Thursday, October 29, 2020

Pelantikan TPM hak mutlak PM, tidak perlu tekanan

 Oleh SamadiAhmad 

- Oktober 29, 2020 @ 7:03pm

bhnews@bh.com.my

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa (dua kanan) beramah mesra penerima OKU, Khairul Anam sambil disaksikan penerima lain pada Majlis Sumbangan Wilayah Cakna 3.0 di Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj), Putrajaya - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

PUTRAJAYA: Semua pihak perlu memberi ruang kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat keputusan berkaitan isu pelantikan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, berkata pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah hak istimewa atau prerogatif Perdana Menteri dan tidak perlu ada tekanan daripada pihak luar.

Katanya tidak menjadi kesalahan sekiranya ada mana-mana pihak yang memberi pandangan mengenai pelantikan jawatan itu, namun tidak perlu sampai mewujudkan suasana seolah-olah mahu memberi tekanan kepada Perdana Menteri.

Katanya, jawatan TPM adalah prerogatif dan menjadi hak mutlak perdana menteri untuk mengangkat sesiapa sahaja ke jawatan itu.

"Kita perlu beri ruang kepada PM tanpa perlu ada sebarang tekanan, takkan nak jawatan itu kita sampai menekan, mengugut dan melakukan bermacam-macam cara," katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada komuniti Putrajaya di Dewan Seri Melati, Putrajaya hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.

Sumbangan itu disampaikan kepada wakil enam sub zon bawahnya serta 36 persatuan penduduk Putrajaya.

Annuar ditanya mengenai desas-desus pelantikan TPM daripada UMNO berikutan syarat baharu parti itu kepada Perikatan Nasional (PN).

Selain nama Annuar, tiga nama pemimpin UMNO lain turut disebut-sebut ke jawatan itu iaitu Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Annuar berkata, semua pihak perlu faham bahawa Timbalan Perdana Menteri adalah jawatan paling kanan kepada Perdana Menteri.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berpandangan tidak mungkin Perdana Menteri akan meletakkan individu atau calon yang tidak boleh bekerjasama dengannya.

"Saya berharap semua pihak bertenang dan kurangkan berpolitik. Kita sudah ada empat Menteri Kanan, sekiranya Perdana Menteri ubah fikiran dan kata perlu wujudkan Timbalan Perdana Menteri, kita akan terima," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-