Monday, January 5, 2015

Adakah banjir akan mengubah landskap politik Kelantan?

KOMEN: Saya pastinya akan dikritik hebat dari penyokong-penyokong tegar PAS, tetapi saya benar-benar percaya bahawa parti Melayu Umno kini mempunyai peluang yang baik untuk merampas kembali Kelantan, sekiranya presiden parti itu dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak boleh menyediakan sebuah program menyeluruh bagi membina semula kawasan-kawasan yang dilanda banjir di negeri pantai timur itu.

Sejak 24 tahun yang lalu, rakyat Kelantan telah mengundi pasti Islamik PAS semata-mata disebabkan oleh daya tarikan bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Walau bagaimanapun, selepas beliau melepaskan jawatan itu pada 3 April 2013, Nik Aziz telah digantikan oleh Datuk Ahmad Yakob.

Ahmad Yakob, 64 tahun, berkelulusan Universiti Al Azhar di Kaherah dengan ijazah Sarjana Muda Undang-undang Islam, dan kemudiannya telah dianugerahkan Diploma Pendidikan dari Universiti Ain Shams.

Walaupun memiliki kelayakan agama yang setanding dengan Tok Guru Nik Aziz, ADUN Pasir Pekan itu bersama-sama dengan timbalan beliau, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah tidak memiliki reputasi yang sama dengan Nik Aziz.

Di samping itu, bekas ahli exco Datuk Husam Musa telah digugurkan daripada pentadbiran negeri walaupun beliau dianggap sebagai seorang teknokrat dalam PAS.

Oleh itu, undang-undang hudud telah menjadi kad pasti menang Ahmad Yakob (dan Nik Amar) bagi menanam keyakinan di kalangan penyokong mereka, dan ia dilihat sebagai penghargaan yang sesuai bagi perjuangan Nik Aziz terhadap politik Islam di negeri ini.

Walau bagaimanapun, banjir yang melanda Kelantan pada minggu-minggu lepas, khususnya di Kota Baru yang memiliki jumlah mangsa banjir yang paling ramai, diikuti Pasir Mas, Kuala Krai, Tumpat dan Gua Musang, telah memberikan sudut pandangan yang berbeza.

Setelah air banjir surut, mangsa secara perlahan-lahan kembali untuk menyelamatkan apa yang tinggal di rumah mereka, yang kini diliputi dengan kekotoran dan lumpur. Sewaktu rasa tidak berdaya mula meresap, mereka memerlukan jaminan bahawa kehidupan boleh kembali seperti sediakala secepat mungkin.

Najib melawat daerah-daerah Kuala Krai dan Gua Musang pada 30 Disember untuk menilai kerosakan dan menentukan bentuk bantuan yang akan disediakan.

Bercakap kepada pemberita di Perak sehari sebelum itu, Bernama memetik Najib sebagai berkata, "Saya telah melihat gambar-gambar rumah yang telah musnah; beberapa darinya hanya tinggal papan kayu.

"Ini bermakna penghuninya akan menghadapi masa depan yang suram kecuali mereka menerima bantuan kerajaan."

Walaupun beliau tidak perlu mengisytiharkan keadaan darurat, beberapa pengulas percaya Najib boleh mengumumkan langkah-langkah khas lain untuk membantu mangsa-mangsa dan juga mengurangkan ancaman banjir di kawasan majoriti Melayu itu.

Penganalisis politik, Mohd Sayuti Othman berpendapat yang Najib perlu mengumumkan Kuala Krai dan Gua Musang sebagai 'daerah istimewa' di mana dana-dana boleh disalurkan bagi membina semula kehidupan mereka yang terjejas oleh bencana.

Menurut Sayuti, pengumuman sebegini pasti akan menaikkan semangat mereka.

Sekembalinya dari lawatan peribadi ke Hawaii, Najib mengumumkan sebuah bantuan khas sebanyak RM500 juta bagi mangsa di negeri-negeri yang terjejas oleh banjir.

Bagaimanapun, beliau berkata yang dana-dana itu tidak mengandungi peruntukan yang akan dinyatakan kemudian, bagi membaiki kerosakan kepada institusi-institusi pendidikan, bangunan kerajaan, masjid dan infrastruktur lain.
Najib juga berkata yang dana itu akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas tamatnya bencana itu.

ADUN Salor, Husam bagaimanapun menegaskan bahawa apa-apa pengumuman adalah tidak penting jika bantuan itu tidak diterima sasaran yang dikehendaki.

Di samping itu, menurut Husam, kerajaan persekutuan juga mesti menyediakan bantuan dalam bentuk pakaian seragam sekolah dan juga pampasan bagi rumah-rumah dan kenderaan.

“Adakah bantuan bagi rumah-rumah dan kenderaan yang rosak?" Beliau bertanya sambil mengedarkan makanan di Kampung Kadok, Pasir Mas.

Husam juga menegaskan bahawa sistem pengurusan bencana di negara ini perlu dikaji semula untuk memastikan keberkesanan penggunaan aset, perkhidmatan komunikasi dan sistem pemberitahuan kecemasan.

Najib kini bertanggungjawab untuk menanam keyakinan di kalangan rakyat Kelantan supaya menjalani hidup mereka semula seperti sediakala. Setelah diuji oleh tragedi besar ini yang belum pernah terjadi sebelum ini, pertarungan di kawasan majoriti Melayu kini seolah-olah tertumpu kepada usaha membina semula kehidupan mangsa-mangsa banjir.

Jika Najib dan pemimpin-pemimpin Umno Kelantan seperti Ahli Parlimen Jeli Datuk Mustapa Mohamad dan Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa boleh bergerak dengan segera, banjir ini juga boleh menyebabkan landskap politik di Kelantan beralih dan memenangkan mereka.
oleh Lokman Mustafa

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-