KUALA LUMPUR: Isteri kepada Chan Sai Chuin, mangsa penculikan di Kampung Air Sapang, Kunak, Sabah pada 16 Jun lalu menggesa campur tangan kerajaan membantu menyediakan wang tebusan RM3 juta bagi menyelamatkan suaminya.
Chin Pek Nyue yang hadir di Parlimen hari ini memberitahu tempoh penyerahan wang tebusan telah ditetapkan sehingga hujung bulan November ini.
"Saya merayu kepada kerajaan untuk menyelesai dan membebas suami saya, tidak kira dengan apa cara sekali pun.
"Jika tidak dapat secara diplomatik, saya berharap kerajaan boleh menyediakan wang tebusan RM3 juta, jika ini tidak dilakukan suami saya akan dibunuh serta dipenggal kepalanya," katanya dengan nada sebak.
Menurut beliau lagi, walaupun rayuan telah dibuat kepada kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, namun sehingga sekarang tidak menunjukkan apa-apa perkembangan untuk menyelamatkan suaminya.
"Sekarang sudah lima bulan suami saya diculik, tetapi tidak ada apa-apa tindakan dilakukan kerajaan.
"Setiap hari saya menerima panggilan telefon dari pihak penculik yang menekan saya agar menyerahkan wang tebusan jika mahu suami saya selamat," katanya.
Beliau yang turut meminta derma dari ahli keluarganya bagi menyediakan wang tebusan tersebut tetapi jumlah yang diperolehi terlalu sedikit dengan RM3 juta diminta penculik Filipina.
"Saya benar-benar berharap pihak kerajaan dan parlimen dapat memberi pertolongan sepenuhnya dan secepat mungkin untuk menyelamatkan suami saya.
"Saya merayu sangat agar kerajaan memberi penjelasan serta perkembangan apa yang telah mereka lakukan dalam usaha menyelamat mangsa penculikan," sambung beliau lagi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lumut, Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abdul Hamid meminta agar kerajaan memandang serius isu penculikan yang sering berlaku di Sabah.
Beliau menggesa kerajaan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung konflik penculikan serta rayuan keluarga mangsa agar rakyat mengetahui perkembangan terkini di negeri itu. - HARAKAHDAILY
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.