PUTRAJAYA, 20 Januari:
Pasukan peguam bela bekas Koperal Sirul Azhar Umar akan mengemukakan cabaran di mahkamah Malaysia, jika pihak berkuasa meminta dia diekstradisi ke negara ini.
Peguamnya, Kamarul Hisham Kamarudin berkata, mengekstradisi Sirul Azhar untuk menjalani hukuman mati, bertentangan perjanjian ekstradisi antara Malaysia dan Australia.
“Saya pasti akan mencabar perkara itu di Malaysia,” katanya kepada pemberita di perkarangan mahkamah, pada Isnin.
Beliau bagaimanapun berkata, buat masa ini, semua itu hanyalah andaian dan ia bergantung kepada langkah kerajaan seterusnya dan arahan Sirul Azhar.
Kamarul Hisham mengesahkan, beliau masih mewakili Sirul Azhar, walaupun beliau telah lama tidak menghubunginya dan tidak pasti di mana dia berada.
Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Sirul Azhar dan seorang lagi bekas anggota Unit Tindakan Khas Polis, Cif Inspektor Azilah Hadri, kerana membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Mahkamah itu membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos lalu, yang membebaskan Azilah dan Sirul Azhar, atas tuduhan membunuh.
Kedua-dua tertuduh disabitkan kesalahan dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009, kerana membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi hari berikutnya, pada 2006.
Bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, 51, yang dituduh bersubahat bersama Azilah dan Sirul Azhar, dibebaskan Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau.
Pihak pendakwaan tidak merayu terhadap keputusan mahkamah itu.
Sirul Azhar gagal hadir di Mahkamah Persekutuan, apabila keputusan dibuat.
Susulan itu, mahkamah tersebut mengeluarkan waran tangkap ke atas Sirul Azhar.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/20/permintaan-untuk-ekstradisi-sirul-azhar-akan-dicabar/#ixzz3PJgStNoT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.