Showing posts with label Jabatan Peguam Negara. Show all posts
Showing posts with label Jabatan Peguam Negara. Show all posts

Friday, February 7, 2025

Titah adendum: Najib bantah perintah larangan bersuara

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdu Rashid
Diterbitkan: Feb 7, 2025 11:41 AM
Najib Razak telah membantah permohonan kerajaan untuk perintah larangan bersuara (gag order) berhubung semakan kehakimannya yang dikaitkan dengan titah adendum yang membenarkannya menjalani tahanan rumah.

Pasukan undang-undang bekas perdana menteri dari Shafee & Co memfailkan afidavitnya dua hari lalu untuk membantah permohonan oleh wakil kerajaan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menghalang media melaporkan tindakan sivilnya.

Dalam afidavit yang dilihat oleh Malaysiakini, Najib menegaskan bahawa tiada risiko segera untuk perbicaraan adil atau keselamatan negara Malaysia jika kes itu dilaporkan untuk penyebaran dan perbincangan awam.

"Tiada siapa yang mengesahkan afidavit yang mendakwa mengancam keselamatan negara dengan bukti yang mencukupi untuk menyokong perkara yang sama," kata bekas Ahli Parlimen Pekan itu dalam pemfailan yang dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Najib juga berhujah bahawa publisiti atau perbincangan kritis dan termaklum mengenai sesuatu kes tidak boleh secara automatik menjadi prejudis serius kepada prosiding undang-undang, sambil menyatakan bahawa AGC sentiasa boleh memulakan prosiding jenayah atau sivil terhadap sesiapa yang membuat kenyataan berbaur hasutan atau fitnah terhadap institusi diraja.

"Setakat ini, tiada laporan bahawa sebarang tindakan telah diambil terhadap mana-mana orang yang melakukan perbuatan sedemikian, oleh itu tiada risiko serta-merta atau ancaman kepada institusi diraja," kata Najib.

Dia menegaskan bahawa semakan kehakimannya bertujuan untuk memelihara institusi diraja dan mana-mana titah diraja, dengan mendakwa bahawa kerajaan persekutuan dan responden lain yang cuba menghalangnya daripada menguatkuasakan titah adendum itu.

Najib menolak dakwaan AGC bahawa perbincangan awam mengenai perkara itu boleh menjejaskan institusi diraja, sambil menyatakan bahawa AGC dan juga istana diraja mengeluarkan kenyataan media semasa kes itu dijalankan sebelum ini.

"Ini menunjukkan wujudnya wacana matang dan pelaporan seimbang mengenai isu yang sedang dihadapi dan bahawa permohonan responden ketiga (Peguam Negara) tidak mempunyai asas, menyebabkan risiko prejudis serius terhadap Institusi diraja jauh daripada nyata," kata Najib.

Pada 20 Jan, permohonan perintah larangan kerajaan difailkan atas alasan yang dinyatakan untuk menyekat kenyataan awam yang boleh mempersoalkan integriti dan kuasa Lembaga Pengampunan dan Agong.

Menurut permohonan perintah itu, kerajaan berusaha untuk menghalang mana-mana pihak, termasuk media, daripada menerbitkan, menyiarkan, atau menyebarkan apa-apa yang berkaitan dengan semakan kehakiman yang sedang berjalan.

Ia memohon perintah larangan bersuara terhadap penyebaran yang boleh menyebabkan perbincangan awam dan spekulasi yang mencetuskan keraguan, mempersoalkan, mencabar atau menghina prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Kerajaan juga meminta perintah itu berhubung penyebaran yang boleh menimbulkan spekulasi dan kenyataan yang boleh menjejaskan kredibiliti dan integriti keputusan, fungsi dan kuasa Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Agong.

Jika mahkamah sivil membenarkan perintah itu, ia akan menghalang bukan sahaja media daripada melaporkan kes itu tetapi juga menghalang mana-mana anggota badan kehakiman dan peguam yang berurusan secara langsung dalam tindakan sivil daripada berkongsi dengan orang ramai salinan dokumen sulit yang dikaitkan dengan kes itu.

Semakan kehakiman Najib menuntut pelaksanaan titah adendum yang mengarahkan dia menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.

[Baca laporan asal]

Wednesday, February 22, 2023

Menteri: K’jaan serah pada Jabatan Peguam Negara isu subkontraktor LCS

malaysiakini.com
Yasmin Ramlan, Alyaa Alhadjri & Isabelle Leong
Diterbitkan: Feb 22, 2023 8:37 PM
Kerajaan akan menyerahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menguruskan isu subkontraktor (pihak ketiga) yang melibatkan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS), kata Menteri Pertahanan Mohamad Hasan hari ini.

Ini kerana menurutnya, terdapat kaveat dari “pihak ketiga” - Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) - sebelum bersetuju menandatangani perjanjian penyelesaian antarabangsa supaya mereka tidak dipersalahkan.

Menurutnya, ia merupakan salah satu syarat untuk meneruskan projek LCS - seperti yang dimuktamadkan oleh kerajaan terdahulu.

“ContraVest (CAD) tidak akan memainkan peranan tapi ada satu kaveat sebelum mereka bersetuju untuk menandatangani international settlement agreement untuk mereka ditiadakan, mereka perlu satu surat untuk indemniti (perlindungan) bahawa mereka tidak dipersalahkan.

“Jadi itu merupakan satu isu yang kita (kerajaan) amat keberatan untuk menandatanganinya dan kita akan merujuk kepada pihak peguam negara agar perkara ini biarlah Jabatan Peguam Negara menguruskannya.

“Tapi kami di peringkat kementerian tak bersetuju indemniti ini dibuat. Bagi kami siapa yang tersabit, tersabitlah bukan peranan Kementerian Pertahanan untuk melepaskan tanggungjawab sesiapa,” kata Mohamad ketika ucapan penggulungan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad berkata satu lagi bayaran perjanjian penyelesaian antarabangsa telah dipersetujui oleh kerajaan terdahulu.

“Dan kita telah buat audit memang betul, this is all payment due to them (semua bayaran ini perlu dibayar kepada mereka),” katanya.

Dia berkata demikian ketika Radzi Jidin (PN-Putrajaya) meminta penjelasan Mohamad sama ada kerajaan boleh memberikan jaminan supaya CAD tidak lagi terlibat dalam rangka pembelian peralatan LCS, memandangkan Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) merupakan pemegang saham utama projek tersebut.

Mohamad berkata, syarat ditetapkan melalui kerajaan terdahulu untuk meneruskan perolehan LCS adalah dengan menggunakan pihak ketiga.

Katanya, dalam menggugurkan perkhidmatan pihak ketiga itu, mereka perlu menandatangani perjanjian penyelesaian antarabangsa terlebih dulu.

Skandal LCS terbongkar tahun lalu apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion.

Laporan PAC itu mendedahkan kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), namun tiada kapal diterima setakat ini.

Thursday, October 27, 2022

Mahkamah tolak permohonan Najib hadir parlimen

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Oct 27, 2022 11:02 AM
Penyandang parlimen Pekan, Najib Razak yang kini dipenjarakan gagal dalam permohonannya untuk dibenarkan hadir di parlimen (yang kini sudah dibubarkan).

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menolak permohonan bekas perdana menteri itu untuk memulakan semakan kehakiman.

Sebelum ini semasa mendengar perkara itu, pasukan peguam Jabatan Peguam Negara (AGC) secara lisan berhujah bahawa tindakan undang-undang itu bersifat akademik kerana Dewan Rakyat dibubarkan pada 10 Okt lepas.

Najib, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun berhubung rasuah membabitkan RM42 juta dana daripada SRC International milik kerajaan, memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 5 Okt.

Ketika membaca penghakimannya, hakim Ahmad Kamal Md Shahid berkata ia adalah kerana isu permohonan pelepasan Najib bukan lagi isu langsung.

Kamal berkata antara pelepasan yang diminta ialah pemohon dibenarkan menghadiri persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 3 Okt hingga 29 Nov.

“Dengan pembubaran parlimen, ia bermakna parlimen sekarang telah berakhir, bermakna ahli-ahli Dewan Rakyat tidak lagi menjadi ahli parlimen.

“Adalah jelas bahawa dengan pembubaran parlimen, penggal parlimen telah berakhir dan oleh itu pemohon bukan lagi ahli parlimen Pekan.

“Oleh itu, pada pandangan saya, pelepasan pengisytiharan yang diminta pemohon iaitu mendapat akses kepada pegawainya bagi tujuan kerja parlimen, perundangan dan konstituen serta akses kehadiran menghadiri sidang parlimen pada tarikh yang dijadualkan bukan lagi isu langsung.

“Pengisytiharan yang diminta menjadi mustahil dengan pembubaran parlimen kerana tiada lagi parlimen untuk dihadiri.

"Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengumumkan bahawa tarikh pengundian untuk pilihan raya umum adalah pada 19 Nov, 2022, ini bermakna akan ada satu lagi kabinet dibentuk daripada ahli parlimen yang baru dipilih," kata Kamal, sambil menambah bahawa tidak akan ada perintah mengenai kos.

Pada ketika ini, peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan mahkamah bahawa mereka akan merayu ke Mahkamah Rayuan.

Semasa prosiding perkara mahkamah sivil, Najib dilihat berada di galeri awam sambil dikelilingi oleh sekumpulan kecil pegawai Penjara Kajang. Rosmah juga kelihatan sedang duduk berdekatan.

Peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili AGC.

Menerusi tindakan undang-undang itu, Najib memohon perintah mahkamah untuk mendapat akses kepada pegawai parlimennya bagi menjalankan tugasnya sebagai ahli parlimen, dan kedua, untuk menghadiri parlimen.

Menerusi afidavit menyokong tindakan undang-undang itu, Najib mendakwa bahawa sejak 19 Sept dan seterusnya, dia telah "terjejas teruk" oleh keengganan responden untuk membenarkannya mengakses pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja parlimen, perundangan dan konstituen.

Najib juga mendakwa bahawa dia terjejas teruk oleh responden yang menolak permohonannya untuk mendapat akses dan hadir di parlimen pada tarikh persidangan yang dijadualkan.

[Baca berita penuh]

Friday, January 29, 2021

Darurat: Mahkamah Tinggi akan dengar kes saman bekas pemimpin Umno terhadap PM

FMT Reporters
-January 29, 2021 12:04 PM

Khairuddin Abu Hassan (kiri) berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 19 Feb untuk pengurusan kes saman difailkan bekas pemimpin Umno, Khairuddin Abu Hassan, terhadap Muhyiddin Yassin, yang mendakwa perdana menteri tidak mempunyai keabsahan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat.

Peguam Khairuddin, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata perkara itu akan didengar di hadapan hakim Mariana Yahya.

“Kami dimaklumkan mengenai tarikh pengurusan kes semalam ketika pihak pendaftar mahkamah mengirimkan salinan termeterai dokumen perundangan yang difailkan sebelum ini,” katanya.

Rafique berkata firmanya akan menyerahkan salinan dokumen-dokumen berkenaan kepada Muhyiddin dan Jabatan Peguam Negara hari ini.

Dalam saman pemulanya difailkan pada 18 Jan, Khairuddin mengemukakan persoalan undang-undang yang harus dijawab oleh mahkamah, sama ada Muhyiddin, yang menurutnya kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat, masih boleh menasihati Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk mengisytiharkan darurat.

Khairuddin, dalam afidavitnya, berkata Ahli Parlimen Machang dari Umno, Ahmad Jazlan Yaakub menarik balik sokongannya terhadap Muhyiddin pada 9 Jan.

“Akibatnya, Muhyiddin hanya mendapat sokongan 110 Ahli Parlimen daripada jumlah 220 Ahli Parlimen.

“Muhyiddin memerlukan sokongan minimum daripada 111 Ahli Parlimen untuk memiliki majoriti di Dewan Rakyat,” tambahnya, sambil menyatakan dua kerusi dikosongkan selepas kematian Ahli Parlimen Gerik Hasbullah Osman dan Ahli Parlimen Batu Sapi Liew Vui Keong.

Pada 12 Jan, Sultan Abdullah mengisytiharkan darurat hingga 1 Ogos untuk mengekang penyebaran Covid-19.

Istana Negara kemudian berkata, Agong bertemu Muhyiddin pada 11 Jan dan bersetuju supaya darurat hingga 1 Ogos atau tarikh yang lebih awal jika kes Covid-19 berkurangan dan stabil.

Khairuddin mengemukakan persoalan undang-undang yang harus ditentukan oleh mahkamah – sama ada nasihat mengenai pengisytiharan darurat oleh seorang perdana menteri yang tidak memiliki majoriti di Dewan Rakyat dianggap tidak berperlembagaan, dan sama ada penggantungan Dewan Rakyat dan Dewan Negara hingga 1 Ogos oleh perdana menteri batal dan tidak sah.

“Saya percaya bahawa tindakan perdana menteri menggantung Parlimen adalah usaha untuk mengatasi Artikel 43(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Artikel itu menyatakan, seorang perdana menteri yang tidak lagi mendapat keyakinan majoriti boleh meminta Agong untuk membubarkan Dewan Rakyat; jika gagal, dia harus mengundurkan diri dan Kabinetnya.

“‘Krisis perlembagaan’ ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita, di mana seorang perdana menteri yang kehilangan sokongan majoriti boleh memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat,” kata Khairuddin.

Tuesday, January 14, 2020

Kurang bukti kes salah laku seks - AGC tidak akan dakwa Anwar

BERITA

Jabatan Peguam Negara tidak akan mendakwa Anwar Ibrahim atas dakwaan serangan seksual terhadap Muhammed Yusoff Rawther kerana kekurangan bukti.

Dalam satu kenyataan hari ini, Peguam Cara Negara Engku Nor Faizah Engku Atek berkata terdapat percanggahan-percanggahan fakta yang material yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan mana-mana orang di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan, atau mana-mana seksyen lain di bawah Kanun yang sama.

“Kami juga mendapati tidak terdapat cukup keterangan untuk membuat pertuduhan mengenai laporan-laporan polis yang dibuat berdasarkan keterangan-keterangan yang ada dalam kertas siasatan.

“Dalam hal keadaan yang demikian, kami bersetuju dengan saranan PDRM supaya kes ini ditutup,” katanya sambil menambah penyiasatan boleh dibuka semula sekiranya dan apabila terdapat keterangan baru.

Muhammed Yusoff Rawther dalam akuan bersumpah mendakwa kejadian itu berlaku di kediaman Presiden PKR tersebut di Segambut pada 2 Oktober tahun lalu.
Dia kemudian membuat laporan polis pada 7 Disember bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan berkenaan. Dia juga sudah melakukan ujian poligraf di Bukit Aman pada 17 Disember tahun lalu.

Anwar walau bagaimanapun menafikan dakwaan salah laku seks yang dilemparkan terhadapnya dan berkata pada tarikh berkenaan beliau sedang sibuk berkempen sempena Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

Kenyataan Engku Nor Faizah tidak menyebut nama pengadu atau tertuduh, mahupun perbuatan yang dikatakan satu kesalahan itu.

Sementara itu, Engku Nor Faizah menjelaskan bahawa Peguam Negara Tommy Thomas tidak terlibat dalam kes itu kerana pernah dikaitkan dengan Anwar.

"(Peguam Negara) telah menarik diri daripada membuat apa-apa pertimbangan berhubung kes itu.

“Satu pasukan timbalan pendakwa raya di bawah pengawasan saya telah diamanahkan untuk mengkaji keterangan dan selanjutnya membuat keputusan mengenainya,” katanya.

[Baca berita penuh]

Friday, August 31, 2018

Sulaiman, Gopal ganti Tommy kendali kes Najib, 1MDB

MyMetro
Mutakhir

Wartawan NSTP
cnews@nstp.com,my
Kepakaran Gopal (kiri) dan Sulaiman melayakkan mereka dilantik menteuai pihak pendakwaan kes Najib dan 1MDB.

JABATAN Peguam Negara melantik Datuk Sulaiman Abdullah sebagai peguam mengetuai pihak pendakwaan dalam kes terhadap Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwaraya Kanan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Low Taek Jho atau Jho Low serta bapanya.

Peguam Negara, Tommy Thomas, dalam kenyataan hari ini berkata, Sulaiman yang dilantik mengikut budi bicaranya di bawah Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dan Gopal, mengikut Seksyen 376(3) KTJ, bersetuju memberikan khidmat mereka secara 'pro-bono' (percuma).

“Dengan pelantikan dua individu terkemuka dalam Majlis Peguam ini, komitmen kami untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab terhadap kleptokrasi terbesar dalam sejarah dunia, sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat Malaysia, sesungguhnya tidak boleh diragukan lagi.

“Sulaiman adalah seorang peguam terkemuka negara, berpengalaman luas dalam undang-undang jenayah, termasuk jenayah kolar putih dan kemahirannya tiada tolok bandingan, kebijaksanaannya tiada saingan selain berintegriti tinggi.

"Gopal Sri Ram pula adalah mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, yang kembali menyertai bidang amalan guaman dan berpengalaman luas dalam hal perundangan jenayah," katanya.

Tommy juga menjelaskan bahawa, selepas memegang jawatan selama hampir tiga bulan dan mengalami sendiri tuntutan tugas sebagai Peguam Negara, beliau menyedari tidak boleh menggabungkan semua komitmen yang berat itu dan pada masa sama, membuat persediaan untuk mengendalikan perbicaraan kes terhadap Najib selama lapan minggu, yang dijadualkan bermula pada 12 Februari 2019 dan berakhir pada 29 Mac 2019.

Katanya, perbicaraan yang penting dan rumit seperti itu memerlukan perhatian sepenuh masa daripada peguam utama, bukan hanya semasa tempoh perbicaraan tetapi juga sebelum perbicaraan, seterusnya diikuti dengan penyediaan hujahan bertulis yang terperinci selepas perbicaraan, sekali gus menyukarkannya menumpukan sepenuh perhatian ke atas pendakwaan itu.

Sementara itu, tambah beliau, Kertas Siasatan (IP) berhubung pelbagai penipuan berkaitan 1MDB masih belum dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis (kecuali satu IP berkaitan Jho Low, yang membawa kepada pendakwaan dan pengeluaran waran tangkap terhadapnya serta bapanya pada minggu lalu).

"Selepas IP diterima daripada agensi siasatan, jabatan ini perlu mengkajinya, menyediakan kertas dakwaan dan mendakwa mereka yang tertuduh menerusi perbicaraan. Keseluruhan proses ini akan dikendalikan Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwaraya Kanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 6:08 PM

Thursday, July 19, 2018

Menteri: Taib Mahmud bersih daripada semua salah laku pada 2013

Minderjeet Kaur | July 19, 2018
Liew Vui Keong berkata, SPRM menjalankan beberapa siasatan ke atas bekas ketua menteri Sarawak itu dan hasilnya diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

DEWAN RAKYAT

Jabatan Peguam Negara memutuskan semua kertas siasatan ke atas Taib Mahmud ditutup pada 2013. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara membersihkan nama Gabenor Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud daripada sebarang salah laku sejak 2013, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang meminta perdana menteri menyatakan jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memberi keutamaan untuk memulakan siasatan ke atas Taib atas dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“SPRM sudah menjalankan beberapa siasatan terhadap bekas ketua menteri Sarawak itu.

“Semua hasil siasatan sudah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.”

Beliau berkata, selepas meneliti semua bukti yang ada, Jabatan Peguam Negara memutuskan semua kertas siasatan membabitkan isu itu ditutup pada 2013.

Mei lalu, Francis Paul Siah, pemimpin sebuah NGO Sarawak dikenali sebagai Movement for Change Sarawak, menggesa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull membuka semula kertas siasatan terhadap Taib.

Siah berkata, beliau membuat laporan kepada SPRM terhadap Taib pada Mac 2011.

Pada 3 Julai lalu, Shukri dilaporkan berkata, SPRM tidak dapat mengambil sebarang tindakan terhadap Taib walaupun 15 fail siasatan dibuka sejak 2015 atau 2016.

Ini kerana katanya, Taib tidak mempengerusikan sebarang mesyuarat atau membuat keputusan terhadap projek tertentu.

“Kita sudah buka 15 fail siasatan sejak 2015 atau 2016 lagi, siasatan itu memang sebahagiannya betul seperti apa yang ditohmah. Masalahnya, dia (Taib) tidak buat keputusan, dia tidak mempengerusikan mesyuarat.

“Tidak ada satu kes yang mengaitkannya kerana orang lain yang buat keputusan. Kita dah serahkan kepada Jabatan Peguam Negara, tidak boleh kaitkan melainkan kita ada terima maklumat baru.

“Dia tidak buat keputusan terhadap tanah atau projek-projek tertentu. Undang-undang tidak benarkan kita ambil tindakan terhadapnya,” katanya awal bulan ini.

Taib dikaitkan dengan pelbagai dakwaan rasuah semasa beliau menjadi ketua menteri Sarawak dari 1981 hingga 2014, termasuk salah guna kuasa, rampasan tanah dan menerima sogokan.

Pada 1 Mac 2014, Taib mengangkat sumpah sebagai gabenor Sarawak ke-7 selepas meletak jawatan sebagai ketua menteri pada 28 Februari 2014 dan khidmatnya disambung 4 tahun lagi Februari lalu.

Friday, June 8, 2018

Australia akan hantar pulang Sirul sebulan lagi


Pihak berkuasa Australia telah meluluskan permintaan dari Putrajaya untuk mengekstradisi bekas anggota polis Sirul Azhar Umar kembali ke Malaysia, lapor Guardian.

Kerajaan Malaysia baru-baru ini menghubungi pihak berkuasa Australia memohon agar Sirul dibawa balik ke Malaysia, laporan tersebut memetik sumber di Putrajaya.

Rancangan itu diberi lampu hijau selepas Malaysia bersetuju untuk menampung kosnya, menurut sumber itu.

Pihak berkuasa Malaysia memberi jaminan kepada rakan sejawatannya di Australia bahawa Sirul akan menerima pengadilan yang saksama apabila kembali.

Malaysiakini sedang cuba mengesahkan berita ini dengan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

[Berita penuh menyusul]

Friday, January 27, 2017

'Ahli politik, kamu tunggulah' amaran Ketua SPRM

PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi memberi amaran ahli politik yang korup tidak akan terlepas daripada tindakan.

“Kita sudah ambil tindakan kepada Tan Sri, Datuk Seri dan Datuk dan dari pelbagai golongan masyarakat lain terlibat dalam rasuah.

“Pada hari yang ke-100, saya telah menyatakan di dalam warkah terbuka kepada rakyat Malaysia, salah satunya agenda ialah terhadap ahli politik yang korup.

“Tiada pada bila-bila masa saya berkata tidak akan mengambil tindakan terhadap ahli politik.

“Pada malam ini saya menyatakan, dan dengan tegas, kepada ahli politik yang korup, saya hanya mempunyai satu perkataan sahaja: tunggu,” kata Datuk Dzulkifli Ahmad dalam wawancara Astro Awani malam tadi.

Dzulkifli, bekas pegawai kanan Jabatan Peguam Negara, diumumkan sebagai ketua pesuruhjaya SPRM menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed pada 1 Ogos tahun lalu.

Menurutnya, amaran beliau ditujukan kepada semua ahli politik di semua peringkat.

“Kita tidak akan melepaskan sebarang siapa yang terlibat tidak kira pangkat atau kedudukan,” tegasnya.

Dzulkifli berkata tindakan terhadap ahli politik tidak mengira jawatan dan meliputi setiap peringkat.

Sementara itu, media lain melaporkan SPRM tidak khuatir berdepan individu rasuah yang kononnya “dilindungi”.

Sunday, November 27, 2016

Hukuman kasari penguatkuasa MBSA terlalu ringan

Mohamed Apandi Ali
KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara telah memfailkan rayuan terhadap hukuman mahkamah yang dijatuhkan ke atas suami isteri yang mengasari anggota penguatkuasa wanita Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata ini kerana ia berpandangan hukuman ke atas Lor Ka Hoo dan Tan Sit Fun iaitu penjara 14 hari dan denda RM3,000, dan jika gagal membayar denda dipenjara tujuh hari, adalah terlampau ringan berbanding kesalahan yang dilakukan.

Rayuan terhadap hukuman itu difailkan pada hari sama hukuman dijatuhkan iaitu Jumaat lalu, katanya dalam kenyataan hari ini.

"Walaupun kedua-dua tertuduh telah mengaku bersalah, namun hukuman yang setimpal hendaklah dikenakan demi memberi pengajaran kepada mereka di samping menjadi teladan kepada yang lain agar tidak melakukan perbuatan sama," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: MBSA nafi terima arahan tarik balik laporan polis]

Mohamed Apandi menegaskan Jabatan Peguam Negara amat memandang serius perbuatan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipan yang sah di sisi undang-undang.

Perbuatan sedemikian, katanya, merupakan kesalahan jenayah yang diperuntukkan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Lor, 35, dan Tan, 30, mengaku salah menggunakan kekerasan jenayah terhadap Nurul Ain Isa, 23, ketika pegawai itu mengeluarkan saman ke atas sebuah kenderaan di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, Khamis lalu.

Bagaimanapun, tindakan itu mengundang kemarahan tertuduh dan pergaduhan antara kedua-dua pihak menjadi viral selepas video berdurasi dua minit 10 saat tersebar di laman sosial.

 - Bernama

Sunday, November 6, 2016

Kementerian rujuk pencemaran Sg Semenyih ke Peguam Negara

Bernama : 

Penasihat undang-undang Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan kemukakan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya
KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung kes pencemaran ammonia di Sungai Semenyih akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya, penasihat undang-undang kementerian akan mengemukakan kertas siasatan tersebut kepada jabatan itu untuk tindakan seterusnya.

Sebelum ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) melengkapkan kertas siasatan tersebut bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap kilang yang mencemarkan Sungai Semenyih.

Pencemaran Sungai Semenyih menyebabkan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih sehingga menjejaskan bekalan air kepada lebih sejuta penduduk di daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling dan Sepang.

Mengenai dakwaan pencemaran Sungai Buah di Nilai, Negeri Sembilan, sehingga menyebabkan operasi LRA Semenyih tergendala, Wan Junaidi berkata siasatan bersepadu sedang dijalankan.

Beliau berkata kerja-kerja pembaikan benteng yang pecah sedang dilakukan bagi menghalang aliran Sungai Buah yang disyaki tercemar ke Sungai Semenyih.

“Sebanyak 3 lagi benteng akan dibina dan air akan dilepaskan melalui bukaan kecil di benteng pertama dan akan mengalir secara limpahan melalui benteng seterusnya,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Beliau juga berkata pemantauan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca pencemaran bau air mentah dari Sungai Sematan di Bentong, Pahang.

Katanya siasatan juga dijalankan terhadap premis-premis berdekatan sungai tersebut yang disyaki melakukan pelepasan kilang ke sungai itu sehingga menyebabkan penutupan LRA Langat dan Cheras.

“Bagi jangka masa panjang pula, pihak pengusaha loji perlu menyediakan alternatif sumber air mentah seperti menyediakan kawasan penyimpanan secukupnya yang boleh digunakan apabila berlaku kecemasan selaras dengan Dasar Sumber Air Negara,” katanya.

Wednesday, October 19, 2016

Kerajaan enggan dedah butiran siasatan 1MDB di parlimen

Kerajaan enggan mendedahkan perkembangan lanjut siasatan polis terhadap 1MDB buat masa ini.

"Bagi memastikan proses siasatan yang sedang dijalankan tidak terganggu, pihak kementerian tidak akan mendedahkan butiran siasatan sehingga siasatan diselesaikan dan keputusan muktamad mengenai siasatan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara," kata Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Dalam jawapan bertulis di parlimen, KDN cuma menjelaskan bahawa polis masih menyiasat 1MDB bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Menurut kementerian, sejumlah saksi telah dirakamkan percakapnnya dan masih terdapat pihak lain akan dipanggil bagi tujuan itu.

"Kertas siasatan juga telah dikemukakan ke Jabatan Peguam Negara dan polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut ekoran daripada arahan Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Jawapan itu dikemukakan sebagai menjawab soalan Sim Tze Tzin (Bayan Baru) yang mahu menteri dalam negeri menyatakan sama ada anak tiri perdana menteri Riza Aziz atau hartawan Jho Low berada dalam negara ini.

Sim juga mahu tahu bila mereka kembali ke Malaysia dan adakan mereka telah dipanggil polis untuk siasatan.

Riza dan Jhow Low adalah dua warganegara Malaysia yang disebut langsung dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) untuk menyita aset berkaitan 1MDB.

Sim kemudian mempertikaikan jawapan itu yang didakwanya tidak telus, berbanding jawatan parlimen Mei lalu.

Dalam jawapan lima bulan lalu, dinyatakan polis belum mengadakan pertemuan dengan Jho Low.

Bagaimanapun Sim ketika itu tidak bertanya berkaitan Riza.

“Kenapa sebelum ini menteri telus dan sekarang jadi rahsia?

“Adakah sebab soalan sidang kali ini ada nama anak (isteri perdana menteri) Rosmah (Mansor)?” soalnya.

Beliau juga menegaskan Jho Low sebagai saksi penting susulan perkembangan di AS.

Saturday, April 16, 2016

Ucapan Tun Mahathir boleh mengancam keselamatan negara - KPN

Polis Buka Empat Kertas Siasatan Terhadap Dr Mahathir – Ketua Polis Negara

Polis telah membuka empat kertas siasatan terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan sudah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Dalam kes-kes tertentu, ucapan Dr Mahathir boleh dianggap melampaui batas kerana mengancam keselamatan dan menuduh seolah-olah tiada lagi demokrasi berparlimen di Malaysia.

“Tun Mahathir adalah negarawan yang dihormati. Kita minta dia menghormati perlembagaan Persekutuan dan jangan cuba menimbulkan persoalan-persoalan yang boleh ditakrif mengancam demokrasi berparlimen di Malaysia,” katanya.

Khalid berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada perbincangan meja bulat dan bengkel permasalahan sempadan di Mess Pegawai Kanan Polis Perlis di sini, hari ini yang dihadiri pegawai kanan polis dari seluruh negara.

Program sehari itu dianjurkan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), dirasmikan oleh Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Sebelum ini, beberapa laporan polis dibuat pihak tertentu terhadap Dr Mahathir yang sering mengkritik kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk berhubung isu sumbangan RM2.6 bilion dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).



BERNAMA

Sunday, March 13, 2016

Peguam Negara tentukan tindakan terhadap 2 wartawan Australia, kata KPN

Jabatan Peguam Negara akan menentukan tindakan sewajarnya terhadap 2 warga Australia yang ditahan kerana merempuh kawalan keselamatan Datuk Seri Najib Razak, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Mac, 2016.

Jabatan Peguam Negara akan menentukan tindakan sewajarnya terhadap 2 warga Australia yang ditahan kerana merempuh kawalan keselamatan Datuk Seri Najib Razak, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Menurut Bernama, ketua polis negara berkata demikian mengulas penahanan 2 wartawan Australia di Kuching, Sarawak selepas program melibatkan perdana menteri malam tadi.

Bagaimanapun 2 wartawan agensi media Australia ABC Four Corners yang ditahan pihak polis di Kuching semalam menafikan sebarang salah laku, kata peguam mereka Albert Tang.

"Mereka hanya menjalankan tugas mereka dan bertanya kepada perdana menteri (Datuk Seri Najib Razak) soalan. Mereka berhenti berbuat demikian apabila diarahkan.

"Mereka menafikan sebarang tuduhan menghalang sesiapa dan tidak ada garis keselamatan," kata Tang kepada The Malaysian Insider. – 13 Mac, 2016.

MENYUSUL LAGI


- See more at: http://www.themalaysianoutsider.com/bahasa/article/peguam-negara-tentukan-tindakan-terhadap-2-wartawan-australia-kata-kpn#sthash.yWCXwrze.dpuf

Monday, January 18, 2016

SPRM nafi terdapat 37 dakwaan ke atas Najib

Hari ini, 7:38 malam Hari ini, 8:59 malam
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan terdapat 37 syor dakwaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung dengan siasatan ke atas SRC International.

“SPRM ingin menjelaskan bahawa laporan portal berita Sarawak Report hari ini, yang mengatakan kononnya terdapat 37 syor dakwaan berasingan telah dikemukakan oleh SPRM terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melibatkan kes SRC International, adalah tidak benar,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM juga mengesahkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah mengembalikan berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion yang didakwa disalurkan ke akaun Najib.

“SPRM mengambil maklum arahan daripada Jabatan Peguam Negara yang memerlukan penjelasan lanjut mengenai beberapa cadangan dan tindakan yang dikemukakan oleh SPRM sebelum ini.

“Respons SPRM kepada permintaan Jabatan Peguam Negara akan dikemukakan dalam waktu terdekat,” katanya.

Hari ini Sarawak Report melaporkan SPRM melengkapkan siasatannya berhubung isu berkenaan dokumen berkaitan - didakwa mengandungi tidak kurang daripada 37 tuduhan berasingan terhadap perdana menteri - diserahkan kepada Apandi.

Kebetulan, Apandi dalam kenyataannya hari ini berkata kertas siasatan mengenai kes itu dihantar semula kepada SPRM untuk penjelasan lanjut.

Siasatan itu menjadi perhatian pada Julai tahun lalu apabila The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan dana berjumlah RM2.6 bilion dimasukkan ke akaun persendirian Najib.

Najib kemudian menafikan sebarang salah laku, malah menjelaskan wang berkenaan adalah "derma" daripada pihak tertentu di Timur Tengah.

Namun, menurut WSJ, sebahagian daripada wang itu - bernilai RM42 juta - datang dari syarikat SRC International.

[Baca berita penuh]

Wednesday, September 16, 2015

Guna pembunuh upahan untuk bunuh Kelvin

FMT Reporters

Hasil siasatan polis menemui wang tunai berjumlah RM32,000 yang dipercayai dibayar untuk membunuh mangsa.
SUBANG JAYA: Siasatan polis menemui wang tunai berjumlah RM32,000 daripada suspek yang membunuh Timbalan Ketua Bahagian Pengarah Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais.

Ia ditemui berasingan daripada lima suspek berusia 22 hingga 52 tahun yang ditahan di dua lokasi berasingan iaitu di Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, sebanyak RM17,000 dirampas daripada seorang suspek di Lembah Klang bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang digunakan untuk melanggar kereta Kevin semasa hari mendiang dilaporkan hilang.

Katanya, RM15,000 lagi ditemui daripada seorang suspek di Pulau Pinang bersama sebuah kereta Proton Persona.

“Turut kita temui resit pembelian barang hardware untuk membeli batu dan simen yang dibeli di kawasan berdekatan dan dipercayai digunakan untuk mengkongkrit mangsa sebelum dicampak di dalam longkang di sini,” katanya kepada pemberita.

Mohmad turut mengesahkan salah seorang daripada suspek yang berusia 52 tahun mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 59 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu gagal memberikan keterangan di atas barang yang dimiliki.

Katanya, polis juga akan menyemak latar belakang empat lagi suspek yang terlibat sama ada mereka turut mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Terdahulu, polis menahan kelima-lima suspek terbabit bersama seorang wanita yang merupakan isteri kepada salah seorang suspek bersama seorang kanak-kanak.

Bagaimanapun, polis percaya wanita dan kanak-kanak terbabit yang enggan didedahkan lebih lanjut identitinya tidak terlibat dalam pembunuhan Kevin.

Mayat Kevin ditemui di dalam longkang di tepi jalan di Jalan Subang 3, USJ 1, Subang Jaya selepas suspek menunjukkan tempat mereka membuang mayat berkenaan.

Sunday, January 25, 2015

Lihat kes Sirul bagi menilai kembali hukuman mati di Malaysia

oleh Alyaa Alhadjri

PETALING JAYA: Adakah tindakan Australia menolak permintaan ekstradisi oleh Malaysia bagi Korporal Sirul Azhar Umar melainkan beliau tidak dikenakan hukuman gantung mampu menyebabkan hukuman mati yang dikenakan di negara ini dinilai kembali?

Ramai yang berhujah tentangnya tetapi seakan tidak banyak dilakukan sejak cadangan rasmi diusulkan buat kali pertama di persidangan parlimen pada 2011 dahulu.

Ahli parlimen Kluang Liew Chin Tong memberitahu SemutHarian pada 21 Jan bahawa beliau telah mengadakan persidangan tersebut pada Jun 2011, bersama-sama ahli parlimen Gobind Singh Deo, dan disokong Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Azizi yang ketika itu menteri penasihat undang-undang.

“Nazri juga membuat kenyataan terbuka menyokong hukuman mati dikaji semula tetapi seakan tiada yang berlaku di pihak Jabatan Peguam Negara,” kata Liew, sama seperti yang dibangkitkan oleh aktivis anti hukuman mati Charles Hector Fernandez.

Semut Harian pada Rabu memetik Fernandez, yang juga koordinator kumpulan hak asasi Malaysia menentang Hukuman Mati dan Siksaan, yang mendesak kerajaan mengambil langkah awal bagi memansuhkan hukuman mandatori yang membawa kepada hukuman mati.

Malah sebelum persidangan yang dimaksudkan, Nazri dipetik pada 29 Ogos 2010 dilaporkan berkata “Jika tindakan mengambil nyawa itu salah, maka kerajaan tidak boleh melakukannya. Ia ironik dan tidak betul.”

“Ia telah dibincang secara tidak formal tetapi kita tidak memiliki iltizam politik melakukannya,” ujar ahli parlimen Padang Rengas itu.

Sejak itu, Liew dan Gobind telah beberapa kali membangkitkan perkara itu di parlimen serta maklumbalas yang diperolehi daripada pengganti Nazri, Nancy Shukri, hanya mengesahkan pendapat Fernandez bahawa jabatan peguam negara tidak melakukan apa-apa.

Liew berkara Nancy yang hadir di persidangan yang sama “menyokong secara peribadi” cadangan tetapi mengakui tidak memiliki kuasa menyegerakannya.

Dalam jawapan di parlimen bagi pertanyaan Gobind pada 19 Mac tahun lalu, Nancy berkata kerajaan tidak ada rancangan segera untuk memansuhkan hukuman mati bagi jenayah berat.

The Malaysian Insider melaporkan pada 23 Jan bahawa seorang lagi yang dituduh membunuh wanita Mongolia Altantuya Shariibuu Cif Inspektor Azilah Hadri telah memfail petisyen bagi mendapatkan pengampunan.

Peguamnya Datuk Hazman Ahmad memberitahu, Azilah yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh akan meneruskan permohonannya bagi mendapatkan pengampunan.

Ketika dihubungi Semut Harian, pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Majlis Peguam, Andrew Khoo berkata Sirul juga boleh membuat permohonan yang sama, dari luar negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan pada 22 Jan Malaysia memohon Sirul diekstradisi selepas dia ditanah pihak berkuasa di Brisbane.

Dalam perkembangan lain akhbar The New Straits Times melaporkan pada 23 Jan bahawa kerajaan Australia melepaskan Sirul daripada ditahan tetapi memegang paspotnya dan mengawasi gerak-gerinya.

“Antara syarat yang dikenakan ialah dia perlu melaporkan diri apabila diminta pihak berkuasa Australia,” NST memetik kenyatan seorang pegawai Wisma Putra.

Menurut rekod parlimen, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan pada November tahun lalu, terdapat 975 pesalah yang akan menjalani hukuman mati walaupun ada yang membuat permohonan bagi pengampunan.

Kemelut berkaitan kes Sirul mungkin menjadi pencetus keadilan diperbaiki dengan menilai kembali hukuman mati di dalam undang-undang Malaysia.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Lihat-kes-Sirul-bagi-menilai-kembali-hukuman-mati-di-Malaysia/#sthash.5vhcWKjC.dpuf

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-