Thursday, December 25, 2014

Banjir: Jangan timbulkan suasana tidak tenteram

BERNAMA
LENGGONG: Orang ramai digesa supaya tidak menyebarkan maklumat dan bahan berkaitan bencana banjir yang tidak benar dan tepat tanpa merujuk pihak berkuasa terlebih dahulu.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata pihaknya mendapati banyak berita yang disebarkan di media sosial dan menjadi 'viral' adalah tidak benar dan tepat.

"Jangan timbulkan suasana tidak tenteram dan mencemaskan. Jangan timbulkan suasana yang tidak perlu sedangkan keadaan sebenar adalah terkawal," katanya kepada pemberita selepas melawat Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong di sini, malam tadi.

Menurut Wan Mohd Nor kekuatan anggota dan aset pasukannya setakat ini mencukupi bagi menghadapi keperluan bencana banjir yang melanda beberapa negeri terutama di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Aset jabatan itu boleh dipindahkan mengikut keperluan memandangkan bencana banjir tidak berlaku serentak di seluruh negara, katanya.

"Kejadian banjir ini berubah-ubah, kita boleh pindahkan aset-aset kita ke kawasan yang memerlukan selain itu kita juga mempunyai kerjasama erat dengan agensi lain seperti tentera dan polis yang sama-sama membantu," katanya.

Wan Mohd Nor berkata kesiapsiagaan keseluruhan 13,000 anggota pasukannya juga berada pada tahap tertinggi dan bersedia bertugas 24 jam.

Cuti tahunan anggota di negeri-negeri terlibat bencana juga dibekukan dan perkara itu telah dimaklumkan kepada pasukan, katanya.

"Kita nampak apa yang penting dalam situasi bencana adalah koordinasi pelbagai agensi yang berjalan begitu baik, sama ada dari segi pusat pemindahan, aset serta aspek logistik," katanya menambah anggota bomba yang ditugaskan 24 jam memahami tugasan, peranan dan tanggungjawab mereka. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-