Monday, January 5, 2015

Dedahkan 'projek keselamatan kerajaan' yang Phua terlibat

Fahmi berkata, sudah tiba masanya Zahid mendedahkan apakah 'projek keselamatan kerajaan' di mana Phua terlibat sama.

KUALA LUMPUR, 5 Januari:

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi mendedahkan jika Paul Phua pernah ditangkap atau dikenakan tindakan undang-undang di Malaysia untuk jenayah seperti perjudian atau penggubahan wang haram.

Menurutnya, beliau bersyukur kerana walaupun sebelum Zahid membuat pernyataan mengenai surat rahsia kepada FBI, peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah menjawab soalan-soalan daripada beliau.

“Peguam UMNO nombor satu, Shafee telah menjawab salah satu daripada soalan-soalan saya dan sekarang kami mempunyai pengesahan bahawa surat rahsia yang telah didedahkan oleh South China Morning Post adalah benar,” katanya dalam kenyataan akhbar.

Beliau berkata, sudah tiba masanya Zahid mendedahkan apakah ‘projek keselamatan kerajaan’ yang Phua terlibat sama.

“Zahid memilih untuk berdiam diri sehingga ke hari ini. Beliau juga perlu mendedahkan mengapa dia menulis surat kepada Phua tetapi mendiamkan diri ketika Interpol mengeluarkan waran bagi penangkapan Dr Yusuf Al-Qaradawi,” katanya.

Fahmi berkata, ramai anggota Parlimen mempersoalkan bagaimana seorang menteri kabinet boleh menulis surat berkenaan berdasarkan nasihat peguam peribadi dan tidak melalui Peguam Negara.

“Adakah ini prosedur operasi standard atau hanya sediakala untuk menteri?

“Zahid sepatutnya lebih proaktif memberikan penjelasan kepada isu ini. Dengan berdiam diri, dia menimbulkan persepsi bahawa dia mempertahankan seseorang yang telah ditangkap di Macau dan didakwa di Amerika, kedua-dua untuk perjudian,” katanya.

Pada masa yang sama, Fahmi berkata, Zahid perlu mengesahkan bahawa Paul Phua bukan ahli Triad 14k selepas membuat kenyataan bahawa kumpulan itu tidak wujud di Malaysia.

“Beliau juga perlu menjawab mengapa ia bercanggah dengan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang digunakan oleh FBI dalam kes terhadap Paul Phua,” katanya.

Menurut Integriti Kewangan Global (Global Financial Integrity), Malaysia telah kehilangan RM170 bilion dalam aktiviti penggubahan wang haram pada tahun 2012 di mana perjudian adalah salah satu kaedah untuk ‘membersihkan wang’ haram.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-