.

“Ada pihak yang cuba untuk menafikan kebenaran tetapi laporan DoJ dibuat berdasarkan bukti kukuh.

“Kenyataan mereka menunjukkan kononnya rakyat bodoh tetapi ia sebenarnya menjelaskan betapa tidak bijaknya mereka mengeluarkan sesuatu kenyataan.”

Pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam, Najib memberitahu laporan DoJ langsung tidak menamakan 1MDB.

Tambahnya, ini bermakna firma pelaburan awan negara tidak terlibat secara langsung dalam saman sivil yang difailkan oleh DoJ, sekali gus mengesahkan tiada aset milik 1MDB yang berada di Amerika Syarikat.

Monday, July 25, 2016

1MDB: Kerajaan tidak akan melindungi sesiapa pun - Salleh

PUTRAJAYA, 25 Julai: Rakyat Malaysia diminta bersabar dan menunggu sehingga proses berkaitan kes saman sivil oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewangan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) selesai.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Keruak berkata sementara menunggu proses itu, rakyat tidak seharusnya asyik bercakap dan membuat andaian mengenai isu berkenaan.

“Peguam AS akan membuat siasatan, dan tanggungjawab kita hanyalah perlu menunggu kerana kerajaan tidak akan melindungi sesiapa pun…kalau dia bersalah, harus dihukum,” katanya kepada media ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan kerajaan Malaysia telah memberikan kerjasama mengenai siasatan isu itu termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi maklumat yang diperlukan kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.

“Tetapi, apa yang berlaku sekarang terlalu banyak andaian dan tafsiran sendiri dan ini tidak adil kepada semua pihak termasuk yang disebut namanya,” katanya.

Sebagai rakyat di sebuah negara merdeka, beliau berkata mereka harus bebas dari segi pemikiran dan tidak hanya bergantung kepada ‘satu atau dua’ laporan sebagai sandaran.

“Memang dalam kertas (dokumen) itu, pelbagai perkara ditulis dan Peguam Negara juga telah berkata ia tidak semestinya telah muktamad dan memerlukan penyiasatan,”katanya.

Baru-baru ini, DOJ Amerika Syarikat memfailkan saman sivil bagi mendapatkan kembali aset yang diperoleh melalui dana 1MDB yang didakwa diselewengkan.

1MDB: Malaysia perlu sediakan pasukan lawan balik tuduhan AS

MELAKA, Isnin  –  Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Dr Abdul Rahim Tamby Chik berkata, Malaysia perlu menyediakan satu pasukan pakar undang-undang untuk membela kes syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, Malaysia harus mendepani isu saman sivil dikemukakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) berkaitan 1MDB dengan cara undang-undang.

“Negara ini perlu menyediakan satu pasukan pakar undang-undang yang terbaik meliputi dari dalam dan luar negara untuk membela kes ini sekiranya kes berkenaan di bawa ke mahkamah negara berkenaan.

“Jika ada tuduhan daripada AS, kita patut menyediakan pasukan untuk lawan balik, kerana AS lagi suka sekiranya kita mengambil tindakan tersebut daripada kita mengambil sikap berdiam diri.

“Saya khuatir jika berdiam diri, mereka bukan sahaja setakat akan mengambil tindakan undang-undang sivil pada tahap ini, iaitu untuk merampas harta-harta yang telah diambil tetapi kita bimbang mereka akan bergerak ke hadapan lagi dengan mengenakan tindakan undang-undang secara jenayah terhadap individu-individu terlibat.

“Kita perlu menyediakan pakar untuk berdebat di mahkamah AS dengan memberikan bukti-bukti, hujah-hujah, saksi-saksi serta dokumentasi yang cukup,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian, hari ini.

Terdahulu, DoJ AS dalam saman yang difailkan untuk menyita aset milik beberapa individu dan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyatakan bahawa dana yang diseleweng turut dibelanjakan untuk bayaran perjudian.

Selain itu, dokumen saman yang difailkan di Los Angeles turut menyatakan dana berkenaan dibelanjakan untuk membeli aset defendan, selain membiayai gaya hidup mewah mereka yang turut berkonspirasi dalam penyelewengan itu.

Ini termasuk pembelian lukisan dan barang kemas, hartanah mewah dan membayar selebriti terkenal bagi menghadiri parti.

Defendan yang dinamakan dalam saman itu ialah anak kepada isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor dengan suami pertamanya – Riza Shahriz Abdul Aziz -; ahli perniagaan Jho Low; Tan Kim Loong (rakan sekutu Jho Low – pemilik beberapa akaun bank di mana dana 1MDB yang diseleweng dipindahkan) dan pegawai kerajaan Abu Dhabi, Khadem al-Qubaisi serta Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny.

Dokumen itu turut menyatakan aset milik defendan adalah sebahagian daripada hasil lebih AS$3.5 bilion yang diselewengkan dari 1MDB dalam tempoh beberapa tahun lalu.

Sunday, July 24, 2016

TPM: Malaysia pandang serius saman DOJ

Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan memandang serius tindakan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS memfailkan saman pelucutan hak sivil yang berkaitan dengan 1MDB.

Beliau berkata Malaysia menyambut baik usaha DOJ AS dalam memerangi rasuah antarabangsa dan menggesa semua pihak terlibat supaya memberi kerjasama sepenuhnya supaya proses undang-undang dapat dilaksanakan.

Katanya Malaysia sebagai anggota bertanggungjawab Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat global, menghormati proses perundangan bagi bidang kuasa yang berbeza dan kekal komited sepenuhnya dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.

"Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, ini adalah selaras dengan komitmen kami untuk menggalakkan tadbir urus yang baik, terutamanya dari segi ketelusan dan akauntabiliti.

"Dalam kapasiti saya sebagai Menteri Dalam Negeri, saya boleh mengesahkan bahawa siasatan itu masih dijalankan dalam negara oleh pihak berkuasa yang berkaitan terutamanya Polis Diraja Malaysia," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

DOJ AS telah memfailkan saman sivil itu bagi mendapatkan kembali aset yang diperoleh melalui dana 1MDB, yang didakwa diselewengkan.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa mana-mana individu atau syarikat Malaysia yang didapati terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang di mana-mana saja di dunia, bakal berdepan dengan tindakan perundangan.

Menurutnya kerajaan Malaysia komited menyelesaikan isu itu sepenuhnya dan keutamaan diberikan kepada usaha menegakkan keadilan bagi memastikan kepentingan rakyat dilindungi sepenuhnya.

"Apa yang lebih penting ialah kita tidak boleh membiarkan diri kita terjejas dengan tindakan undang-undang itu.

"Rakyat Malaysia perlu terus bersatu dan memberi tumpuan dalam menghadapi cabaran yang mendepani negara kita sama ada di tanah air atau di luar negara. Saya yakin, kita dapat mengatasi masalah 1MDB tidak lama lagi," katanya.

- Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-