IPOH, 4 JAN: Cukai Barangan dan Perkhidmatan(GST) yang akan dilaksanakan pada April depan mesti ditangguhkan sehingga lima negeri yang dilanda banjir buruk dan tanah runtuh pulih sepenuhnya.
Ahli Parlimen Batu Kawan Kasturi Patto menggesa kerajaan untuk pertimbang kembali pelaksanaan GST yang disifatkan sebagai ‘sumpahan’ kepada mangsa bencana alam sepanjang 2014.
“Pelaksanaan cukai GST dilakukan berikutan pandangan kerajaan yang kononnya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat, dan hutang isi rumah sudah semakin berkurang, manakala BR1M pula ditunggu-tunggu,” ujar ahli parlimen itu.
Berikutan bencana banjir yang melanda pada penghujung bulan lalu, lebih 250,000 mangsa dicatatkan di negeri-negeri Pantai Timur, Johor, Pahang dan Perak serta tanah runtuh di Tanah Tinggi Cameron. Kerja-kerja baik pulih di negeri-negeri itu memerlukan jutaan ringgit bagi membaiki infrastruktur dan kerosakan harta benda.
Kasturi juga menambah, situasi Jepun juga serupa seperti Malaysia apabila negara itu dilanda tsunami pada Mac 2011, dan sehingga kini masih dalam fasa pemulihan.
“Namun, Kerajaan Jepun dilihat sangat progresif sehingga membelanjakan 250 bilion dolar Amerika untuk pembinaan semula negara matahari terbit itu. Pelan pemulihan Jepun memakan waktu sehingga lima tahun.
“Bagaimana keluarga yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh dan banjir akan dapat membina semula kehidupan mereka selepas episod bencana apabila segala barangan yang mereka akan sentuh telah disumpah 6 peratus GST?” Soal Kasturi.
“Perdana Menteri harus menahan dirinya dari mendengar nasihat-nasihat akal pendek sekaligus menangguhkan pelaksanaan GST.
“Najib mesti memandu negara ke arah laluan yang betul, demi memastikan kebajikan rakyat terjamin, tiba masanya Perdana Menteri memastikan rakyat betul-betul terlindung,” ujarnya. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.