KUALA TERENGGANU, 24 Januari :
Tengku Ampuan Tua Terengganu, Tengku Intan Zaharah Almarhum Tengku Seri Setia Raja Tengku Hitam Omar, 86, mangkat di sebuah pusat perubatan di ibu negara pukul 3.26 petang hari ini, menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Osman Muda.
“Jenazah almarhum dijangka tiba di Kuala Terengganu pukul 10 pagi esok dan akan dibawa ke Istana Maziah sebelum dibawa ke Masjid Abidin untuk solat jenazah serta dikebumikan di Makam Diraja Terengganu di Masjid Abidin selepas solat zuhur,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
“Bagi rakyat jelata, waktu melawat adalah bermula pukul 11 pagi sehingga 12 tengah hari manakala bagi orang kenamaan,ia bermula 12 tengah hari sehingga 1 petang.
“Solat jenazah akan dilakukan selepas Solat Zuhur dan almarhum akan dikebumikan di Makam DiRaja Masjid Abidin,” jelas beliau.
Beliau berkata berikutan kemangkatan itu, Terengganu akan berkabung selama 40 hari dan bendera negeri akan dikibarkan separuh tiang bermula hari ini sehingga 4 Mac.
Dato’ Osman Muda berkata, dalam tempoh perkabungan itu, pegawai dan kakitangan lelaki Melayu diminta memakai songkok berlilit kain putih berukuran satu inci bagi menghormati perkabungan itu.
“Manakala peraturan pemakaian bagi kakitangan wanita Melayu pula berselendang atau berkain tudung berwarna putih.
“Bagi pegawai dan kakitangan bangsa lain, mereka dikehendaki bertali leher hitam atau lilitan lengan hitam di sebelah kanan (bagi lelaki) dan lilitan lengan hitam bagi wanita,” katanya.
Polis dan tentera pula dikehendaki menurut cara pemakaian yang telah ditetapkan oleh peraturan pakaian jabatan masing-masing.
“Kita juga harap orang ramai di Terengganu turut sama berkabung dengan memakai songkok berlilit kain putih bagi lelaki Melayu dan lilitan lengan hitam bagi bukan Melayu,” katanya.
Osman berkata, segala perhimpunan ramai dan majlis-majlis atau acara-acara anjuran kerajaan dan bukan kerajaan yang berunsurkan hiburan adalah dilarang diadakan di seluruh negeri Terengganu dalam tempoh itu.
Bagaimanapun, katanya majlis atau acara yang berunsurkan keagamaan, pendidikan, riadah dan ilmiah adalah dibenarkan.
Bagi yang ingin menziarahi, pakaian untuk lelaki muslim hendaklah berbaju melayu hitam, sampin hitam kosong dan songkok hitam dililitkan dengan riben putih (1 inci) manakala bagi yang bukan muslim bersuit hitam dan riben putih dililitkan di sebelah kanan lengan baju.
“Bagi wanita pula hendaklah berpakaian baju kurung dan tudung berwarna hitam,” katanya.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/24/kerajaan-terengganu-isytihar-berkabung-40-hari/#ixzz3Pn3HmTOu
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.