KUALA LUMPUR, 16 Februari:
Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menafikan anak-anak gadis Orang Asli di Cameron Highlands dijadikan pekerja seks untuk memujuk pekerja asing supaya tidak meninggalkan tempat itu.
Ketua Pengarah JAKOA, Datuk Hasnan Hassan berkata kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan Orang Asli dan mengatakan bahawa ia adalah dakwaan palsu bermotifkan politik oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
Hasnan berkata 6,075.39 hektar tanah telah digazetkan sebagai tanah Orang Asli, sementara 167.38 hektar lagi digunakan untuk kepentingan mereka.
Tambahan 8,958.17 hektar tanah lagi telah mendapat kebenaran kerajaan tempatan sebagai tanah Orang Asli tetapi ia belum digazetkan. Ini termasuk tanah seluas 2,753.04 hektar di Cameron Highlands.
Ini bukti bahawa kerajaan tidak mengabaikan mereka, katanya.
“Polis turut menyatakan tiada laporan dibuat mengenai anak gadis Orang Asli dijadikan pelacur untuk pekerja asing.
“Kami meminta mana-mana wanita Orang Asli yang dipaksa menjadi pelacur supaya membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan kepada The Rakyat Post.
Tambahnya, jabatannya memandang serius eksploitasi majikan terhadap Orang Asli.
Katanya, jabatan belum menerima apa-apa aduan daripada Orang Asli mengatakan mereka dieksploitasi atau dizalimi.
JAKOA akan membantu mereka mendapatkan bantuan undang-undang dari Jabatan Buruh sekiranya mereka dizalimi oleh majikan mereka.
Pada 9 Februari, Ketua Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM) B Suresh Kumar dilaporkan sebagai berkata masalah itu telah berlarutan selama beberapa tahun dan parti itu beberapa kali cuba memujuk komuniti Orang Asli untuk membuat laporan polis.
Suresh memberi kenyataan berkenaan beberapa laporan di media bahawa anak gadis Orang Asli di Cameron Highlands dijadikan pelacur untuk pekerja asing, dan terdapat beberapa kes anak gadis mengandung dan terpaksa menggugurkan kandungan mereka.
Namun, ibu bapa Orang Asli dan anak gadis mereka berdiam diri kerana keluarga memerlukan pendapatan daripada aktiviti pelacuran itu, dakwa Suresh dan menambah mereka juga berdiam diri kerana malu dan takut.
Suresh berkata Orang Asli terdedah kepada eksploitasi kerana banyak kawasan hutan dimusnahkan atau hilang disebabkan projek pertanian, kemajuan dan pembalakan, di mana kawasan untuk mereka bercucuk tanam, semakin lama semakin hilang.
Suresh menambah Orang Asli sering menjadi mangsa di mana mereka dibayar gaji yang sangat rendah sehingga ada menerima RM20 sehari walaupun bekerja sebagai penyambut tetamu di hotel, tukang cuci atau pelayan.
Mereka juga dikerah bekerja tujuh hari seminggu di mana sekiranya mereka tidak mampu, akan dilabel pula sebagai ‘tidak boleh diharap’ atau ‘pemalas’.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/17/jakoa-tidak-abai-kebajikan-orang-asli-cameron-highlands/#ixzz3RxgnSpIG
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.