Thursday, January 8, 2015

Cabaran besar memandu di Malaysia


KOMEN: Apabila anda mendapati jalan sesak teruk ketika memandu di Malaysia, ia boleh disebabkan beberapa faktor.

Pertama, ada kereta rosak atau tayarnya pancit. Kedua, ada kemalangan yang baru berlaku. Ketiga, terjadi banjir kilat atau semua kereta perlu mengelak daripada lubang besar di tengah jalan. Keempat, polis membuat sekatan jalan raya. Kelima, ada sebuah kereta di depan yang terlalu perlahan dan bertukar-tukar lorong. Keenam, ada seseorang yang terlupa bagaimana memandu kereta selepas hujan lebat. Ketujuh, lampu isyarat rosak. Kelapan, polis trafik sedang mengawal lalu lintas, dan banyak lagi.

Pemandu Malaysia sudah terbiasa mengalami, dan tersekat di tengah-tengah trafik yang langsung tidak bergerak. Malah, kesesakan lalu lintas sudah menjadi budaya. Bukankah ia adalah “penyambut tetamu” bagi sesiapa yang melawat Malaysia?

Masalah bagi pemandu di Malaysia ialah, tidak lain dan tidak bukan – memandu. Bayangkan sahaja, setiap pusingan akan membawa anda menuju jalan yang sesak.

Suatu ketika dahulu, kesesakan jalan raya ada waktunya sendiri. Maka, semua akan merancang untuk memandu selepas waktu kesesakan berlalu.

Namun, tahun demi tahun dan bilangan kereta makin bertambah, kesesakan tidak lagi berlaku pada waktu tertentu. Hari ini, kesesakan lalu lintas berlaku pada setiap masa.

Memburukkan lagi keadaan, polis trafik membuat sekatan jalan raya atau “operasi” tanpa mengambil kira waktu yang sesuai.

Dahulu, prinsip sekatan jalan raya adalah “bukan sebelum atau semasa waktu puncak”. Namun hari ini, ia dibuat mengikut kehendak polis dan boleh jadi pada bila-bila masa.

Apa yang kelakar tentang kesalahan trafik adalah anda tidak akan dikenakan tindakan walaupun kereta anda bercermin gelap, plat dan lampu belakang yang tidak mengikut piawaian, ekzos mengeluarkan asap hitam mahu pun dimodifikasi secara keterlaluan. Selagi mana tiada sekatan atau operasi yang mencari kereta dengan kesalahan khusus tersebut pada waktu itu.

Begini, katakanlah tingkap kereta anda sememangnya gelap melebihi peraturan yang ditetapkan, anda pasti tidak akan dikenakan apa-apa walaupun memandu di sebelah polis atau pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Malah, kereta anda boleh melepaskan asap hitam terus ke tingkap mereka dan anda masih terlepas.

Anda hanya akan ditahan dan disaman apabila polis membuat operasi. Ini fakta. Dan bukan itu sahaja, ia juga bergantung kepada jenis kereta. Jika anda memandu kereta mahal seperti BMW, Mercedes atau Bentley, kemungkinan besar anda tidak akan ditahan. Seolah-olah anda tidak tertakluk di bawah undang-undang apabila memiliki status tertentu.

“Saya pernah ditahan ketika sekatan jalan raya, sementara kereta di hadapan – sebuah Range Rover dilepaskan walaupun jelas cerminnya amat gelap dan nombor platnya lebih kecil daripada saiz yang ditetapkan. Pegawai menahan saya tanpa sebarang sebab, tetapi membiarkan sahaja kereta yang ada kesalahan,” kata suri rumah Peaches Tan kepada Semut Harian.

Ia membuatkan kita berfikir, bukan? Tidak hairanlah jika golongan kaya bertambah kaya dan golongan miskin bertambah miskin. Orang miskin terpaksa mengeluarkan duit untuk saman, manakala orang kaya tidak perlu berbuat demikian.

Kemudian, polis trafik sentiasa merasakan mereka mampu mengawal lalulintas dengan lebih baik berbanding lampu isyarat. Ini adalah yang paling mengarut. Justeru mengapa kita meletakkan lampu isyarat jika ia tidak menepati piawaian polis trafik?

“Ada satu masa, saya bersama isteri dan anak perempuan berusia 2 tahun terperangkap hampir sejam dalam kesesakan kerana polis trafik sedang mengawal lalulintas, walaupun lampu isyarat berfungsi dengan baik,” kata penulis iklan David Chandran.

Namun ada satu perkara yang wajib disaksikan oleh sesiapa yang berkunjung ke Malaysia; iaitu bagaimana jalan dua lorong dengan mudah bertukar menjadi lima atau enam lorong semasa kesesakan.

Lebih luar biasa adalah bagaimana ratusan kenderaan tboleh terpisah dua secara tiba-tiba (seperti Nabi Musa membelah lautan) untuk memberi laluan kepada ambulans dan kereta bomba.

Secara keseluruhannya, memandu di Malaysia adalah satu pengalaman yang tersendiri. Malah, kita patut memasukkannya ke dalam buku panduan pelancong – “Selamat datang ke Malaysia, di mana memandu adalah satu cabaran”. Kerana ia sememangnya sesuatu yang amat mencabar. Ia memberikan adrenalin dan malah boleh berakhir dengan tragedi.
oleh Ace Emerson

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Cabaran-besar-memandu-di-Malaysia#sthash.PcqtIMyI.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-