Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Saturday, October 19, 2019

Maszlee dilantik PH atau Umno, bidas akar umbi DAP


Seramai 43 pemimpin akar umbi, termasuk beberapa Adun DAP membantah pengumuman Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk melarang pengedaran komik 'Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI)' daripada memasuki sekolah.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka juga mempersoalkan mengapa Maszlee mengikut rentak bekas perdana menteri, Najib Razak dalam isu berkenaan.

“Kita nak tanya Maszlee, adakah beliau menteri dilantik Pakatan Harapan (PH) atau Umno? Jikalau dilantik oleh PH, mengapa perbuatan beliau semakin cenderung kepada Umno yang rasis?” soal mereka.

Kenyataan tersebut ditaja oleh Setiausaha Kebangsaan Pemuda DAP, Eric Teh dan Timbalan Ketua Pemuda DAP Selangor Koo Jeng Teng.

Lima Adun yang menandatangani kenyataan tersebut termasuk Phoong Jin Zhe (Adun Luyang merangkap Menteri Belia dan Sukan Sabah), Chiong Yoke Kong (Adun Tanah Rata, Pahang), Chow Yu Hui (Adun Tras, Pahang), Lee Chin Chen (Adun Bilut, Pahang) dan Leong Yu Man (Adun Triang, Pahang).

'Tak bantah buku Transformasi Najib masuk sekolah'

Kumpulan berkenaan berkata mereka sebelum ini tidak membantah apabila buku Transformasi Najib ketika era kerajaan terdahulu diedarkan ke sekolah-sekolah.

“Selagi tidak melanggar prinsip nilai sejagat manusia, perpustakaan universiti bahkan sekolah-sekolah menengah seharusnya memberi ruang kepada buku-buku aliran pemikiran.
"Macam kita tidak akan membantah buku komik Transformasi Najib diletakkan dalam sekolah kerana kita percaya murid-murid mempunyai pemikiran berdikari.”

Najib baru-baru ini mendakwa komik berkenaan, yang diedar ke sekolah-sekolah menengah jenis kebangsaan dan sekolah kebangsaan bertujuan menyebarkan propaganda DAP dan komunis.

Komik itu diterbitkan hasil kerjasama antara Kurator Muzium Kebudayaan dan Komik Asia yang berpangkalan di Pulau Pinang, Hew Kuan Yau dengan artis tempatan Chong Po Ling.

Hew bagaimanapun menafikan komik itu berunsur propaganda dan mengatakan buku itu turut disampaikan kepada pemimpin tertinggi China , April lalu.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri berkata komik itu yang disampaikan kepada Presiden China, Xi Jinping bukan hadiah rasmi dan dibawa tanpa mengikut prosedur.

Gesa tarik balik arahan

Mengulas lanjut, kumpulan berkenaan berkata komik itu bertujuan mengalakkan persahabatan antara Malaysia dan China serta mewujudkan semangat kemanusiaan.

“Walaupun isi kandungannya ada menyatakan perkara politik sebelum dan selepas (PRU) 9 Mei, tetapi berkisah secara fakta, tiada pemalsuan.

"Tidak seperti bekas perdana menteri Najib Razak mengatakan ia dipenuhi propaganda politik DAP," jelas kenyataan itu.
Kata mereka, walaupun Maszlee atau pihak sekolah tidak setuju dengan kandungannya, buku itu berhak diletakkan di perpustakaan sebagai catatan penting hubungan diplomatik Malaysia-China.

“Oleh itu, kita memohon Maszlee menarik balik arahan kepada sekolah yang tidak munasabah dan meluluskan buku komik tersebut diletak dalam perpustakaan sekolah menengah dan universiti.

“Kami juga memohon pihak polis supaya tidak melakukan siasatan politik atas Hew Kuan Yau untuk mengelakkan tekanan politik yang tidak perlu terhadap seniwan serta pelukis komik," kata mereka.

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-