Friday, January 2, 2015

Gambar PM atas paket beras untuk urusan logistik

Eddy Casmady mendakwa Malaysiakini telah menggunakan tanpa izin dan memanipulasikan gambarnya ketika menampal pelekat wajah Perdana Menteri di atas paket bantuan beras.

KUALA LUMPUR, 2 Januari:

Naib Pengerusi Briged Kesatria Muda, Eddy Casmady Che Hussin akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap blogger Syed Akbar Ali yang didakwa memfitnahnya dalam blognya ‘OutSyed the Box’ dan juga laporan sama di portal Malaysiakini.

Eddy bertindak mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas Syed Akbar dan Malaysiakini kerana menyiarkan berita dan gambarnya melekatkan pelekat wajah Perdana Menteri di paket beras dan bantuan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, Eddy mendakwa laporan berita yang dibuat oleh Malaysiakini adalah palsu dan berniat jahat.

Katanya, dia kesal kerana tindakan portal berita itu melaporkan berita palsu dan memanipulasikan gambarnya ketika meletakkan pelekat wajah PM dan menyebabkan salah tanggapan, persepsi negatif dan tuduhan tidak baik terhadapnya dan NGO yang diwakili.

“Malaysiakini telah menggunakan tanpa izin dan memanipulasikan gambar saya ketika menampal pelekat wajah Perdana Menteri di atas paket bantuan beras.

“Sebagai Naib Pengerusi Briged Kesatria Muda Malaysia, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengatur, memindah, mengasingkan dan menghantar bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

“Gambar yang dimanipulasikan oleh Malaysiakini adalah gambar saya selaku Sukarelawan Briged Kesatria Muda, bukan seorang ‘pekerja’ seperti yang didakwa portal berkenaan. Rujuk sukarelawan dan NGO yang lain sebagai pengesahan kerja-kerja sukarelawan yang telah saya jalankan,” ujarnya dalam kenyataan itu.

Eddy berkata Briged Kesatria Muda adalah biro yang ditubuhkan untuk menggerakkan misi kemanusiaan yang mana 3,000 kampit beras pertama telah disediakan lebih awal oleh MOA melalui satu majlis rasmi pada 17 Disember lalu di Putrajaya. Pengedaran aktif oleh Briged Kesatria Muda juga dilakukan sebelum berlakunya banjir besar di pantai timur.

“Briged Kesatria Muda tidak terikat dengan MOA semata-mata. Kami turut mengumpul dan mengedar bantuan dari kumpulan NGO-NGO dan Kementerian lain.

“Kami perlu meletakkan penanda agar ia tidak bercampur dan memudahkan urusan logistik dan penghantaran.

“Bantuan makanan daripada MOA sebenarnya tidak mempunyai penanda gambar YAB PM seperti mana yang didakwa. Hanya sebanyak 100 keping penanda yang dicetak dan ditampal untuk membezakan bantuan dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan bantuan-bantuan daripada pihak lain yang turut membantu membekalkan barangan makanan kepada mangsa banjir.

“Banyak gambar yang dirakam dalam operasi penyerahan bantuan ini membuktikan bahawa tiada pelekat wajah PM dilekatkan di atas bantuan-bantuan yang disampaikan oleh kementerian ini,” dakwanya lagi

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-