KUALA LUMPUR, 14 Februari:
Barisan Nasional (BN) masih belum memutuskan calon yang bakal dipertaruhkan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh di Seberang Prai, Pulau Pinang dan juga Dewan Undangan Negeri (DUN) Cempaka, di Kelantan.
Menurut Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, pihaknya masih belum membuat keputusan memandangkan masih belum menerima pengumuman rasmi dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Kami tunggu pengesahan dari SPR mengenai tarikh-tarikh bagi dua PRK di Permatang Pauh dan Cempaka.
“Buat masa ini kita masih belum buat apa-apa keputusan, bila sudah terima pengumuman dari SPR, BN akan buat keputusan setelah berbincang dengan bahagian dan juga negeri berkenaan,” kata Najib dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi.
Tambah Najib yang juga Presiden UMNO, BN akan mengkaji segala kemungkinan dan juga strategi yang sesuai bagi menghadapi kedua-dua PRK berkenaan yang mana kerusi kedua-duanya bukan disandang calang-calang tokoh dalam pakatan pembangkang.
Justeru, BN juga tidak akan tergopoh-gopoh dalam membuat keputusan, khususnya bagi menentukan calon-calonnya.
“Kita akan mengkaji secara mendalam berkenaan situasi dalam kedua-dua kawasan.
“Pada peringkat ini masih terlalu awal untuk membuat keputusan.
“Tapi memang kita kaji dari semua sudut dan kita juga ambil kita dalam PRK yang sebelum ini semakin membaik seperti di Pengkalan Kubor dan di Teluk Intan kita berjaya rampas balik kerusi kita,” katanya.
Mengenai mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi BN malam tadi, Najib menjelaskan bahawa intipati mesyuarat antaranya adalah membincangkan soal memantapkan parti berkenaan.
Antara usaha yang akan dijalankan adalah menyelaraskan aktiviti antara parti-parti komponen BN supaya dilihat lebih bersepadu dan selari.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/14/prk-permatang-pauh-cempaka-bn-tunggu-pengumuman-spr-sebelum-buat-keputusan/#ixzz3RgEPpLzH
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.