Sunday, January 25, 2015

Lihat kes Sirul bagi menilai kembali hukuman mati di Malaysia

oleh Alyaa Alhadjri

PETALING JAYA: Adakah tindakan Australia menolak permintaan ekstradisi oleh Malaysia bagi Korporal Sirul Azhar Umar melainkan beliau tidak dikenakan hukuman gantung mampu menyebabkan hukuman mati yang dikenakan di negara ini dinilai kembali?

Ramai yang berhujah tentangnya tetapi seakan tidak banyak dilakukan sejak cadangan rasmi diusulkan buat kali pertama di persidangan parlimen pada 2011 dahulu.

Ahli parlimen Kluang Liew Chin Tong memberitahu SemutHarian pada 21 Jan bahawa beliau telah mengadakan persidangan tersebut pada Jun 2011, bersama-sama ahli parlimen Gobind Singh Deo, dan disokong Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Azizi yang ketika itu menteri penasihat undang-undang.

“Nazri juga membuat kenyataan terbuka menyokong hukuman mati dikaji semula tetapi seakan tiada yang berlaku di pihak Jabatan Peguam Negara,” kata Liew, sama seperti yang dibangkitkan oleh aktivis anti hukuman mati Charles Hector Fernandez.

Semut Harian pada Rabu memetik Fernandez, yang juga koordinator kumpulan hak asasi Malaysia menentang Hukuman Mati dan Siksaan, yang mendesak kerajaan mengambil langkah awal bagi memansuhkan hukuman mandatori yang membawa kepada hukuman mati.

Malah sebelum persidangan yang dimaksudkan, Nazri dipetik pada 29 Ogos 2010 dilaporkan berkata “Jika tindakan mengambil nyawa itu salah, maka kerajaan tidak boleh melakukannya. Ia ironik dan tidak betul.”

“Ia telah dibincang secara tidak formal tetapi kita tidak memiliki iltizam politik melakukannya,” ujar ahli parlimen Padang Rengas itu.

Sejak itu, Liew dan Gobind telah beberapa kali membangkitkan perkara itu di parlimen serta maklumbalas yang diperolehi daripada pengganti Nazri, Nancy Shukri, hanya mengesahkan pendapat Fernandez bahawa jabatan peguam negara tidak melakukan apa-apa.

Liew berkara Nancy yang hadir di persidangan yang sama “menyokong secara peribadi” cadangan tetapi mengakui tidak memiliki kuasa menyegerakannya.

Dalam jawapan di parlimen bagi pertanyaan Gobind pada 19 Mac tahun lalu, Nancy berkata kerajaan tidak ada rancangan segera untuk memansuhkan hukuman mati bagi jenayah berat.

The Malaysian Insider melaporkan pada 23 Jan bahawa seorang lagi yang dituduh membunuh wanita Mongolia Altantuya Shariibuu Cif Inspektor Azilah Hadri telah memfail petisyen bagi mendapatkan pengampunan.

Peguamnya Datuk Hazman Ahmad memberitahu, Azilah yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh akan meneruskan permohonannya bagi mendapatkan pengampunan.

Ketika dihubungi Semut Harian, pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Majlis Peguam, Andrew Khoo berkata Sirul juga boleh membuat permohonan yang sama, dari luar negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan pada 22 Jan Malaysia memohon Sirul diekstradisi selepas dia ditanah pihak berkuasa di Brisbane.

Dalam perkembangan lain akhbar The New Straits Times melaporkan pada 23 Jan bahawa kerajaan Australia melepaskan Sirul daripada ditahan tetapi memegang paspotnya dan mengawasi gerak-gerinya.

“Antara syarat yang dikenakan ialah dia perlu melaporkan diri apabila diminta pihak berkuasa Australia,” NST memetik kenyatan seorang pegawai Wisma Putra.

Menurut rekod parlimen, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan pada November tahun lalu, terdapat 975 pesalah yang akan menjalani hukuman mati walaupun ada yang membuat permohonan bagi pengampunan.

Kemelut berkaitan kes Sirul mungkin menjadi pencetus keadilan diperbaiki dengan menilai kembali hukuman mati di dalam undang-undang Malaysia.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Lihat-kes-Sirul-bagi-menilai-kembali-hukuman-mati-di-Malaysia/#sthash.5vhcWKjC.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-