KOMEN: Walaupun niat dan tujuannya mungkin baik, strategi PKR mendedahkan perbincangan pemimpinnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak ke arah berbaik semula beberapa bulan selepas PRU13 yang lalu dilihat kurang bijak. Ia menimbulkan pandangan serong para pemerhati politik tanahair.
Rakan-rakan Pakatan Rakyat lain dilihat diketepikan pada masa mereka sedang mencari titik pertemuan di antara mereka.
Pemerhati politik berkata, selepas ketua umum PKR dikenakan hukuman penjara, Anwar dilihat selaku pejuang. Malah beberapa pihak di luar gabungan Pakatan Rakyat seperti pemimpin Hindraf turut memberi sokongan buatnya.
Namun pendedahan terbaru itu mampu menyebabkan sokongan terhadap Anwar berkurangan, samada sokongan politik ataupun moral.
Tambahan lagi, sebelum ini pernah kedengaran desas-desus Kerajaan Perpaduan dibincang oleh para pemimpin Umno dan PAS.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang juga anak sulung Anwar, mendedahkan perkara mengejutkan tersebut ketika perhimpunan “Bebaskan Rakyat” di Seberang Jaya pada malam 15 Feb lalu.
“Lupakan PAS, lupakan DAP, terima jawatan Timbalan Perdana Menteri dan mari bentuk kerajaan…kita akan gembira. Najib memberitahu Anwar,” kata Nurul kepada para hadirin di perhimounan tersebut.
Ianya tampak satu kesilapan kerana pendedahan rundingan dilakukan pihak Anwar dan PKR sedangkan sebelum ini mereka dilihat bertegas mahu menjatuhkan Najib.
Namun, di dalam laporan The Malaysian Insider, Nurul berkata bapanya bersetuju berunding dengan syarat kerajaan persekutuan benar-benar mahu membasmi korupsi, serta menyelesaikan masalah ekonomi. Perbincangan lalu tergendala.
Anwar mungkin berniat baik memohon amalan korupsi dibasmi dan ekonomi diperbetulkan, tetapi rundingan tersebut jelas membelakangi semangat anti-Barisan yang dilaungkan Pakatan.
Dalam konteks lebih luas, pengumuman mengejut Anwar bagi membantu siasatan terhadap mantan menteri kewangan Tun Daim Zainuddin sambil membantu Najib mengekang asakan juga dilihat menimbulkan perasaan syak.
Anwar mungkin dilihat cuba memulakan rundingan dengan Najib sekali lagi pada masa itu. Adakah beliau membelakangi rakan-rakan Pakatan sekali lagi? Spekulasi tentu berlaku apabila Nurul membuat pendedahan terbaru ini.
Nurul adalah anak sulung pemimpin pembangkang tersebut, tetapi beliau juga naib presiden PKR. Apa yang diucapkannya tentu memberi maksud mendalam.
PKR dilihat wadah perjuangan Anwar bagi menggapai cita-cita politik beliau, dan ia merupakan versi demokrasi yang diilhamkan bapa Nurul itu. Maka tidak wajar Nurul Izzah membuat pendedahan tersebut kerana ia mampu mencalar imej Anwar sendiri.
Saya sependapat dengan Menteri Pembangunan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Rahman Dahlan agar Nurul bertenang dan tidak terlalu berdrama. Itulah yang disarankan Rahman di dalam tweet beliau selepas ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah, membuat pendedahannya.
Alasan saya berbeza dengan Rahman. Saya tidak memperkecilkan Anwar dan bersetuju Najib mungkin mahu mencari solusi dengan Anwar bagi masalah dalaman Umno, tetapi itu bukan alasan yang kukuh sebenarnya.
Saya juga amat mengagumi mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana ketegasan beliau, tetapi sudah tentu saya menyedari terdapat berbagai kecaman yang dihalakan terhadapnya.
Anwar satu ketika dahulu seorang pemimpin gerakan Islam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim). Beliau merupakan salah seorang pemimpin gerakan Islam yang disegani di Malaysia.
Tetapi beliau juga ahli politik yang licik, yang pandai menggunakan peluang bagi menjayakan impian politiknya. Anwar bijak menggunakan apa jua sentimen bagi membawa kepada sokongan terhadapnya.
Lihat bagaimana Anwar berubah daripada aktivis anti-kerajaan kepada anak didik Mahathir. Mungkin beliau memberi syarat kepada Mahathir pada ketika itu, siapa tahu?
Mahathir tentu terdesak berikutan kebangkitan Islam di era awal 1980an. Maka dalam usaha beliau mengukuhkan Umno, Anwar disunting bagi menjayakan rancangannya.
Pendedahan Nurul merupakan satu lagi “langkah” yang mungkin menyebabkan Pakatan kucar-kacir selepas Langkah Kajang yang dimulakan PKR bagi menukar MB Selangor pada tahun lalu.
Ianya dilihat tersasar dek kerana kurangnya pengalaman Nurul di dalam melaksanakan strategi. Apa peranan perancang strategi PKR sebenarnya?
Ahli parlimen Pandan yang juga setiausaha agung PKR Rafizi Ramli perlu menyusun langkah PKR dengan teratur. Rafizi oh Rafizi! Di mana dikau ketika ini?
- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Langkah-kurang-bijak-PKR-dedahkan-rundingan-berbaik-semula-Anwar-Najib#sthash.D2pMEuPJ.dpuf
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.