Penyerahan sumbangan wang dalam bentuk cek kepada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan negeri Kelantan oleh Guan Eng kepada ADUN Salor, Datuk Husam Musa dibuat dalam satu majlis ringkas disaksikan orang ramai di hadapan Pasar Kuala Krai.
Meskipun bukan majlis rasmi, penduduk Kuala Krai yang menyaksikan upacara tersebut turut mengucapkan terima kasih dan mengambil peluang bersalaman dan bergambar bersama pimpinan Pakatan Rakyat.
Hadir sama, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli, Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke dan Exco Pulau Pinang Datuk Malik Kasim.
Dalam ucapan ringkasnya kata Guan Eng, bencana banjir yang melanda negeri-negeri pantai timur dengan Kelantan paling terjejas, adalah ujian tentang bagaimana rakyat Malaysia menunjukkan keprihatinan mereka.
“Bukan hanya datang untuk menunjukkan rasa bersama dan silaturrahim, tetapi membuktikan bahawa rakyat Malaysia bersatu hati dalam menghadapi situasi sukar,” kata Guan Eng.
Terdahulu pada sebelah pagi, Guan Eng menyerahkan dua buah lori tangki PBA yang didatangkan khas dari Pulau Pinang membekalkan air bagi operasi pembersihan dengan tumpuan kepada sekolah di sekitar pekan Kuala Krai.
Kedua lori tangki PBA tersebut diselia Mejar Mohd Nizam Omar dari 12 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja yang turut bekerjasama dengan kontinjen bantuan banjir kerajaan negeri Pulau Pinang.
Turut menyertai operasi pembersihan bandar Kuala Krai adalah sukarelawan. Tzu Chi yang hadir dari seluruh negara.
“Lusa sesi persekolahan akan bermula. Jika anak-anak mahu ke sekolah, itu satu petanda yang baik,” ujar Guan Eng.
“Kita pun harap keadaan akan kembali pulih seperti biasa.
Beliau bersama delegasi turut sempat melawat sekitar pekan Kuala Krai selain menyerahkan sumbangan kepada pentadbiran SJKC Yuk Chaii bagi membaiki komputer yang rosak.
Sementara itu Pengarah Misi Bantuan Bencana Banjir DAP Anthony Loke memberitahu, Kuala Krai diberi perhatian khusus dan bantuan akan diteruskan berdasarkan keperluan penduduk setempat.
“Dalam tempoh sepuluh hari, ini adalah misi bantuan kelima. Diharap dapat meringankan beban penduduk Kuala Krai dan suasana akan kembali seperti sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu Anthony turut mengumumkan kutipan Tabung Dana Bencana Banjir DAP kini mencecah RM560,000. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.