Mahfuz Omar
ALOR SETAR - Kerajaan disaran menurunkan harga barang yang disenaraikan bawah harga barangan kawalan berikutan kejatuhan harga petrol dan diesel di pasaran dunia.
Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan itu perlu untuk bantu golongan berpendapatan rendah yang berdepan kos sara hidup tinggi, terutama selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), antara penyumbang kepada kenaikan harga barang dan kemungkinan berlaku inflasi.
“Kerajaan sepatutnya menjadi contoh terbaik dengan menurunkan harga barang kawalan seperti gula, tepung gandum dan minyak masak.
Memandangkan pelaksanaan GST semakin hampir, kerajaan perlu membuat persediaan dan langkah proaktif membantu rakyat,” katanya.
Mahfuz yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, ini kerana kerajaan sendiri sudah mengakui pelaksanaan GST kelak akan menjadi faktor penyumbang kepada kenaikan harga barang dan berlakunya inflasi.
“Pas sambut baik penurunan harga petrol dan diesel berkuatkuasa 1 Januari lalu. Tindakan ini amat wajar malah patut dibuat lebih awal lagi agar rakyat mendapat hak sewajarnya seiring dengan kejatuhan harga minyak dunia,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.