Showing posts with label Menteri Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Menteri Pendidikan. Show all posts

Wednesday, October 9, 2024

1BestariNet: SPRM siasat 30 saksi, pertimbang panggil Mahdzir, Muhyiddin

malaysiakini.com
Hariz Mohd
Diterbitkan: Oct 9, 2024 12:24 PM
SPRM sedang mempertimbangkan untuk memanggil bekas Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid bagi membantu siasatan kes 1BestariNet yang membabitkan sebuah syarikat yang dilantik oleh kementerian untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada 8,000 sekolah didakwa membuat tuntutan palsu.

Menurut sumber yang rapat dengan siasatan itu, nama Mahdzir adalah antara dalam senarai penyiasat selain bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Itu la, orang kata Muhyiddin saja, sebenaranya bukan hanya tertumpu kepada (zaman) Muhyiddin saja.

“Orang lupa tentang Mahdzir Khalid, dia pernah menjadi menteri pelajaran selepas Muhyiddin dipecat. Jadi, dia memutuskan untuk meneruskan projek ini.

"Jadi ada dua bekas menteri yang kami cadang untuk panggil kemudian, kalau ada keperluan. Kerana menteri adalah orang yang memutuskan perkara dasar," kata sumber itu, yang enggan namanya didedahkan.

SPRM baru-baru ini melancarkan siasatan ke atas projek 1BestariNet yang dianugerahkan oleh Kementerian Pendidikan kepada YTL Communications Sdn Bhd pada 2011 atas dakwaan pembayaran untuk tuntutan palsu.

Program RM4.47 bilion itu, yang dianugerahkan melalui tender terbuka, bertujuan untuk melengkapkan lebih 10,000 sekolah di seluruh negara dengan perkhidmatan jalur lebar dan mewujudkan persekitaran bilik darjah maya.

Muhyiddin adalah menteri pendidikan ketika itu di bawah pentadbiran Najib Razak.

Sejak siasatan itu dimulakan, SPRM telah merekodkan kenyataan bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik yang memutuskan untuk menghentikan projek itu selepas dia memegang jawatan berkenaan pada 2018.

Agensi anti rasuah itu juga telah menyerbu pejabat YTL dan sebuah pejabat kerajaan, kedua-duanya di Kuala Lumpur.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi berkata dia tidak menolak kemungkinan pihaknya akan memanggil Mahdzir dan Muhyiddin untuk merekodkan kenyataan mereka berhubung kes itu.

Katanya, suruhanjaya itu mahu menganalisis semua bukti yang mereka kumpul terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada untuk memanggil bekas menteri itu ataupun sebaliknya.

Ditanya maklumat terkini kes itu, Azam berkata penyiasat SPRM sedang berusaha untuk mengesahkan tuntutan bulanan yang dibuat oleh syarikat tersebut.

Menurut ketua pesuruhjaya itu, pegawainya telah melawat beberapa sekolah setakat ini untuk menyemak sama ada perkhidmatan telah disampaikan seperti yang didakwa oleh syarikat itu ataupun tidak.

Seperti yang ditunjukkan oleh sumber kepada Malaysiakini, difahamkan antara aspek yang diteliti SPRM ialah syarat kontrak untuk syarikat berkenaan membina menara transmisi di setiap sekolah.

Azam berkata siasatan dijangka meliputi "sebanyak mungkin sekolah". Dia menganggarkan proses itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya beberapa bulan, memetik SPRM mempunyai bilangan pegawai yang terhad dan proses penelitian yang terbabit.

“Sehingga minggu lalu, kita telah merekodkan keterangan sekurang-kurangnya 30 saksi termasuk pegawai Kementerian Pendidikan, kakitangan syarikat dan lain-lain.

“Antara cabaran yang kita hadapi ialah berjumpa dengan pegawai menteri yang terlibat dalam mengendalikan proses perolehan projek itu, kerana ramai daripada mereka telah bersara.

"Kami juga sedang menunggu beberapa lagi dokumen daripada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan," katanya lagi.

Saturday, July 27, 2024

Maszlee saran Aiman Athirah letak jawatan MP, ketua Wanita Amanah

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 27, 2024 6:58 PM
Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik menyarankan agar Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen Sepang, susulan kehadirannya dalam acara kutipan dana sekolah Cina yang melibatkan jenama minuman keras.

Maszlee yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata, penglibatan Aiman dalam acara itu adalah insiden yang memalukan dan menjatuhkan imej Amanah.

Untuk rekod, Aiman adalah ketua Wanita Amanah.

“Islam rahmah yang dibawa oleh Amanah tidak pernah sekali-kali bermaksud menghalalkan arak dalam acara sekolah.

“Sewajarnya jika beliau mempunyai maruah dan integriti, beliau meletakkan jawatan secara sukarela sebagai ahli Parlimen secara terhormat dan juga meletakkan jawatan sebagai ketua Wanita Amanah.

“Ia akan menjadi pengajaran kepada ahli Parlimen Amanah yang lain agar lebih teliti, berhati-hati dan menjunjung prinsip Rahmah yang sebenar,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Isu berkenaan tular setelah gambar Aiman memegang replika cek dengan logo jenama Tiger Beer di acara kutipan anjuran SJK(C) Tche Min di Sungai Pelek di Sepang, Selangor dimuat naik di media sosial.
Kehadirannya itu dikritik PAS, antaranya oleh Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS pusat Dr Halimah Ali yang menyifatkannya sebagai tidak sesuai, dengan mengambil kira kedudukan Aiman Athirah selaku pemimpin kerajaan dan Amanah.

Namun Aiman menjelaskan kehadirannya sebagai tanda sokongan kepada sekolah, bukan arak.

Semalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata kerajaan mengekalkan garis panduan sedia ada untuk kutipan dana sekolah yang termasuk larangan sebarang pameran dan promosi minuman beralkohol di premis sekolah.

Bagaimanapun kerajaan juga bersetuju untuk mempertimbangkan membenarkan sekolah vernakular terus menerima sumbangan melalui lembaga pentadbiran sekolah, seperti yang diamalkan sebelum ini.

Sementara itu, Maszlee menyatakan rasa kesal dengan kenyataan Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang mengkritik Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berhubung isu berkenaan.

Jelasnya, apa yang dilakukan oleh Fadhlina selari dengan keputusan kabinet, falsafah pendidikan kebangsaan, pekeliling KPM sedia ada dan semangat Madani yang dibawa oleh kerajaan, iaitu mempromosikan gaya hidup sihat dalam pendidikan.

“Membenarkan syarikat arak dipromosikan secara besar-besaran di dalam acara melibatkan sekolah adalah tindakan membuka ‘kotak pandora’ untuk membenarkan industri tidak sihat lain untuk dipromosikan di dalam ranah pendidikan seperti industri tembakau, industri vape, industri perjudian dan hiburan kelab malam.

“Lim tidak perlu melihat isu promosi arak di dalam acara melibatkan sekolah dari sudut politik, agama mahupun perkauman. Ia berkaitan isu kesihatan, isu kesejahteraan hidup dan juga sivik,” tegasnya.

Wednesday, February 24, 2021

Tuduh PH manipulasi fakta sejarah, Maszlee nasihat Asyraf tanya Menteri Pendidikan Umno

malaysiadateline.com
Oleh SITI NUR ZAWANI MISCON
February 24, 2021 


Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyangkal tuduhan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) telah memanipulasi fakta sejarah dalam buku tingkatan empat semasa pentadbiran PH selama 22 bulan.

Maszlee berkata, Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) bagi tingkatan empat telah diperkenalkan pada tahun 2017 lagi yang ketika itu Menteri Pendidikannya dari parti Umno sendiri.

Jelasnya, amat mustahil PH mengubah kesemuanya kerana proses penggubalan kurikulum mengambil masa beberapa tahun dan proses itu perlu melibatkan panel pakar yang berpengalaman dalam subjek Sejarah.

“Amat mustahil untuk PH melakukan semua ini dalam masa setahun lebih memerintah. Ini bermakna untuk buku teks yang dicetak pada 2019 dan digunakan pada tahun 2020, prosesnya bermula sejak 2014 atau 2015 lagi.

“Sekali lagi saya nak beritahu kepada Dr Asyraf Wajdi, Menteri Pendidikan pada tahun 2015 adalah dari parti Umno. Boleh tanya beliau sendiri,” katanya dalam satu kenyataan balas di Facebooknya tadi.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu menegaskan, beliau sama sekali tidak pernah campur tangan dalam proses pelaksanaan KSSM biarpun terdapat beberapa pakar rujuk kurikulum sejarah yang sangat cenderung kepada Umno.

Menurutnya, apa yang dilakukannya dahulu adalah mengubah sistem pendidikan sedia ada secara besar-besaran dan menyelesaikan masalah-masalah yang sekian lama wujud seperti sekolah daif, murid cicir, pendidikan OKU dan beberapa lagi.

Beliau menyarankan agar Asyraf meneliti senarai Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu Prof. Madya Shamrahayu Aziz (UIAM); Prof. Kamaruzaman Yusoff (UTM); Prof. Emeritus Abdullah Zakaria Ghazali dan Dr. Ho Hui Ling(UM); Prof. Sivamurugan Pandian (USM); Prof. Madya Rohani Abd Ghani (UKM) dan Prof. Madya Bilcher Bala (UMS).

Menurutnya, adalah lebih tepat sebenarnya jika Asyraf bertanya kepada pakar-pakar itu daripada menuduh beliau dan PH secara membuta tuli.

Beliau turut menasihatkan Asyraf supaya menyiasat, membuat usul periksa dan memahami proses dan tatacara gerak kerja penjawat awam terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan.

“Saya berpendapat tuduhan melulu Asyraf yang menyalahkan 22 bulan pentadbiran PH hanyalah sebuah komen kosong tanpa usul periksa.

“Beliau menunjukkan sisi tidak mahir tentang proses dan tatacara penggubalan kurikulum oleh pihak KPM serta sebuah kecaman terhadap budaya kerja penjawat awam di KPM.

“Untuk makluman Dr Asyraf Wajdi juga, selama 20 bulan ketika saya menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan, kerajaan PH memberikan kebebasan kepada profesional di dalam Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) KPM untuk meneruskan kelangsungan pelaksanaan KSSM seperti yang dirancang melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2012-2025),” katanya lagi

Saturday, February 1, 2020

PKR akan bincang PPSMI - Saifuddin Nasution

BERITA

PKR akan membincangkan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dalam mesyuarat parti itu, kata Setiausaha Agong PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata PKR setakat ini belum ada pendirian berhubung PPSMI kerana perkara itu baru diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

"PKR bermesyuarat setiap minggu jadi kami akan membincangkan perkara ini segera.

"Perkara ini baru sahaja diumumkan oleh perdana menteri," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina PKR peringkat Kebangsaan di Padang Kota Lama, di George Town malam ini.

Majlis itu turut dihadiri Presiden PKR Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan barisan pemimpin parti-parti dalam Pakatan Harapan.

Saifuddin Nasution berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung cadangan Dr Mahathir yang mahu mengembalikan semula PPSMI sedangkan PKR satu ketika dahulu membantah serta menggesa memansuhkan PPSMI.
Sementara itu, Anwar ketika ditanya soalan yang sama berkata beliau menyerahkan cadangan pelaksanaan semula PPSMI kepada kabinet untuk membincangkannya.

"Biar depa (mereka) bincangkan (PPSMI) di kabinet," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Perdana menteri semasa mesyuarat khas bersama Kumpulan Pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya semalam menekankan tentang perlunya menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik.

Dr Mahathir, yang juga pemangku Menteri Pendidikan, berkata ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris dan penguasaan bahasa itu dalam sistem pendidikan negara.

Dasar PPSMI yang diperkenalkan pada 2003 telah digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) secara berperingkat mulai 2010.

- Bernama

Thursday, January 30, 2020

Iktiraf UEC sama seperti iktiraf Komunis

Iktiraf UEC sama seperti iktiraf Komunis
January 30, 2020


KELUAR sekarang Ultra Kiasu… Tak perlu tunggu sehingga rakyat menolak UEC.

Pemimpin parti Ultra Kiasu hari ini berkata, tidak teragak-agak keluar daripada kerajaan yang diterajui PH jika kerajaan tidak mengiktiraf UEC.

Kenyataan ini begitu jelas mesej yang ingin disampaikan kepada Menteri Pendidikan yang baharu. Berani sungguh Ultra Kiasu. Tidak ada adab langsung.

Dalam hati saya berkata, Alhamdulillah, tak perlu tunggu. Keluarlah sekarang juga. Saya nak sangat melihat, Ultra Kiasu ini angkat kaki.

Melihat keberadaan kamu dalam mengendalikan Dewan Rakyat, sudah jelas menampakkan sikap hipokrasi sebenar.

Saya merayu kepada Menteri Pendidikan, jangan sama sekali menerima UEC, kecuali UEC sedia patuh kepada semua ketetapan kerajaan. Jangan ulangi kesilapan BN terdahulu.

Mengiktiraf UEC sama seperti mengiktiraf Komunis. Inilah perjuangan NGO Komunis yang berhimpun di Kajang baru-baru ini. Begitu juga sikap mereka yang jelas menolak jawi. Apakah NGO Komunis ini boleh dipercayai?

Jika UEC diiktiraf, inilah kemenangan besar kepada jelmaan Parti Komunis Malaya (PKM). Justeru, kerajaan perlu bertegas dalam soal ini, jangan sama sekali mengiktiraf perjuangan Komunis selama ini.

Kenapa UEC tidak boleh diiktiraf?

Pertama, ia sendiri memilih untuk keluar daripada sistem, kemudian mahukan kerajaan iktiraf. Sendirilah bikin, sendirilah buat, kenapa mahukan susahkan kerajaan, haiya….ini maciam pun talak bule pahamkah?

Kedua, ia dikelolakan oleh NGO Komunis ini sendiri, yang tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia. Tidak menjunjung agenda bernegara.

Ketiga, ia tidak pernah patuh kepada arahan kerajaan. Mana ada dalam dunia, sijil dikeluarkan oleh NGO, tanpa melalui Lembaga Peperiksaan.

Keempat, jika kerajaan iktiraf bermakna kerajaan tidak berlaku adil kepada sekolah aliran kebangsaan yang mengikut sistem.

Termasuk juga tidak berlaku adil kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) yang berada dalam sistem. Kasihan pelajar-pelajar SMJKC jika UEC diiktiraf. Dahulu, NGO Komunis ini jugalah yang berkeras kepala untuk berpisah dengan SMJKC.

Kelima, mengiktiraf UEC bererti mengiktiraf Komunis. Saya mohon kerajaan haramkan NGO rasis Komunis ini dengan segera. Tidak timbul soal pengiktirafan lagi.

Keenam, UEC bercanggah dengan Perlembagaan Negara. Kewujudannya tidak berperlembagaan.

Cukuplah sekadar ini dahulu. Banyak yang telah saya nukilkan sebelum ini. Harapan saya, jika benarlah berita yang dikeluarkan hari ini, maka inilah masanya untuk Menteri Pendidikan bertindak. Ikutkan sahaja kemahuan Ultra Kiasu yang mahu keluar daripada kerajaan. Lagi mudah kerja.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH

HAKAHDAILY
30/1/2020

Saturday, January 11, 2020

Buku Harapan tidak halang PM jadi menteri pendidikan, kata peguam

FMT Reporters
-January 11, 2020 8:41 AM

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Dr Mahathir tidak dihalang daripada memegang jawatan menteri pendidikan, apatah lagi dalam kapasiti sebagai pemangku menteri.

PETALING JAYA: Seorang peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menolak anggapan bahawa Buku Harapan yang merupakan manifesto Pakatan Harapan (PH) menghalang perdana menteri daripada memegang jawatan portfolio lain.

Haniff, yang memberi respons kepada bekas timbalan presiden PKR Syed Husin Ali berkata, pembacaan biasa buku tersebut di bawah Janji 12 menunjukkan perdana menteri adalah “diharamkan” daripada memegang jawatan menteri kewangan semata-mata, bukan portfolio lain, walaupun ia tidak digalakkan.

“Rujukan kepada Buku Harapan di bawah Janji 12 mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri dan menstruktir semula Jabatan Perdana Menteri.

“Perdana menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain, terutamanya jawatan menteri kewangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Dr Mahathir Mohamad tidak dihalang daripada memegang jawatan menteri pendidikan, apatah lagi dalam kapasiti sebagai pemangku menteri.

Syed Husin berkata semalam, Mahathir sekali lagi membuat keputusan memalukan apabila secara terang-terangan melanggar janji manifesto PH dengan membuat keputusan memangku jawatan menteri pendidikan.

“Dahulu dia sudah ambil jawatan menteri pendidikan, kemudian dia tarik diri sebab melanggar manifesto dan ditentang parti serta orang awam.

“Jadi apa yang dibuatnya hari ini adalah dia melanggar sekali lagi apa yang sudah dilanggar sebelum ini,” katanya semalam merujuk kepada kenyataan Pejabat Perdana Menteri yang memaklumkan keputusan Kabinet melantik perdana menteri sebagai pemangku menteri pendidikan berkuat kuasa 3 Jan.

Haniff berkata, Syed Husin harus membaca dan menghayati kandungan sebenar Buku Harapan sebelum membuat kenyataan tidak tepat dan boleh mengelirukan rakyat

“Kenyataan tidak tepat dan khilaf yang menjurus kepada tohmahan salah ini datangnya daripada seorang pemimpin parti gabungan dalam PH,” katanya.

Minggu lepas, ketika mengumumkan melepaskan jawatan sebagai menteri pendidikan berkuat kuasa 3 Jan, Maszlee Malik berkata, beliau membuat keputusan itu berdasarkan nasihat perdana menteri.

Friday, January 10, 2020

Mahathir pangku jawatan menteri pendidikan

BERITA

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sendiri memangku jawatan menteri pendidikan yang dikosongkan ahli akademik Maszlee Malik pada minggu lalu.

Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan Pejabat Perdana Menteri tengah hari ini, ia hanya buat sementara waktu.

“Keputusan ini berkuat kuasa pada 3 Januari 2020 dan Dr Mahathir akan memangku jawatan tersebut sehingga menteri pendidikan yang baharu dilantik,” kata kenyataan itu.

Maszlee kita mengumumkan peletakannya itu minggu lalu berkata beliau “memulangkan” jawatan itu kepada Mahathir yang dirujuknya sebagai “ayahanda”.

Pada 2 Januari, Maszlee Malik mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri pendidikan yang berkuat kuasa 3 Januari.

Ia diumumkan dalam satu sidang media khas di Putrajaya selepas satu pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Untuk rekod, selepas membentuk kerajaan pada Mei tahun lalu, Mahathir asalnya memegang portfolio berkenaan sebelum dikritik ramai kerana bercanggah dengan manifesto PH.

PH berjanji perdana menteri tidak boleh memegang portfolio lain dalam kabinet.

Jawatan tersebut kemudian diserahkan kepada Maszlee.

Mahathir pernah menyandang jawatan tersebut menteri pendidikan pada 1974 sehingga 1977 sewaktu pentadbiran Abdul Razak Hussein dan Hussein Onn.

Dalam isu pendidikan, beliau terpalit dengan kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Dasar yang diperkenalkan di zamannya itu kemudian dimansuhkan di era Najib Razak selepas bantahan hebat, termasuk mengundang demonstrasi besar aktivis bahasa Melayu dan parti pembangkang.

Wednesday, January 8, 2020

Kabinet sudah pilih siapa pemangku menteri pendidikan, kata Guan Eng

Jason Thomas
-January 8, 2020 4:49 PM

Lim Guan Eng.

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan Kabinet sudah memilih pemangku menteri pendidikan.

Pada sidang media majlis bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri hari ini, Lim berkata Kabinet sudah bersetuju siapa yang akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Maszlee Malik, yang meletak jawatan minggu lepas.

“Kita sudah ada keputusan tapi perdana menteri akan umumkan,” kata Lim.

Maszliee yang dipilih Mahathir kira-kira 20 bulan lepas diminta meletakkan jawatan pada Khamis lepas.

Perkembangan ini menyusuli beberapa kontroversi antaranya pengenalan Jawi di sekolah-sekolah vernakular, kuota matrikulasi pra-universiti, dan soalan kertas peperiksaan sebuah universiti di Perlis.

Tuesday, January 7, 2020

Pengganti Maszlee: Kenyataan Ronnie tonjol sifat tamak DAP

Oleh Athirah Huda Zalhe
07/01/2020

Tak mustahil menteri pendidikan disandang individu untungkan parti cauvinis


BANGI, 11 Jamadilawal 1441H, Selasa – Kenyataan ‘keras’ pemimpin DAP, Ronnie Liu berhubung isu pengganti Dr Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan, menunjukkan sikap tamak dan rakus parti cauvinis itu dalam merebut jawatan penting kerajaan.

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Suhaib Ar-Rumy Selamat menyifatkan, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu sebagai bukti bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini didominasi oleh DAP.

Ronnie dalam kenyataan di Facebook mengingatkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya tidak bersikap bongkak dalam isu pengganti Maszlee.

Katanya, Dr Mahathir telah dipilih oleh PH sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) walaupun Bersatu hanya memenangi 13 kerusi Parlimen.

“Adalah lebih baik untuk perdana menteri cuba menerima cadangan yang dilontarkan pimpinan tertinggi komponen setiap parti supaya satu pelantikan bijak serta tepat dapat dilaksanakan kali ini,” kata Ronnie.

Mengulas perkara itu, Ustaz Suhaib mendakwa, tidak mustahil menteri pendidikan akan disandang oleh individu yang akan menguntungkan DAP sekiranya kerajaan tunduk kepada desakan parti berkenaan.

“DAP terdesak untuk menentukan siapa pengganti Maszlee bagi memastikan kepentingan mereka terutama pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu), bantahan silibus jawi dan nasib sekolah vernakular terjaga dan tidak diganggu-gugat oleh sesiapa,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Isu pengganti Maszlee menjadi polemik kebelakangan ini selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilaporkan mencadang, supaya pelantikan menteri pendidikan baharu dibincangkan dalam mesyuarat PH.

Bagaimanapun, cadangan menteri kewangan itu dikritik banyak pihak termasuk Ketua Penerangan Bersatu yang juga Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Radzi Jidin.

Sunday, January 5, 2020

Menteri Pendidikan mesti Islam, Melayu


KOTA BHARU: Individu yang layak mengantikan kekosongan jawatan Menteri Pendidikan merupakan orang Islam dan Melayu, kata Timbalan Presiden PAS Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

Namun katanya kelayakan yang paling penting ialah hala tuju serta mempunyai komitmen bagi memperkasakan sistem pendidikan negara.

“Kita tidak tahu siapa yang akan dilantik tetapi harapan kita pendidikan satu benda penting kena ada asas sepadu antara spiritual, mental dan fizikal.

“Tidak boleh hanya fokus kepada pencapaian fizikal dan mentaliti tanpa kekuatan spiritual. Cabaran besar anak-anak sekarang perlu satu sistem pendidikan kukuh berteraskan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pecah tanah pembinaan bangunan dua tingkat Pasti al Husna Kedai Dewan Beta di sini semalam.

Turut hadir Pegawai Khas Ahli Parlimen Kubang Kerian Ustaz Mohamad Daud Omar; Ketua Pemuda Dun Salor Saizol Ismail; Setiausaha Majlis Tindakan Dun Salor, Hassan Ibrahim dan Pengerusi Pasti al Husna Mohd Nuri Mat Yaakob.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, perletakan jawatan itu dianggap sebagai satu kejadian pelik kerana berlaku ketika musim sekolah baru bermula.

Khamis lepas Dr Maszlee Malik membuat kejutan apabila mengumumkan meletak jawatan dengan memulangkan jawatan Menteri Pendidikan kepada perdana menteri.

 – HARAKAHDAILY 
    5/1/2020

Friday, January 3, 2020

'Tok Pa pilihan terbaik sebab menteri pendidikan kuota Bersatu'

BERITA

Adun Ayer Lanas, Mustapa Mohamed dilihat sebagai pilihan terbaik mengisi kekosongan jawatan menteri pendidikan selepas Dr Maszlee Malik mengundurkan diri.

Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Shamsul Amri Baharuddin berkata ini memandangkan kedudukan menteri pendidikan diperuntukkan untuk anggota parlimen daripada Bersatu.

"Memandangkan ia kuota Bersatu, Mustapha pilihan terbaik. Beliau pernah menjadi menter pengajian tinggi sebelum ini.

"Beliau juga bekas menteri perdagangan dan industri antarabangsa yang memberi nilai tambah kepada kabinet dan pelabur asing.

"Ini kerana beliau mempunyai pengalaman dalam menstabilkan sentimen pasaran," kata Shamsul (gambar, bawah) kepada Malaysiakini.
Mustapha menjadi menteri pengajian tinggi dari 2006 ke 2008 dan menteri perdagangan dan industri antarabangsa dari 2009 ke 2018.

Beliau keluar Umno selepas PRU14 dan secara rasmi menyertai Bersatu pada 27 Oktober 2018.

Sementara itu, bekas timbalan menteri pendidikan P Kamalanathan, berkata kementerian itu sukar diterajui kerana beberapa sebab termasuk melibatkan ramai pihak berkepentingan.

"Dua orang yang mempunyai gabungan bakat, hala tuju dan pengalaman yang tepat ialah Menteri Luar sekarang Saifuddin Abdullah dan bekas menteri perdagangan dan industri antarabangsa Mustapha Mohamed. Mereka mendahului senarai saya.

"Sudah tentu ia suatu kementerian yang sukar untuk dipimpin. Terdapat banyak sebab tetapi terdapat pihak berkepentingan yang besar, ibu bapa, pelajar sekolah dan pihak dalam pendidikan tinggi, dengan mudah akan mencatat jumlah 12 hingga 14 juta orang," katanya.

Ini menjadikan hampir tidak munasabah bagi seorang menteri pendidikan memuaskan hati semua orang, jelasnya. Di samping itu, beliau berkata dasar pendidikan sering dilihat daripada perspektif kaum dan bukan akademik.

"Ini menjadikan kerja keras itu bertambah sukar kerana kerjaya kepimpinan perlu menangani masalah ini dan bukannya mentadbir," katanya ketika dihubungi kepada Malaysiakini.

Kamalanathan berkhidmat sebagai timbalan menteri pendidikan dari 2013 ke 2018, di bawah kabinet era perdana menteri Najib Razak.

Untuk rekod, Saifuddin yang pernah menjadi timbalan menteri pengajian tinggi dari 2009 ke 2013 telah menolak spekulasi beliau akan dilantik sebagai menteri pendidikan bagi menggantikan Dr Maszlee.

Maszlee dipaksa letak jawatan, kata Najib

Diterbitkan Hari ini 6:20 petang

BERITA
Peletakan jawatan bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik adalah dibuat "secara paksaan", kata bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Katanya, peletakan jawatan ahli parlimen Bersatu itu membuktikan Pakatan Harapan (PH) sedang berdepan dengan masalah dalaman yang parah.

"Banyak masalah dalaman kerajaan Pakatan Harapan sebenarnya, dia (Maszlee) disuruh letak jawatan, bukan dia (mahu) letak jawatan, (sebaliknya) disuruh letak jawatan kerana tekanan dari luar dan juga dari dalam .

"Ini menyebabkan tentu sekali apa-apa isu yang berkaitan kementerian pendidikan menimbulkan satu bentuk ketidakpuasan yang amat sangat yang menyebabkan rakyat tunjuk tidak puas hati dan saya yakin parti-parti dalam PH pun hendak supaya beliau meletak jawatan," kata Najib.
Bekas perdana menteri itu berkata demikian ketika melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Membakut petang tadi.

Katanya, Maszlee berdepan dengan tekanan bukan saja dari dalam, malah tekanan rakyat yang menyebabkan beliau terpaksa berundur dan dijadikan "kambing hitam".

"Dia perkenalkan kasut hitam tapi akhirnya dia dikambinghitamkan," katanya.

Semalam, Maszlee dalam satu sidang media khas mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan berkuatkuasa hari ini.

Beliau berkata, keputusan dibuat selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang beliau sifatkan sebagai ayahanda tetapi tidak mendedahkan sebab beliau berhenti.
Walau bagaimanapun, Maszlee mengeluh di sebalik banyak pencapaian kementeriannya, ia telah dibayangi oleh laporan negatif media dan permainan politik.

Bekas pensyarah itu, kebelakangan ini kerap menjadi sasaran kritikan.

Menteri Pendidikan baru mesti berani, tidak tunduk kepada DAP

By Manzaidi Mohd Amin
- 3 January 2020

Shahrul Fadhel Mohd Aziz

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Kelantan mahu Tun Dr. Mahathir Mohamad melantik seorang yang berkarakter tegas, berani dan tidak bacul untuk menerajui Kementerian Pendidikan yang dikosongkan Dr. Maszlee Malik, semalam.

Naib Ketuanya, Shahrul Fadhel Mohd Aziz berkata, ini penting bagi seseorang menteri baharu itu membuat keputusan tanpa tunduk kepada desakan mana-mana pihak berkepentingan.

“Kita mahu Perdana Menteri melantik individu yang kental dan tidak mudah tunduk kepada desakan nyamuk nakal dalam kerajaan serta golongan korporat yang berkepentingan.

“Menteri baharu juga tegas dan berani membuat keputusan mempertahan serta menyelamatkan sistem pendidikan negara dari dirosakkan oleh fahaman komunisme dan ultra liberal DAP,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Shahrul Fadhel, peletakan jawatan Dr. Maszlee semalam telah menjadi polemik dan hangat, lebih lagi dikaitkan dengan isu skandal 1BestariNet dan pemilihan dalam kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Mac ini.

Katanya, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu juga tidak terkecuali daripada isu dasar pendidikan yang dikatakan gagal dilaksanakan beliau sepanjang memimpin kementerian itu selama 20 bulan.

“Jika tanya orang ramai mengenai menteri ini, ada dua jawapan yang kita terima. Pertama, “Menteri kasut hitam”, kedua, “Menteri tidak mampu kawal timbalannya”.

“Isu pengajaran Jawi juga mendapat tentangan dari kebanyakan sekutunya dan amat menyedihkan Dr. Maszlee dilihat keseorangan tanpa mendapat pembelaan dari rakan PBBM,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, yang penting Pemuda UMNO Kelantan mahukan penggantinya seorang yang tegas dan berani. 

MalaysiaGazette

'Nehi, nehi' - Saifuddin jawab spekulasi jadi menteri pendidikan


BERITA

Wisma Putra menolak spekulasi bahawa Menteri Luar Saifuddin Abdullah atau timbalannya Marzuki Yahya akan dilantik sebagai menteri pendidikan seterusnya.

Bercakap kepada pemberita di Putrajaya hari ini, Saifuddin berkata, "ini hanya spekulasi."

Ditanya jika beliau mahu mengulas mengenai kemungkinan rombakan kabinet, beliau menjawab: "Nehi, nehi (tidak dalam bahasa Hindi)."

Semalam, Marzuki juga menolak laporan yang sama bahawa beliau mungkin menjadi menteri pendidikan, berkata ia "tidak betul."

Marzuki berkata beliau tidak tahu Maszlee Malik mahu meletak jawatan sebagai menteri pendidikan semalam.

Maszlee tidak mendedahkan sebab beliau berhenti, hanya berkata beliau menghormati nasihat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam pertemuan mereka sebelum mengumumkan peletakan jawatannya.

Bagaimanapun, Maszlee mengeluh di sebalik banyak pencapaian kementeriannya, ia telah dibayangi oleh laporan negatif media dan permainan politik.

Selain Saifuddin dan Marzuki, Anggota Parlimen Jeli Mustapa Mohamed juga disebut-sebut sebagai calon menteri pendidikan baru.

[Baca berita asal]

Dimasuk dalam ‘bakul sampah’ kerana gagal jadi ‘sampah’

January 3, 2020


ALOR SETAR: Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dipaksa masuk ke dalam ‘bakul sampah’ kerana ‘gagal’ menjadi ‘sampah’ yang boleh ‘disapu’ oleh DAP.

Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Alor Setar, Zulkifli Che Haron berkata, selepas PRU14 DAP menjadikan dominan dalam parti kerajaan pemerintah di mana dominasi itu dibantu oleh para pengkhianat.

Menurutnya, dalam kamus DAP, para pengkhianat adalah sangat mudah untuk diurus oleh mereka, bahkan boleh memberi keuntungan kepada parti itu yang dianalogikan beliau seperti sampah.

“Mengurus sampah tidak sepayah mana. Penyapu juga boleh mengurus sampah. Bagi DAP, pengkhianat yang diberi jawatan perlu menjadi ‘sampah’.

“Sekiranya gagal menjadi ‘sampah’, DAP akan menjadikan bahan itu yang berada dalam ‘bakul sampah’. Begitulah yang telah dialami oleh Dr Maszlee.

“Walaupun berada dalam satu pakatan, tetapi kerana gagal memenuhi kehendak DAP, maka Dr Maszlee kini dipaksa masuk ke dalam ‘bakul sampah’,” terangnya.

Bidas beliau, bermula dengan isu UEC, komik sehingga terkini 3 muka surat tulisan Jawi, serta gagal memenuhi kehendak Dong Jiao Zong, serta lain-lainnya, akhirnya Dr Maszlee terpaksa akur dengan tuntutan DAP.

Jelasnya, walaupun ada sekelumit rasa untuk menjaga kepentingan tulisan Jawi; warisan Melayu, akhirnya terpaksa melepaskan jawatan Menteri Pendidikan. 

HARAKAHDAILY
   3/1/2020

Maszlee letak jawatan: DAP menang besar?

January 2, 2020


BERDASARKAN pemerhatian saya, dalam ramai-ramai Menteri, Dr Maszlee Malik adalah Menteri yang paling kerap mendapat serangan daripada pemimpin DAP.

Dalam enam isu besar ini, beliau telah diserang beramai-ramai oleh pemimpin DAP.

Isu 1: Tiada peruntukan sekolah Menengah Persendirian Cina

Seawal Julai 2018 lagi bila Dr Maszlee memaklumkan di Parlimen mengenai tiadanya peruntukan bagi SMPC kerana SMPC tidak termasuk dalam sistem pendidikan nasional, beliau terus diserang oleh pemimpin DAP, khususnya Ketua Pemuda DAP merangkap Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh, dan ADUN Bercham, Ong Boon Piow.

Paling keras adalah kenyataan Ong Boon Piow pada 26 Julai 2018 berbunyi: “Perdana Menteri perlu menilai semula kedudukan Dr Maszlee sebagai Menteri Pendidikan”.

Isu 2: Guru agama Semenanjung jadikan Sarawak medan dakwah

Datang bulan Disember 2018 bila Dr Maszlee menasihatkan di Parlimen supaya guru-guru agama dari Semenanjung menjadikan Sarawak sebagai medan dakwah, beliau diserang oleh pemimpin DAP, khususnya ADUN Bukit Assek, Irene Mary Chang, dan Setiausaha Publisiti DAPSY Sarawak merangkap Pembantu Khas Pengerusi DAP Sarawak, Abdul Aziz Isa.

Paling keras adalah kenyataan Abdul Aziz Isa pada 21 Disember 2018 berbunyi: “Dr Maszlee should pack up his things and send a resignation letter to Prime Minister”.

Isu 3: Kuota Pelajar Matrikulasi Universiti Awam

Serangan yang lebih keras datang bila Dr Maszlee mempertahankan keputusan Jemaah Menteri pada 24 April 2019 yang mengekalkan kuota 90 peratus Bumiputera dan 10 peratus bukan Bumiputera untuk kemasukan pelajar Matrikulasi Universiti Awam yang menyebabkan 20 pemimpin DAP meluahkan rasa tidak puas hati mereka dalam satu kenyataan bersama.

Empat serangan paling keras datang daripada:
(1) Ahli CCC DAP merangkap Ahli Exco Kerajaan Selangor, Datuk Teng Chang Khim, yang menyebut pada 17 Mei 2019: “Dr Maszlee is stupid, big idiot”.
(2) Ahli CCC DAP merangkap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P Ramasamy, yang bertanya pada 17 Mei 2019: “What is the difference between Dr Maszlee and Umno politicians?
(3) Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau, yang menyebut pada 21 Mei 2019: “Stupid! Mastery of any language is a skill and no longer a racial trait”.
(4) Ahli CCC DAP merangkap Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu Tian Khim, yang menyebut pada 21 Mei 2019: “We need a better education minister”.

Isu 4: Pengajaran tulisan Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan

Bila pengenalan tulisan Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan menjadi isu pada Julai 2019, sekali lagi Dr Maszlee menjadi mangsa serangan beramai-ramai pemimpin DAP, kali ini oleh 138 pemimpin akar umbi DAP, termasuk 13 ADUN, yang menentangnya dengan menyebut pada 31 Julai 2019: “Jika Jawi diinstitusikan, ia akan merosakkan fabrik sosial di Malaysia.”

Antara yang paling lantang menyerang adalah:
(1) ADUN Kota Kemuning dan Ahli Exco Kerajaan Selangor, V Ganabatirau, yang menyebut pada 5 Ogos 2019: “The minister seems to be having a lot more focus on the shoe and stocking colors and introducing khat which carries no significant values to the students.”
(2) Ahli CCC DAP merangkap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P Ramasamy, yang bertanya pada 17 Mei 2019: “Having lost credibility Maszlee Malik has the temerity to say that khat has nothing to do so with Islam.”
(3) Setiausaha Publisiti DAPSY Sarawak merangkap Pembantu Khas Pengerusi DAP Sarawak, Abdul Aziz Isa, yang menyebut pada 13 Ogos 2019: “If you can’t take the heat, leave the chair! We need a more progressive and moderate Education Minister.”

Isu 5: Komik ‘Inisiatif Jalur Dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’

Seterusnya, bila Dr Maszlee mengumumkan pada 17 Oktober 2019 bahawa beliau telah mengarahkan JPN dan PPD untuk memastikan semua sekolah tidak menerima dan membuat edaran komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ tulisan Hew Kuan Yau yang didakwa menyebarkan fahaman Komunis, beliau sekali lagi diserang beramai-ramai.

Kali ini beliau diserang oleh 43 pemimpin muda DAP yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pemuda DAP merangkap ADUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong, yang beramai-ramai bertanya: “Kita nak tanya Maszlee, adakah beliau Menteri dilantik PH atau Umno? Jikalau dilantik oleh PH, mengapa perbuatan beliau semakin cenderung kepada Umno yang rasis?”

Isu 6: Soalan peperiksaan hubungan etnik UNIMAP

Paling mutakhir, Dr Maszlee diserang lagi oleh pemimpin DAP susulan tularnya soalan peperiksaan bagi matapelajaran Hubungan Etnik di UNIMAP yang menyifatkan Dr Zakir Naik sebagai ikon umat Islam dan susulan kenyataan Jabatan Pendidikan Tinggi bahawa ia tidak akan campur tangan dalam urusan pelaksanaan program akademik universiti.

Antara yang paling lantang menyerang adalah:
(1) Ahli CCC DAP merangkap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P Ramasamy, yang menyebut pada 30 Disember 2019: “Maszlee Malik failed to take the initiative to reform the public universities. These universities are merely exaggerated versions of secondary schools.”
(2) Ahli Parlimen Klang merangkap Pengerusi SPAN, Charles Santiago, yang menyebut pada 1 Januari 2020: “Maszlee has not only failed to revamp the education system but has also not been successful in ensuring public educational institutions don’t further fan elements of racism.”
(3) Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, yang menyebut pada 2 Januari 2020: “The Ministry of Education cannot wash its hands of responsibility if ethnic relations courses in universities and institutions exacerbate and incite inter-racial and inter-religious misunderstanding, distrust and hate.”

Oleh itu, bila Dr Maszlee secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan dalam keadaan beliau telah dan sedang diserang secara beramai-ramai oleh pemimpin DAP dalam pelbagai isu, maka pastilah persepsi yang timbul meluas di kalangan orang ramai ialah peletakan jawatan ini merupakan satu kemenangan yang amat besar untuk DAP.

Malah tidak sedikit yang menyebut pemimpin DAP, khususnya yang begitu lantang mendesak Dr Maszlee supaya meletakkan jawatan sedang beraya besar waktu ini.

Soalnya ialah benarkah DAP sudah menang besar?

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF
 – HARAKAHDAILY
    2/1/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Thursday, January 2, 2020

Petisyen gesa Maszlee kekal menteri raih lebih 100k tandatangan

BERITA

Suatu petisyen dalam talian menggesa Dr Maszlee Malik kekal sebagai Menteri Pendidikan yang baru dilancarkan petang tadi mendapat sambutan hangat.

Setakat berita ini ditulis pada jam 9.20 malam, petisyen tersebut telah meraih sebanyak 114,176 tandatangan dan masih terus menerima sokongan.

Pada petisyen yang dimulakan oleh individu bernama Tuah Kencana dinyatakan,"keputusan (Maszlee) meletakkan jawatan adalah satu kehilangan besar buat negara.

"Mewakili kumpulan masyarakat, kami memohon agar Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad) sebagai negarawan terulung untuk mengembalikan Maszlee Malik untuk menggalas tanggungjawab sebagai menteri pendidikan," kata kenyataan itu.

Menurut petisyen itu lagi, usaha Maszlee sebagai menteri pendidikan "telah dibayangi dengan laporan-laporan negatif yang telah disensasikan oleh pihak yang berkepentingan."

"Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan telah berusaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif yang telah terbukti memberi manfaat kepada pelajar, guru-guru dan masyarakat. KPM dibawah kemudi YB (Maszlee) telah bersikap telus dengan segala inisiatif dan progres usaha-usaha reformasi pendidikan," kata petisyen itu.

Ia turut menyenaraikan sumbangan Maszlee sepanjang tempoh singkat memegang jawatan menteri pendidikan, antaranya,"sifar sekolah daif, program sarapan pagi percuma, program pertukaran guru "suka sama suka", penambahbaikan pendidikan untuk pelajar OKU, perkhidmatan Internet kelajuan tinggi, peningkatan program TVET dan menjaga kebajikan guru-guru."

Petang tadi, dalam suatu sidang media khas di Putrajaya, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mengumumkan peletakan jawatannya.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang beliau sifatkan sebagai seorang ayahanda.
"Di atas nasihat YAB perdana menteri, dan di atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka dengan hati yang reda walaupun berat, saya, Maszlee Malik, dengan ini memulangkan sebagai menteri pendidikan Malaysia, berkuat kuasa 3 Januari 2020," katanya.

Dalam ucapannya, bekas pensyarah yang kebelakangan ini kerap menjadi sasaran kritikan itu juga menyenaraikan pencapaian Kementerian Pendidikan sepanjang pengawasan beliau.

Antaranya, hampir 90 peratus projek sekolah daif yang diusahakan siap lebih awal.

"Dasar inklusif yang kita perkenalkan untuk Murid Berkeperluan Khas (MBK), warga B40, anak-anak tiada dokumen serta polisi sifar cicir semuanya memberikan makna baharu kepada ratusan ribu anak murid di seluruh negara. Yang mana sebahagian mereka, berada dalam keadaan bahaya kerana tidak berada di sekolah.

"Inisiatif lain, yang sebahagian besar adalah untuk mengurangkan beban guru dan seterusnya memberi semula semangat baharu kepada warga sekolah, gerakan Malaysia Membaca serta bacaan semula Auku di Parlimen juga adalah bukti komitmen Pakatan Harapan melakukan reformasi pendidikan," kata Maszlee.

Sejurus tamat sidang media itu, Maszlee yang kelihatan sebak meninggalkan perkarangan KPM dengan memandu sendiri kenderaan peribadinya, sebuah Perodua Myvi.

Sementara itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan menerima peletakan jawatan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan yang berkuat kuasa esok.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, Dr Mahathir berkata Maszlee telah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan kepada beliau pada hari ini.

“Saya mengucapkan terima kasih di atas khidmat yang telah beliau berikan selama menjadi anggota kabinet.

“Pengganti beliau akan saya tentukan dan umumkan dalam sedikit masa lagi,” katanya.

NUTP harap PM pertimbangkan usaha Dr Maszlee

BERITA

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, berharap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dapat meneruskan dan mempertimbangkan usaha-usaha Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam meningkatkan isu pendidikan.

Katanya, guru-guru di sekolah masih memerlukan penyelesaian yang antaranya termasuk mengurangkan bebanan kerja guru dan kemelut isu Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan pendidikan untuk semua khasnya golongan Orang Kurang Upaya (OKU)

“Namun malangnya negara kita telah ditentukan dengan hala tuju politik dan bukan pendidikan yang sebenar.

“Pihak NUTP amat berharap Dr Mahathir dapat mempertimbangkan serta mengambil kira kesemua perkara-perkara yang telah diutarakan agar dapat menjaga institusi pendidikan negara seterusnya Malaysia sentiasa terpelihara dan sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aminuddin yang turut meluahkan rasa dukacita atas keputusan Dr Maszlee yang meletakkan jawatannya mulai esok.

“Pihak NUTP telah melihat kesungguhan beliau sebagai seorang akademik untuk memperbaiki dan menambah baik sistem pendidikan negara kita yang merangkumi seramai 5 juta pelajar, 450 ribu orang guru dan 150 ribu orang staf sokongan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya.

Presiden NUTP itu turut menyenaraikan pelbagai program yang menurutnya dijalankan dengan baik oleh menteri berkenaan.

“Beliau telah memulakan pelbagai program dan berusaha ke arah sistem pendidikan yang lebih baik seperti berusaha membaik pulih sekolah-sekolah daif di Malaysia.

“Mengurangkan korupsi di KPM, menyediakan jalinan internet yang cepat untuk kegunaan guru-guru, program sarapan pagi dan pelbagai usaha yang masih tidak dirakamkan,” katanya.

Dr Maszlee mengumumkan peletakan jawatannya dalam satu sidang media khas di Putrajaya petang tadi.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang beliau sifatkan sebagai seorang ayahanda.

"Di atas nasihat YAB perdana menteri, dan di atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka dengan hati yang reda walaupun berat, saya, Maszlee Malik, dengan ini memulangkan sebagai menteri pendidikan Malaysia, berkuat kuasa 3 Januari 2020," katanya.

Selain itu, Dr Mahathir juga mengumumkan pengganti Maszlee akan ditentukan dan umumkan dalam sedikit masa lagi.

Maszlee sah letak jawatan menteri pendidikan


BERITA

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mengumumkan peletakan jawatannya dalam satu sidang media khas di Putrajaya petang ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang beliau sifatkan sebagai seorang ayahanda.

"Di atas nasihat YAB perdana menteri, dan di atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka dengan hati yang reda walaupun berat, saya, Maszlee Malik, dengan ini memulangkan sebagai menteri pendidikan Malaysia, berkuat kuasa 3 Januari 2020," katanya.

Dalam ucapannya, bekas pensyarah yang kebelakangan ini kerap menjadi sasaran kritikan itu juga menyenaraikan pencapaian Kementerian Pendidikan sepanjang pengawasan beliau.

Antaranya, hampir 90 peratus projek sekolah daif yang diusahakan siap lebih awal.

"Dasar inklusif yang kita perkenalkan untuk Murid Berkeperluan Khas (MBK), warga B40, anak-anak tiada dokumen serta polisi sifar cicir semuanya memberikan makna baharu kepada ratusan ribu anak murid di seluruh negara. Yang mana sebahagian mereka, berada dalam keadaan bahaya kerana tidak berada di sekolah.

"Inisiatif lain, yang sebahagian besar adalah untuk mengurangkan beban guru dan seterusnya memberi semula semangat baharu kepada warga sekolah, gerakan Malaysia Membaca serta bacaan semula Auku di Parlimen juga adalah bukti komitmen Pakatan Harapan melakukan reformasi pendidikan," kata Maszlee.

Dilihat timbulkan banyak krisis

Maszlee berkata ketika menegemudi KPM beliau juga mengalu-alukan public private pertnership kerana percaya reformasi sistem pendidikan tidak boleh dilakukan secara berseorangan.

"Sekolah milik komuniti, universiti milik masyarakat. Kejayaan sistem pendidikan adalah bermakna kejayaan masyarakat. Pendidikan adalah tanggungjawab semua.

"Namun sepertimana saya jelaskan pada awal, saya dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan terutama melibatkan isu Jawi, Internet sekolah dan isu sarapan percuma.

"Bagaimanapun saya percaya saya telah meletakkan asas dan hala tuju yang jelas untuk dituruti warga KPM. Ia terhimpun dan tersemat kemas dalam tiga kalimah keramat, “Pendidikan untuk Semua”.

"Saya percaya keputusan ini bukanlah pengakhiran, sebaliknya sebuah permulaan yang baharu.

"Percayalah, reformasi negara tidak akan pernah berjaya tanpa menjadikan kebajikan rakyat sebagai tumpuan paling utama," katanya.

Sidang media yang turut disertai kepimpinan tertinggi kementerian termasuk timbalannya Teo Nie Ching, mendapat perhatian pengamal media susulan khabar angin peletakan jawatannya beberapa jam sebelum itu.

Sejurus tamat sidang media itu, Maszlee yang kelihatan sebak meninggalkan perkarangan KPM dengan memandu sendiri kenderaan peribadinya, sebuah Perodua Myvi.

Saturday, November 9, 2019

Maszlee: Apakah pengundi nak hukum PH dengan undi 'orang jahat'?

Ng Xiang Yi
Diterbitkan Hari ini 9:40 malam

BERITA

PRK TG PIAI | Maklum dengan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata tidak adil untuk pengundi Tanjung Piai menghukum Pakatan Harapan (PH) yang masih baru mentadbir.

Apatah lagi dengan memilih pihak yang menurutnya sebagai "terbukti jahat dan (mengamalkan) kleptokrasi".

“Adakah kita ingin menghukum orang yang membawa negara menjadi negara yang bersih, menjadi negara yang tidak kleptokrasi...dan ingin membawa kembali negara menjadi Harimau Asia?

“Adakah kita ingin menghukum orang yang baik dan mengambil orang yang telah terbukti jahat, orang yang terbukti kleptokrasi?" soalnya dalam sidang media di Kukup Laut hari ini selepas menyampaikan ucapan bersama guru-guru besar sekolah Cina.

Kata Maszlee, beliau percaya pengundi di Tanjung Piai cukup matang untuk tidak memilih “orang yang jahat” seperti yang dikatakannya.

Beliau berkata demikian apabila disoal tentang rasa tidak puas hati pengundi yang mungkin menyebabkan mereka tidak mengundi PH dalam PRK kali ini.

Baru-baru ini, Presiden Bersatu Muhyiddin Yasin mengakui wujud perasaan “tidak gembira” di kalangan pengundi Cina terhadap PH, terutamanya terhadap isu ekonomi.

Sementara itu, disoal tentang ketidakpuasan hati masyarakat Cina terhadap dasar pendidikan seperti pengenalan pengajaran Jawi di sekolah, pembiayaan sekolah persendirian Cina dan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman yang dimiliki MCA, Maszlee menjelaskan bahawa kerajaan PH masih dikira kerajaan yang baru.

“Kami (kerajaan) PH usia kurang daripada dua tahun. Dalam dua tahun ini banyak perkara baik kita lakukan, Ziarah Cakna (program lawatan ke rumah), Zero Reject Policy (terhadap murid berkeperluan khas), (kerajaan) lakukan segala yang terbaik.

“Jadi adalah tidak adil untuk menghukum kita yang baru kurang daripada dua tahun,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-