Saturday, February 14, 2015

Anwar tidak boleh dianggap sebagai tahanan biasa

Untuk sebahagian besar rakyat Malaysia penahanan Anwar Ibrahim adalah perbuatan salah dan menjijikkan dan hanya akan membahayakan masa depan BN

KUALA LUMPUR, 14 Februari:

Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini mengatakan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap seperti individu lain yang disabitkan dalam penjara jelas mengabaikan fakta sabitan serta penahanannya itu dikritik hebat di peringkat antarabangsa.

Peguam Anwar, N. Surendran dan Latheefa Koya dalam kenyataan bersama hari ini berkata dengan mengatakan begitu, kedua-dua menteri dan timbalannya sengaja membayangkan bahawa Anwar tidak berbeza daripada mana-mana orang lain yang telah didapati bersalah atas jenayah oleh mahkamah dan seterusnya menjalani hukuman.

Menurut mereka, kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Kesatuan Eropah, Australia dan Kanada dengan segera menolak sabitan dan hukuman penjara terhadap Anwar.

“Pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu faham bahawa tidak ada pihak yang yakin bahawa kes ini adalah sama dengan kes jenayah lain biasa serta sekalipun ditahan, Anwar terus mendapat sokongan besar dan simpati dari rakyat di seluruh negara.

“Dunia kini sedang melihat layanan yang diberikan kepada Anwar dan reputasi antarabangsa negara kita menghadapi tekanan hebat yang mana Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan tidak mampu untuk mengabaikan pandangan masyarakat dunia,” kata mereka di sini hari ini.

Tambah mereka lagi, Anwar mesti dianggap sebagai ‘tahanan politik’ dan tidak seolah-olah dia adalah seorang banduan biasa.

Jelas mereka, rejim tentera Myanmar juga hanya meletakkan Aung San Suu Kyi di bawah tahanan rumah dan tidak menghantarnya ke penjara biasa.

“Sekurang-kurangnya, pemimpin seperti Anwar Ibrahim patut mendapat layanan yang sama.

“Untuk sebahagian besar rakyat Malaysia penahanan Anwar Ibrahim adalah perbuatan salah dan menjijikkan dan hanya akan membahayakan masa depan BN,” ujar mereka.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/14/anwar-tidak-boleh-dianggap-sebagai-tahanan-biasa/#ixzz3RgatK6Ay

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-