Showing posts with label Cameron Highlands. Show all posts
Showing posts with label Cameron Highlands. Show all posts

Monday, December 23, 2019

Tujuh ditahan bantah operasi penguatkuasaan di Cameron Highlands

Ng Xiang Yi
Diterbitkan Hari ini 9:21 malam 


BERITA

Seramai tujuh orang, termasuk bekas anggota parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan ditahan polis susulan protes terhadap operasi penguatkuasaan di Cameron Highlands.

Operasi yang dinamakan Operasi Lestari ini melibatkan tindakan penguatkuasaan ke atas penerokaan secara haram di kawasan tadahan air Sungai Inchat di Kuala Terla yang bermula sejak minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Ashari Abu Samah mengesahkan penahanan itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Turut ditahan Setiausaha Pemuda MIC Kebangsaan, G Theeageesh bersama lima lagi pekebun.

Kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 7 petang.

Nathan ketika dihubungi berkata, ahli-ahli MIC itu tiba ke Kuala Terla sekitar jam 10 pagi ini bagi menyatakan sokongan kepada pekebun di situ dan menghalang pihak berkuasa merobohkan kebun sayur mereka.
Disebabkan tindakan protes sambil duduk di tepi jalan besar yang mengakibatkan kesesakan jalan raya, polis menyuraikan mereka dan menangkap tujuh individu, katanya.

Sementara itu, Adun Tanah Rata dari DAP, Chiong Yoke Kong berkata, Ops Lestari hari ini adalah tindakan penguatkuasaan kedua selepas operasi pertama di Bertam Valley pada 18 Dis lalu.

Beliau menyatakan rasa kesal terhadap tindakan keras diambil kerajaan negeri Pahang terhadap pekebun-pekebun berkenaan tanpa menawarkan tanah alternatif kepada mereka.

"Insiden tersebut telah membangkitkan kemarahan dan ketidaktenteraman bukan sahaja pekebun-pekebun di Sungai Ichat tetapi semua pekebun di kawasan Cameron Highlands kerana tiada orang tahu sesiapa yang akan dimangsakan seterusnya.

"Sesungguhnya kerajaan negeri mempunyai alasan yang kukuh untuk mengusir pekebun-pekebun di atas kawasan tadahan air itu, namun pihak kerajaan negeri perlu lebih berperikemanusian dan memberikan jalan keluar iaitu penempatan semula kepada pekebun-pekebun itu,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Sallehuddin Ishak berkata, tindakan penguatkuasaan itu dibuat berdasarkan kepentingan umum bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kepentingan rakyat dipelihara.

Menurut kenyataan beliau awal hari ini, sebanyak 11 penerokaan terlibat bagi peringkat pertama dan 37 penerokaan haram bagi peringkat kedua.

Katanya, keseluruhan kawasan terlibat adalah 121 hektar (300 ekar) di mana 24 hektar (60 ekar) bagi peringkat pertama dan 97 hektar (240 ekar) bagi peringkat kedua.

Tambahnya, tindakan diambil di bawah peruntukan Seksyen 425(1) Kanun Tanah Negara 1965 kerana menduduki tanah kerajaan tanpa izin sejak tahun 2009.

Saturday, January 19, 2019

Orang Asli, peguam negara bincang saman Kelantan sejak tahun lepas

FMT Reporters
-January 19, 2019 6:18 PM


PETALING JAYA:  Gerakan Orang Asli Kelantan hari ini menepis dakwaan mengaitkan tindakan Putrajaya menyaman kerajaan Kelantan demi Orang Asli mempunyai kaitan dengan pilihan raya kecil Cameron Highlands, menyifatkan ia tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) mendedahkan perbincangan mereka dengan wakil Peguam Negara Tommy Thomas dan Majlis Peguam Malaysia mengenai tindakan undang-undang itu bermula sejak Oktober tahun lepas lagi.

“Tindakan ini dirancang sebelum PRK Cameron Highlands dan tidak wajar sekiranya perkara ini dipolitikkan bagi kepentingan sesetengah pihak kerana ianya melibatkan kepentingan masyarakat Orang Asli,” kata Pengerusi Mustafa Along.

JKOAK berterima kasih atas tindakan undang-undang yang diumumkan Peguam Negara Tommy Thomas semalam, kerana ia sebenarnya boleh dilakukan oleh kerajaan dulu memandangkan penjagaan kepentingan dan kebajikan Orang Asli bawah tanggungjawab Putrajaya.

“Umum mengetahui isu tanah adat melibatkan Orang Asli Temiar dan kerajaan Kelantan berlarutan sejak 2011,” katanya.

Mustafa berkata gerakan itu akan terus mengambil tindakan yang dirasa perlu bagi menghalang pencerobohan tanah adat Orang Asli, termasuk mendirikan halangan sekiranya kegiatan pembalakan, perlombongan dan perladangan bergiat aktif semula.

Peguam Negara Tommy Thomas semalam mengumumkan Putrajaya memfailkan saman terhadap kerajaan Kelantan yang ditadbir oleh PAS kerana menceroboh penempatan-penempatan Orang Asli.

Ia juga memohon injunksi menghalang syarikat-syarikat swasta menceroboh tanah adat untuk menjalankan aktiviti komersial.

Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu menamakan kerajaan negeri, pengarah tanah dan galian negeri, pengarah perhutanan negeri dan 5 entiti swasta.

Tuesday, January 15, 2019

Dulu disekat tetapi kini popular semula, Najib turun kempen di Cameron Highlands?

Diterbitkan pada 15 January 2019
Oleh Jamny Rosli

Datuk Seri Najib Razak bersama calon BN Datuk Lokman Noor Adam berkempen di kawasan Sungai Kandis sebelum hari mengundi 4 Ogos lalu. — Foto oleh Miera Zulyana

CAMERON HIGHLANDS, 15 Jan — Selepas calon Barisan Nasional tewas di Sungai Kandis, Datuk Seri Najib Razak didesak agar tidak berkempen dalam pilihan raya kecil seterusnya.

Namun kini bekas perdana menteri itu kelihatan makin aktif di media sosial dan mula mendapat sambutan ramai semula, beliau diura-ura akan turut berkempen di Cameron Highlands.

Difahamkan, lapor Star Online yang memetik sumber jentera kempen BN, bekas pengerusinya dijadualkan turun ke kawasan parlimen itu pada 17 Januari ini di Kampung Raja.

Beberapa bekas menteri dan ahli parlimen BN Tan Sri Noh Omar dan Datuk Seri Nazri Aziz, yang juga ahli majlis tertinggi Umno, sudah turun berkempen bagi calon mereka Ramli Mohd Nor.

Ogos lalu, susulan ketewasan pada pilihan raya kecil pertama, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mempertikaikan sama ada wajar atau tidak Najib turun berkempen untuk pilihan raya.

Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan membayangkan kekalahan calon Umno Datuk Lokman Noor Adam di situ ada kaitan dengan tanggapan negatif pengundi pada kes rasuah Najib.

Namun bagi M Manogaran, calon DAP bagi kerusi Cameron Highlands, Najib berhak turun berkempen dan biarlah orang ramai yang membuat penentuannya.

“Baiklah, beliau bebas untuk datang, dan ia adalah hak pihak lawan. Akhirnya rakyat yang menjadi hakimnya,” katanya, yang tewas di situ dengan majoriti tipis pada Mei lalu.

Menurut portal Malaysiakini, penduduk Felda di kawasan kerusi parlimen itu masih menyanjungi Najib walau mereka juga sedar skandal rasuah tokoh politik itu.

Najib tidak terlibat berkempen dalam pilihan raya kecil di Balakong, Seri Setia dan Port Dickson, yang menyaksikan PH terus mengekalkan kejayaan mereka.

Pengundi akan menentukan siapa pilihan mereka, termasuk dua calon Bebas, pada 26 Januari ini.

Saturday, December 1, 2018

DAP berhasrat bertanding PRK Cameron Highlands - Lim

Diterbitkan 1 Dis 2018, 10:52 pagi


DAP berhasrat untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands memandangkan ia merupakan kerusi tradisi parti itu, kata Setiuasaha Agungnya, Lim Guan Eng.

Lim yang juga Menteri Kewangan berkata pihaknya akan melaporkan perkara tersebut (bertanding) kepada Pakatan Harapan.

"Ya tentu itu (kerusi Parlimen Cameron Highlands) akan ditandingi oleh parti DAP. Kita akan laporkan kepada Pakatan Harapan dan memandangkan ini adalah kerusi DAP, secara tradisi akan ditandingkan semula oleh calon DAP," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Smart Green Community’ di Tapak Pertanian Dalam Bandar Lebuh Padang Tembak, Air Itam hari ini.

Lim mengulas sama ada DAP akan meletakkan calon parti itu susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya semalam yang mengisytiharkan kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, adalah terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azizah Nawawi semalam membuat keputusan pembatalan itu selepas mendapati bahawa terbukti wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan oleh Anggota Parlimen kawasan itu, Datuk C Sivarraajh.

Mengulas lanjut, Lim berkata beliau telah mengarahkan calon DAP bagi kerusi itu sebelum ini M. Manogaran untuk mengerahkan organisasi bagi tujuan tersebut (pilihan raya kecil).

"Tetapi saya difahamkan mereka (Barisan Nasional) akan membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah ini. Jadi kita tunggu dahulu keputusan ini. Mungkin masa agak panjang lagi kerana saya difahamkan pendengaran kes ini mungkin pada bulan Januari atau akhir Januari dan selepas itu baru keputusan. Sekiranya ada apa-apa pilihan raya kecil mungkin selepas Tahun Baharu Cina, kita tunggu masa itu," katanya.

Pada 4 Jun lepas, calon DAP M. Manogaran memfailkan petisyen memohon perisytiharan bahawa keputusan PRU14 pada 9 Mei lepas bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

-- Bernama

Sunday, May 29, 2016

Jambatan runtuh, enam kenderaan hilang dibawa arus

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 MEI 2016





Foto viral menunjukkan keadaan jambatan Sungai Ulu Telom yang runtuh dibawa arus.

CAMERON HIGHLANDS - Banjir kilat selama sejam di tanah tinggi ini awal pagi tadi menyebabkan sebuah jambatan menghubungkan perkampungan Orang Asli runtuh.

Memetik laporan Berita Harian, dalam kejadian itu juga, tiga buah kereta dan tiga motosikal dihanyutkan arus.

Kejadian itu bermula kira-kira jam 2.30 pagi turut menyebabkan sebuah kereta milik pelancong rosak akibat dihempap pokok manakala beberapa rumah penduduk turut dinaiki air setinggi lebih kurang 0.3 meter.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Zainal Abidin Othman berkata, arus deras Sungai Ulu Telom mengakibatkan sebuah jambatan yang menghubungkan jalan raya utama dengan perkampungan Orang Asli Pos Terisu di Batu 49, Kuala Terla, runtuh.

"Dipercayai lokasi jambatan yang runtuh adalah tempat di mana laluan arus dua anak sungai iaitu Sungai Tringkap dan Sungai Kuala Terla bertembung masuk ke sungai utama iaitu Sungai Ulu Telom yang terletaknya jambatan itu.

"Dalam pada itu, penduduk sekitar bergotong-royong dengan menggunakan besi untuk dijadikan laluan sementara kegunaan motosikal bagi menggantikan jambatan berkenaan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, tiga kereta dan tiga motosikal yang hanyut itu pula berlaku di Jalan Kolam Air, Brinchang, dengan semua kenderaan itu mengalami kerosakan akibat dimasuki air.

Katanya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku selain tiada penduduk dipindahkan manakala air surut kira-kira sejam kemudian.

Tuesday, February 17, 2015

JAKOA tidak abai kebajikan Orang Asli Cameron Highlands

JAKOA menafikan anak gadis Orang Asli di Cameron Highlands dijadikan pekerja seks untuk memujuk pekerja asing supaya tidak meninggalkan tempat itu.
KUALA LUMPUR, 16 Februari:

Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menafikan anak-anak gadis Orang Asli di Cameron Highlands dijadikan pekerja seks untuk memujuk pekerja asing supaya tidak meninggalkan tempat itu.

Ketua Pengarah JAKOA, Datuk Hasnan Hassan berkata kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan Orang Asli dan mengatakan bahawa ia adalah dakwaan palsu bermotifkan politik oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Hasnan berkata 6,075.39 hektar tanah telah digazetkan sebagai tanah Orang Asli, sementara 167.38 hektar lagi digunakan untuk kepentingan mereka.

Tambahan 8,958.17 hektar tanah lagi telah mendapat kebenaran kerajaan tempatan sebagai tanah Orang Asli tetapi ia belum digazetkan. Ini termasuk tanah seluas 2,753.04 hektar di Cameron Highlands.

Ini bukti bahawa kerajaan tidak mengabaikan mereka, katanya.

“Polis turut menyatakan tiada laporan dibuat mengenai anak gadis Orang Asli dijadikan pelacur untuk pekerja asing.

“Kami meminta mana-mana wanita Orang Asli yang dipaksa menjadi pelacur supaya membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan kepada The Rakyat Post.

Tambahnya, jabatannya memandang serius eksploitasi majikan terhadap Orang Asli.

Katanya, jabatan belum menerima apa-apa aduan daripada Orang Asli mengatakan mereka dieksploitasi atau dizalimi.

JAKOA akan membantu mereka mendapatkan bantuan undang-undang dari Jabatan Buruh sekiranya mereka dizalimi oleh majikan mereka.

Pada 9 Februari, Ketua Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM) B Suresh Kumar dilaporkan sebagai berkata masalah itu telah berlarutan selama beberapa tahun dan parti itu beberapa kali cuba memujuk komuniti Orang Asli untuk membuat laporan polis.

Suresh memberi kenyataan berkenaan beberapa laporan di media bahawa anak gadis Orang Asli di Cameron Highlands dijadikan pelacur untuk pekerja asing, dan terdapat beberapa kes anak gadis mengandung dan terpaksa menggugurkan kandungan mereka.

Namun, ibu bapa Orang Asli dan anak gadis mereka berdiam diri kerana keluarga memerlukan pendapatan daripada aktiviti pelacuran itu, dakwa Suresh dan menambah mereka juga berdiam diri kerana malu dan takut.

Suresh berkata Orang Asli terdedah kepada eksploitasi kerana banyak kawasan hutan dimusnahkan atau hilang disebabkan projek pertanian, kemajuan dan pembalakan, di mana kawasan untuk mereka bercucuk tanam, semakin lama semakin hilang.

Suresh menambah Orang Asli sering menjadi mangsa di mana mereka dibayar gaji yang sangat rendah sehingga ada menerima RM20 sehari walaupun bekerja sebagai penyambut tetamu di hotel, tukang cuci atau pelayan.

Mereka juga dikerah bekerja tujuh hari seminggu di mana sekiranya mereka tidak mampu, akan dilabel pula sebagai ‘tidak boleh diharap’ atau ‘pemalas’.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/17/jakoa-tidak-abai-kebajikan-orang-asli-cameron-highlands/#ixzz3RxgnSpIG

Saturday, December 20, 2014

MB Pahang bersumpah tak pernah terima rasuah



Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob bersumpah dalam sidang DUN Pahang hari ini bahawa beliau tidak pernah menerima rasuah daripada pekebun sayur di Cameron Highlands.

"Demi Allah, demi Rasul, di dalam dewan yang mulia ini saya bersumpah, saya dan Exco tidak pernah menerima apa-apa rasuah daripada pekebun sayur di Cameron Highlands.

"Tetapi jangan pula apabila saya bersumpah begini ada yang mengata saya ada terima daripada sumber yang lain pula," katanya pada sesi penggulungan sidang DUN.

Menurutnya kerajaan negeri Pahang telah lama menghentikan pengeluaran kelulusan lesen menduduki sementara (TOL) di Cameron Highlands iaitu sejak tahun 2000 dalam usaha memelihara tanah tinggi itu daripada penerokaan tidak terkawal.

Malah katanya, bermula 2007 setiap pembaharuan lesen TOL juga perlu dibawa dalam mesyuarat kerajaan negeri untuk keluluasan dan bukannya menerusi pejabat daerah lagi.

Adnan berkata langkah itu dilakukan bertujuan untuk mengelakkan rasuah dalam kalangan pentadbir di peringkat daerah itu.

"Tetapi apabila saya lakukan tindakan itu ramai pula menyangka saya dan Exco, nak makan duit rasuah sayur,".

Sementara itu dalam perkembangan lain, Adnan berkata tahun 2017 akan dijadikan sebagai Tahun Melawat Pahang dalam usaha kerajaan negeri untuk membawa industri pelancongan di negeri ini ke tahap lebih tinggi.

"Kali terakhir Tahun Melawat Pahang ialah pada tahun 1994 dan Pahang mempunyai banyak produk yang boleh diketengahkan seperti Taman Negara dan acara-acara bertaraf antarabangsa.

"Persiapan untuk Tahun Melawat Pahang (TMP) 2017 sedang giat dilakukan... 2016 merupakan tahun pemasaran dan promosi," katanya.

Beliau berkata disasarkan seramai 15 juta pelancong akan berkunjung ke negeri ini dengan membuat perbelanjaan sebanyak RM9.9 bilion sempena TMP 2017.

- Bernama

Sunday, November 23, 2014

Balak bukan sebesar mancis, tak tahu pembalakan haram?

MOHD AZMI ABDUL HAMID
MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menegaskan amalan rasuah menjadi punca segala kerosakan alam sekitar dan gejala sosial dalam negara ini. Ketamakan mereka yang berkedudukan dan yang berkuasa yang mahu membolot kekayaan melalui rasuah tidak mempedulikan kesan yang akan dihadapi oleh rakyat sekarang dan generasi akan datang. (Foto hiasan)

Dari kerosakan bukit Cameron Highlands sehingga penyeludupan barangan dan manusia ke dalam negara serta semaraknya penyakit sosial adalah musibah yang berpunca dari rasuah yang tidak dibanteras dengan berkesan dan ketamakan yang menjadi nilai yang menguasai sebahagian peneraju kuasa negara.

Akibat persekongkolan antara tauke dan segelintir pihak berkuasa serta ahli politik yang berkepentingan, rasuah nampaknya menjadi sebahagian dari urusan pentadbiran dan pengurusan negara. Khazanah negara menjadi komoditi paling direbut oleh mereka yang mencari peluang meraih keuntungan lumayan.

Pendedahan terbuka mengenai kepincangan pengawasan Cameron Highlands yang mengakibatkan bencana alam terbaru dan meragut nyawa tidak boleh dipisahkan dari gejala rasuah yang berleluasa.

Kerosakan Cameron Highlands bukan baru. Malah ia bukan tidak boleh dikesan dengan mata kepala para pegawai yang mengawasi kawasan tersebut. Sudah berapa kali tanah runtuh dapat dilihat di merata Cameron Highlands. Akan tetapi pihak berkuasa masih menganggap perlu mengumpul data untuk membuktikan kerosakan bukit tersebut sudah parah dan tidak mungkin boleh dipulih.

Malangnya sementara proses mengumpul data dilakukan, kawasan bukit yang menjadi khazanah negara itu sudah musnah dirosakkan oleh kegiatan penerokaan tanpa izin. Natijahnya bencana alam berulang lagi dan pihak berkuasa dan ahli politik mula saling menuding jari.

Demikian juga jika dilihat isu pembalakan. Ia kononnya digelar 'pembalakan haram' yang juga berleluasa. Tidak masuk akal pihak berkuasa tidak tahu, pada hal balak bukannya sebesar mancis api yang tidak boleh dikesan. Namun kerana ada pihak yang dibayar untuk menutup mata, maka hutan yang terbaki akhirnya dijadi sasaran untuk dieskploitasi dengan rakus.

Kini menteri yang berkenaan dan pihak media heboh mendedahkan satu kepincangan demi satu kepincangan dalam pengurusan Cameron Highlands. Kewujudan ratusan pekerja luar dan lereng bukit yang ditukar kepada kawasan pertanian yang sensitif telah mengakibatkan penggondolan bukit tersebut secara meluas dan berleluasa sehingga akhirnya berlaku tanah runtuh yang berterusan.

Bagaimana pekerja asing boleh berada di Cameron Highlands dengan seramai itu? Tidak munasabah pihak berkuasa tidak tahu. Kegiatan pertanian dilereng bukit itu boleh dilihat dengan jelas dan pekerja asing memenuhi kawasan itu. Kenapa kegiatan yang bertahun-tahun lamanya itu terlepas pandang oleh pihak yang bertanggungjawab?

Soalnya insiden bencana alam yang kerap berlaku bukan tidak boleh dielakkan. Pembangunan yang dihadkan, prosedur yang diketatkan serta penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas sepatutnya boleh mengelakkan bencana dari berlaku. Namun akibat penyelewengan dan persekongkolan antara pengusaha yang tamak dan pentadbir yang mudah disogok, kerosakan alam berleluasa dan negara kerugian berjuta ringgit.

Kini pihak SPRM telah mengumumkan akan menempatkan pejabat cawangan di Cameron Highlands yang dikatakan akan mengawasi perlakuan rasuah.

Pertanyaan kami ialah, bagaimana pula dengan sekian banyak kawasan lain yang juga sedang berhadapan dengan pemusnahan alam. Apakah tidak ada kemungkinan gejala rasuah banyak berlaku. Adakah SPRM akan menempatkan pegawai di kawasan-kawasan tersebut?

Betapa banyak aduan yang telah disampaikan kepada SPRM mengenai pelbagai kes salah guna tanah dan kelulusan yang tidak mengikut prosedur, namun rakyat yang mengadu masih menyaksi projek yang dibantah terus dilaksanakan tanpa sebarang tindakan.

Kami memang mengalu-alukan laporan audit negara yang dikeluarkan saban tahun yang mendedahkan kepincangan dalam pentadbiran pelbagai agensi kerajaan. Ketua Setiausaha Negara telah mengumumkan bahawa tindakan corrective (menambahbaik) danpunitive (tindakan disiplin) sedang dilakukan.

Namun kami mendapati masih banyak kes yang terlepas dari tindakan untuk membanteras penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku dan kecuaian. Ia bukan sahaja merugikan berbilion ringgit wang awam tetapi juga mengakibatkan kerugian harta dan kehilangan nyawa manusia.

Kami menegaskan jika kerajaan tidak serius membanteras rasuah sehingga ke akar umbi, lambat laun negara akan hancur dan tergadai di tangan pemberi dan penerima rasuah. Menjadi pengetahuan umum betapa banyak projek yang mendapat penilaian yang kritikal dari agensi kerajaan sendiri, namun akibat lobi dan pengaruh yang kuat dari pihak syarikat ke atas pihak yang memegang kuasa dan berkepentingan, projek yang membawa risiko kepada kemusnahan alam sekitar tetap diteruskan.

Pengumuman terakhir ialah apabila Perdana Menteri mengeluarkan arahan agar seangkatan anggota PDRM dan ATM dihantar ke kawasan Cameron Highlands supaya mengawasi dan mengesan pekerja asing tanpa izin (Pati) yang dikatakan berkeliaran di Cameron Highlands.

Sekali lagi kami menegaskan reaksi seumpama ini yang bersifat spontan hanya di kala media mendedahkannya secara meluas tidak akan menyelesaikan isu tersebut. Menghantar angkatan tentera bagaikan suatu operasi perang besar belum boleh dikatakan kerajaan serius.

Inti kepada masalah yang perlu diatasi sebenarnya terletak di tangan penguasa di pentadbiran Kuantan dan Putrajaya. Kesungguhan melakukan pembersihan dalam pentadbiran dan memastikan campur tangan politik tidak berlaku adalah tindakan utama jika kerajaan benar-benar serius mahu memelihara kawasan sensitif seperti Cameron Highlands. - HARAKAHDAILY

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-