Ucapan Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen
Gelang Patah, Lim Kit Siang, ketika perbahasan Bajet 2014 Peringkat
Jawatankuasa (Jabatan Perdana Menteri) di Dewan Rakyat pada 18 November
2013
Saya bangun untuk mengambil bahagian dalam perbahasan
peringkat Jawatankuasa Bajet 2014 mengenai Jabatan Perdana Menteri dan
Jabatan yang lain termasuk Majlis Keselamatan Negera (MKN), Jabatan
Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Biro Tatanegara,
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara,
Pejabat-pejabat Setiausaha Persekutuan, Sabah dan Sarawak.
Pertama sekali, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada
keluarga Allahyarham Mohd Raffli Abdul Malik yang mati ditembak di
Kuantan, Pahang; keluarga Allahyarham Norazita Abu Talib, yang menjadi
mangsa rompakan Ambank tempoh hari; serta Allahyarham Hussain Ahmad
Najadi, yang turut menjadi mangsa tembakan beberapa lama dulu.
Semua mangsa jenayah ini adalah korban tidak berdosa akibat
daripada kelalaian dan kerakusan pihak yang berkenaaan mengejar kuasa
dan jawatan, sehingga mengabaikan persoalan integriti, tanggungjawab
kepada negara dan impian besar rakyat Malaysia.
Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa
warga Taiwan dalam tragedi pembunuhan dan penculikan di Pulau Pum-Pum
beberapa hari sudah. Ternyata Eastern Sabah Security Command (Esscom)
tidaklah efektif dalam menjaga keselamatan negara sungguhpun ia
ditubuhkan sebagai tindakbalas terhadap peristiwa pencerobohan di Lahad
Datu. Walaupun Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri menyifatkan
ini sebagai kejadian terpencil, nyawa yang hilang pasti tidak dapat
diganti. Keyakinan rakyat terhadap kesungguhan pihak berkuasa dalam
melaksanakan tugas menjaga keselamatan negara dan rakyat jelata sekali
lagi berkecai.
Mural Zachas di JB bukti rakyat mahukan keamanan
Rakyat Malaysia mengimpikan negara yang aman sentosa; tanpa
risau dirompak atau dibunuh. Namun hakikatnya hari ini kita dapat lihat
bahawa rakyat ramai hidup dalam ketakutan. Ketakutan ini tidak boleh
dinafi dan disembunyikan sepertimana grafiti dan seni mural yang
menampilkan kritik sosial yang benar, boleh disorok dengan selapis cat
putih seperti yang dilakukan pihak berkuasa tempatan di Johor.
Karya Ernest Zacharevic di sebuah dinding di Johor Bahru
adalah satu peringatan buat kita semua bahawa rakyat yang memberi amanah
kepada kerajaan untuk menjaga keamanan, tetapi kini harta dan jiwa
mereka berada dalam keadaan diancam ketakutan dan mimpi ngeri, suatu
hakikat benar yang tidak dapat dicat-putihkan.
Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjaga
sekurang-kurangnya tiga perkara. Harta, jiwa dan maruah rakyat
seluruhnya. Seandainya pemimpin lalai dalam melaksanakan tugasnya, maka
pemimpin itu wajar ditolak.
Dalam kes pembunuhan pegawai bank, Norazita Abu Talib; saya
ingin mengucapkan tahniah kepada pihak Polis kerana berjaya menahan
suspek yang disyaki terbabit. Saya harap pihak yang bertanggungjawab
akan dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal.
Namun apa yang lebih merunsingkan ialah apabila suspek yang
dilaporkan merupakan seorang warga asing dari Sulawesi, berjaya
memintas sistem keselamatan negara dan lantas meletakkan kedaulatan
negara dalam keadaan berisiko tinggi.
Bagaimana orang ini boleh mendapat MyKad, dan kalaupun
MyKad itu palsu, bagaimana orang ini boleh membuka akaun bank, menerima
gaji setiap bulan, malah boleh diberikan lesen senjata api oleh
Kementerian Dalam Negeri? Adakah orang ini turut mengundi pada PRU ke-13
lalu? Adakah kerana tuan punya syarikat keselamatan itu merupakan kroni
parti pemerintah maka Kementerian boleh pejam sebelah mata? Berapa
ramai lagi warga asing yang mendapat kelebihan yang sama, memiliki
senjata api dan boleh mengancam keselamatan rakyat pada bila-bila masa?
Sampai ke hari ini, kita tidak mendapat sebarang jawapan yang memuaskan
daripada menteri berkenaan.
Rakyat Sabah, Sarawak mula meluat dengan UMNO/BN
Sistem yang ada yang membuatkan negeri berdaulat seperti
Sabah dan Sarawak semakin hilang kedaulatannya, apabila warga asing
senang-senang mendapat MyKad dan mengambil alih ekonomi rakyat dan
secara langsung menggugat kestabilan dan keselamatan negara. Sistem ini
yang mencabuli hak rakyat Sabah, yang hidup dalam negeri yang sangat
kaya, tetapi warganya sangat miskin; malah dilayan dengan amat berbeza
sekali oleh Kerajaan Persekutuan.
Semua rakyat Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak
mengharapkan supaya dapat hidup bebas daripada belenggu mimpi ngeri yang
terbentuk hasil daripada kegagalan UMNO dan Barisan Nasional (BN)
selama ini.
Pihak kerajaan dan Perdana Menteri seharusnya lebih serius
dalam menghormati aspirasi rakyat, contohnya dalam kes Perjanjian 20
Perkara dengan Sabah dan Perjanjian 18 Perkara dengan Sarawak, yang
nampaknya semakin tidak dipedulikan; sehingga Menteri Pembangunan Tanah
Sarawak, Tan Sri Dr James Masing sendiri sudah melenting.
Kata Masing: “When they(UMNO) talk to us, they make
themselves feel as if they are superior while we in Sarawak, are their
coolies. Personally, I get irritated with those leaders who do not treat
us from Sarawak as equal partners in the administration of this
federation. We in Sarawak and Sabah seemed to be like an appendix to
West Malaysia.”
(translation) “Apabila mereka (UMNO) bercakap dengan
kami, mereka buat diri mereka rasa mereka lebih hebat sementara kami di
Sarawak, adalah kuli mereka. Secara peribadi, saya menyampah dengan
pemimipin yang tidak melayan kami dari Sarawak sebagai rakan kongsi
saksama dalam pentadbiran Persekutuan ini. Kami di Sarawak dan Sabah
seolah-olah sekadar apendiks terhadap Semenanjung Malaysia.”
Pernah saya bangkitkan di Dewan yang mulia ini, dan sekali
lagi saya membangkitkan di sini, supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja
dibentuk sempena ulang tahun ke-50 pertubuhan Malaysia, untuk mengkaji
dan menyiasat samada janji yang tertera dalam Perjanjian 20 Perkara
dengan Sabah dan Perjanjian 18 Perkara dengan Sarawak telah ditunaikan
atau telah dikhianati oleh kerajaan BN yang selama ini menganggap Sabah
dan Sarawak sebagai akaun simpanan tetap mereka.
Rasuah berleluasa, rakyat dibeban
Penyakit kewangan negara yang disebabkan gejala rasuah yang
berleluasa akhirnya dibebankan kepada rakyat berpendapatan rendah dan
sederhana. Walhal, mereka yang sebenarnya patut menanggung beban
kesalahan sendiri akhirnya terlepas. Lihat sahaja bagaimana Jabatan
Peguam Negara langsung tidak merayu keputusan mahkamah yang membebaskan
Tun Dr Ling Liong Sik daripada tuduhan rasuah skandal PKFZ.
Adakah
kerana Peguam Negara sebenarnya tahu bahawa caj yang didrafnya terhadap
Tun Dr Ling itu sememangnya tidak akan menyebakan beliau disabitkan
kesalahan, malah keseluruhan proses pendakwaan itu adalah satu wayang
yang dipermainkan sebelum Pilihn Raya Umum ke-13 untuk memberi harapan
kosong kepada rakyat jelata bahawa kerajaan memang berhajat menangani
rasuah di peringkat tinggi.
Saya juga hairan bagaimana dengan keadaan bilangan anggota
polis yang begitu ramai ini, rakyat masih rasa tidak selamat. Barangkali
kerana dilaporkan juga bahawa senjata api anggota polis boleh diberi
sewa kepada penjenayah, selain boleh hilang dicuri ketika tidur di dalam
kereta, mahupun ketika pergi ke tandas.
Dalam keadaan itu pun, ada cadangan daripada pihak tertentu
untuk memberi senjata api kepada penguatkuasa jabatan agama pula,
dengan alasan supaya mereka dapat mempertahankan diri. Adakah selepas
ini, jika ada wartawan yang mati ditembak, wartawan juga mahu diberi
senjata api?
Dalam keadaan lanskap politik negara yang begitu rumit
dengan permainan sentimen perkauman, penipuan dan kebencian yang kian
meningkat; sehinggakan saya terus difitnah sebagai mempunyai kaitan
dengan Illuminati dan komunis; Pejabat Perdana Menteri nampaknya masih
gagal manangani masalah kesepaduan kaum atau mengawal puak pelampau yang
menggugat usaha bersama ke arah negara yang lebih aman.
Impian Malaysia
Ini semua adalah sebahagian daripada ‘Mimpi Ngeri Malaysia’
yang ditabur oleh pemerintahan UMNO-BN, yang cuba diperbetulkan oleh
DAP dan Pakatan Rakyat melalui usaha ke arah merealisasikan ‘Impian
Malaysia’ memandangkan usaha perpaduan negara melalui kempen 1Malaysia
kelihatan makin tidak bermaya malah hampir gagal sama sekali.
Akar kepada permasalahan besar ini ialah ekonomi yang
semakin memburuk dan akar kepada masalah ekonomi semasa, tidak lain
adalah kerana urustadbir pemerintahan UMNO-BN yang tidak berintegriti,
korup, tidak amanah serta mudah sekali membazirkan wang rakyat termasuk
merompak kekayaan negara demi mengisi perut masing-masing. Sehingga kini
pihak SPRM tidak berani menyentuh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul
Taib Mahmud walaupun banyak aduan dibuat dan bukti telah didedahkan.
Inilah dia penyakit yang membarah di Malaysia sekarang ini.
Barah ini perlu dibuang sebelum negara boleh dibina semula dengan nilai
demokrasi, keadilan sosial, integriti, demi membentuk sebuah bangsa dan
negara yang menolak ekstremisme perkauman, agama dan politik.
Usaha membina generasi akan datang maju dari aspek ekonomi,
sosial dan budaya pastinya akan terbantut, jika wujud pihak seperti
Biro Tata Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri yang terus menyemai
mentaliti kebencian dan ketakutan terhadap kaum di Malaysia. Usaha
perpaduan dan rekonsiliasi nasional juga akan gagal seandainya kita
membiarkan wujudnya pihak pelampau kaum yang sentiasa berusaha untuk
mewujudkan ketegangan dalam masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum.
Saya masih berharap untuk melihat komitmen sebenar Perdana
Menteri dan Jabatannya yang mempunyai dana yang begitu besar setiap
tahun untuk betul-betul melaksanakan usaha perpaduan nasional, bukan
sekadar membuat slogan demi meraih sokongan politik.
Kekecohan di Dewan yang mulia ini pada Khamis lalu
sepatutnya boleh dielak. Rakyat turut hairan dengan tingkah laku
kerajaan di Parlimen yang tanpa segan silu mencadangkan sebuah usul yang
sangat tidak adil terhadap seorang wakil rakyat Pakatan Rakyat. Adakah
Dewan ini tidak ada kerja lain yang lebih penting? Bukankah masa
sepatutunya diluangkan di Dewan ini untuk membincangkan soal siaran
langsung prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang bakal
berlangsung dua hari lagi dan lebih mempunyai kepentingan umum? Bukankah
itu jauh lebih penting daripada tindakan membalas dendam terhadap
seorang wakil rakyat yang cuba berjuang membela nasib rakyat dan
menegakkan perlembagaan negara?
Masanya sudah tiba untuk kita berusaha bersama demi
merealisasikan Impian Malaysia dan menyelamatkan rakyat daripada ‘Mimpi
Ngeri Malaysia’ yang panjang ini.
Kalau kita tak suka, memang pandangan kita selalu ditipu. Apa yang dipandang banyak yang buruk. Yang baik hanya sedikit. Bukanlah bermakna yang baik tidak banyak, tetapi pandangan kita telah ditipu oleh perasaan benci kita.
ReplyDeleteKerajaan bn amat selesa mendakyah prasangka buruk diantara kaum demi survival politik mereka. Tiada keazaman yg ditunjukkan untuk menjadikan kepelbagaian kaum warga boleh hidup dlm suasana muhibah dan harmoni, kecuali diperingkat awal bn ditubuhkan. Mereka sendiri mengkhianati dasar yg telah dibina oleh perdana menteri pertama, kedua dan ketiga. Hanya pada era TDM meneraju bn, semua asas kemesraan antara kaum telah mula terspoil dan masih berterusan.
ReplyDelete