DUBAI, 14 Januari:
Kumpulan Al-Qaeda di Yaman mengaku bertanggungjawab terhadap serangan yang meragut 12 nyawa ke atas pejabat akhbar satira Perancis, Charlie Hebdo pada 7 Januari lalu.
Difahamkan, ia adalah tindakan membalas dendam terhadap penerbitan karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW.
“Kami, Al-Qaeda di Semenanjung Arab mengaku bertanggungjawab terhadap operasi ini sebagai membalas dendam untuk Rasulullah,” kata seorang pemimpin kumpulan itu, Nasser al-Ansi, dalam satu video bertajuk ‘Mesej mengenai pertempuran Paris yang diberkati’.
Ansi berkata, serangan di Paris itu diperintahkan oleh komander rangkaian global, Ayman Zawahiri.
“Kepimpinan AQAP adalah pihak yang memilih sasaran dan merencana pelan dan membiayai operasi berkenaan…ia diikuti arahan daripada ketua umum kami, Ayman al-Zawahiri,” katanya.
Bercakap mengenai rakaman serangan yang meragut 12 nyawa, Ansi berkata: “Hari ini, mujahidin membalas dendam untuk Nabi mereka yang disayangi dan menghantar mesej jelas kepada setiap individu yang berani menyerang kesucian agama Islam.”
AQAP ditubuhkan pada Januari 2009 sebagai gabungan Al-Qaeda cawangan Yaman dan Arab Saudi.
Dalam pada itu, Washington menganggap ia sebagai kumpulan rangkaian jihad paling berbahaya di dunia dan sudah melancarkan serangan dron berterusan terhadap pemimpinnya.
Pada 7 Januari lalu, media melaporkan sekurang-kurangnya 12 orang terkorban selepas tiga lelaki yang dilengkapi senapang jenis Kalashnikovs dan pelancar peluru berpandu menyerang pejabat majalah mingguan Charlie Hebdo di Paris.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/global/2015/01/14/al-qaeda-yaman-mengaku-dalang-insiden-charlie-hebdo/#ixzz3OnXiyQp5
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.