Thursday, January 1, 2015

Jenazah Abdullah Hussain disemadi selepas solat zohor

Allahyarham Abdullah telah menghasilkan lebih 25 novel, tiga kumpulan cerpen, sembilan terjemahan, sebuah autobiografi dan enam biografi, sepanjang karier beliau sebagai penulis. - Foto laman blog Mimbar Kata

PETALING JAYA, 1 Januari:

Jenazah Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain, 94, yang meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Petaling Jaya, kira-kira jam 9 malam tadi, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, selepas solat zohor hari ini, kata anak lelaki Allahyarham, Ahmad Patria Abdullah.

Penerima anugerah Sasterawan Negara kelapan itu adalah seorang penulis yang cukup prolifik dan konsisten, manakala penguasaan beliau dalam beberapa bahasa menjadi faktor yang membantu beliau dalam lapangan diceburinya.

Abdullah yang dilahirkan pada 25 Mac 1920 di Yan, Kedah menerima Anugerah Sasterawan Negara (ASN) pada 1996.

Allahyarham menghasilkan pelbagai karya sepanjang karier beliau sebagai penulis, namun sumbangannya yang cukup menonjol dalam kesusasteraan Melayu tanah air adalah dalam bidang cerpen dan novel.

Beliau telah menghasilkan lebih 25 novel, tiga kumpulan cerpen, sembilan terjemahan, sebuah autobiografi dan enam biografi.

Antara novel terkenalnya adalah Imam, Konserto Terakhir dan Interlok.

Pengiktirafan lain yang diterimanya adalah Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) dari kerajaan Thailand pada 1981 dan hadiah pertama Hadiah Sako 1.

Berada di sisi Allahyarham ketika menghembuskan nafas terakhir adalah isterinya, Datin Siti Saroja Basri dan lima anaknya berusia 32 hingga 47 tahun.

“Ayahanda menghembuskan nafas dengan tenang dan kami reda dengan pemergiannya,” kata Ahmad Patria.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-