Thursday, December 25, 2014

Pelihara sensitiviti agama lain, santuni hak & kebebasan beragama

KUALA LUMPUR 25 DIS: Pakatan Rakyat perlu terus memupuk persefahaman dengan semangat persaudaraan yang tinggi sebagai teras kepada keharmonian masyarakat, kata Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, KEADILAN bersyukur kerana seluruh rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama, dapat menyambut perayaan mengikut agama dan budaya masing-masing dengan harmoni dan sejahtera.


“KEADILAN berpegang kepada prinsip bahawa, keharmonian sebegini harus terus dipertahankan dengan sifat kerjasama dan toleran yang tinggi di kalangan kita semua,” kata Wan Azizah dalam perutusan Hari Natal 2014 yang disambut hari ini.

Harapan beliau semoga seluruh rakyat beragama Kristian meraikan perayaan ini dengan penuh kegembiraan bersama anggota keluarga dan sahabat handai.

KEADILAN juga kata Wan Azizah, berharap agar masyarakat Kristian, berusaha memelihara sensitiviti agama lain, manakala pihak berkuasa menyantuni mereka sebagaimana hak dan kebebasan beragama, seperti termaktub dalam Perlembagaan Negara.

“Dengan cabaran yang begitu hebat melanda negara dengan kehilangan MH370, tragedi MH17 dan pelbagai permasalahan ekonomi, kita bagaimanapun bersyukur, wujudnya penyelesaian kepada sebahagian tindakan yang menimbulkan keresahan dan ketegangan agama di antara kita.

“Saya berdoa agar Malaysia terus aman dan harmoni, moga gerakan Islah semakin kuat dan rakyat Malaysia secara amnya, dilindungi dari segala musibah dan kesusahan.

“Selamat Hari Natal dan Selamat Tahun Baru 2015,” ucap Wan Azizah lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-