Friday, January 2, 2015

Harga minyak turun belum tentu harga barang akan turun

Peniaga jarang mahu menurunkan harga barangan apabila harga bahan api diturunkan kerana terlalu mementingkan keuntungan, kata Mohd Yusof. - Foto: hiasan

KUALA LUMPUR, 2 Januari:

Penurunan harga minyak RON95, RON97 dan diesel tidak bermakna harga barangan keperluan, makanan dan kos sara hidup juga akan turut.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata ia disebabkan kebanyakan peniaga di negara ini lebih mengutamakan keuntungan perniagaan mereka berbanding kepentingan pengguna.

Menurutnya, sejarah menunjukan penurunan harga minyak tidak akan mempengaruhi para peniaga untuk turut sama menurunkan harga barang jualan.

“Sekiranya melihat kepada sejarah sebelum ini, apabila harga minyak turun, harga barang tidak akan turun kerana kebanyakan peniaga lebih berorientasikan keuntungan.

“Apabila harga petrol dan diesel naik sedikit, dengan pantas mereka menaikkan harga barangan,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan kerajaan mengumumkan harga runcit baharu bagi petrol RON95 dan RON97 iaitu RM1.91 seliter dan RM2.11 seliter, berkuat kuasa hari ini yang merupakan pengurangan sebanyak 35 sen seliter.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan berkata segelintir peniaga di negara ini seolah-olah dijangkiti virus yang menyebabkan mereka sukar untuk menurunkan harga barangan.

Jelasnya, golongan ini sebenarnya boleh dianggap sebagai penjahat kerana sudah tidak memiliki sifat yang wajar untuk menurunkan harga barang apabila harga minyak telah diturunkan oleh kerajaan.

“Oleh itu, tabiat buruk yang diamalkan oleh peniaga-peniaga tersebut telah merosakkan masyarakat dan juga negara kerana hanya memikirkan soal untung tanpa menghiraukan keluhan rakyat di luar sana.

“Apabila kerajaan akan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan pada 1 April nanti, belum pun ia dilaksanakan mereka telah pun menaikkan harga barang dan ini yang saya katakan sebagai penjahat itu tadi,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan digesa untuk menggunakan Akta Persaingan dan meminta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) supaya bertindak tegas dalam perkara ini.

Katanya, akta tersebut merupakan jalan paling tepat untuk mengawal mereka yang mempunyai kuasa monopoli dalam pasaran daripada terus menindas pengguna.

“Saya harap tahun 2015 ini membuka lembaran baru kepada pengguna dan meminta segelintir para peniaga di luar sana supaya usahlah menipu para pengguna,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-