Tuesday, March 17, 2015

Kaum Cina mahu Kerajaan Kelantan segera laksana Hudud

Calon PAS pada PRK DUN Chempaka, Ahmad Fathan Mohammad, bersama Pegawai Khas Menteri Besar Kelantan, Lau Chin Chua (kiri) ketika berkempen untuk meraih sokongan masyarakat bukan Islam di sebuah kedai runcit milik penduduk berketurunan Cina. - Foto TRP/Siti Syahirah

KOTA BHARU, 17 Mac:

Ada kalangan masyarakat Cina di Kelantan menyambut baik tindakan Kerajaan PAS negeri itu melaksanakan Undang-Undang Hudud di negeri berkenaan.

Tinjauan The Rakyat Post mendapati rakyat berketurunan Cina yang merupakan kaum minoriti di Kelantan menerima perlaksanaan undang-undang Islam itu walaupun tidak memahami secara jelas intipati hukum berkenaan.

Suri rumah, Tenh Kiok Pin, 43, berkata, beliau lebih melihat sisi positif kesan daripada hukum hudud itu melalui penurunan kadar jenayah.

Kiok Pin berpandangan, apa yang bakal dilaksanakan itu kelak akan memberi kebaikan kepada keseluruhan masyarakat termasuk Cina sekiranya ia memberi manfaat kepada masyarakat Melayu dan Islam.

Suri rumah, Tenh Kiok Pin. – Foto TRP/Siti Syahirah

“Saya tidak ada masalah jika tidak mengganggu masyarakat kami, jadi saya tidak takut pasal saya pun tinggal bersama masyarakat Melayu sejak kecil dan perkara itu tidak menjadi masalah besar buat kami sekeluarga.

“Lagipun ia juga boleh turunkan kadar jenayah. Baik untuk kaum Melayu maka kami orang Cina tetap menyokong”, jelasnya.

Sementara itu, Chua Guan Hong, 77, berpendapat perlaksanaan hukum itu mampu memberi kesedaran kepada masyarakat untuk lebih berhati-hati dan tidak melakukan jenayah.

Jelasnya itu adalah kunci utama dalam rang undang-undang bagi pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 itu yang katanya boleh memberi keinsafan kepada mereka yang terlibat dengan jenayah.

“Moleklah jika hukum ini dilaksanakan secara tidak langsung boleh memberi kesedaran dan pengajaran kepada masyarakat.

Warga emas, Chua Guan Hong. – Foto TRP/Siti Syahirah

“Undang-undang yang diguna pakai sekarang ini terlalu biasa, mudah-mudahan orang akan insaf”, ujarnya.

Jurujual, Goo Soon Shin, 53, berkata beliau menerima perubahan yang ingin dilakukan Kerajaan Negeri melalui penguatkuasaan undang undang Islam.

Goo Soon Shin – Foto TRP/Siti Syahirah

Katanya faktor kehidupannya yang banyak bergaul dengan masyarakat Melayu dan Islam menyebabkan beliau percaya dengan undang-undang Islam.

“Saya sudah bercampur dengan masyarakat Melayu dan Islam sejak dahulu lagi jadi apa yang dibawa oleh Kerajaan Negeri walaupun mengikut hukum Islam, saya tetap menerimanya”, katanya.

Sementera itu seorang penduduk berketurunan Siam, Wanta A/P Nainchun pula berkata, apa sahaja perkara baik yang ingin dilakukan Kerajaan Negeri akan disokong walaupun hukum itu hanya dikhususkan untuk orang Islam sahaja.

Wanta mengakui kurang faham mengenai hukum Hudud namun beliau yakin undang-undang itu akan memberi manfaat kepada seluruh penduduk Kelantan.

“Saya tidak kisah dengan perlaksanaan ini. Ada ketika saya juga menyertai orang Islam mendengar tazkirah mengenai hukum ini kerana rumah saya hanya bersebelahan dengan madrasah.

“Mana yang elok saya ikut, tetapi saya tidak jelas mengenai intipati hukum ini. Apa yang saya tahu hukum ini adalah hukum Islam dan boleh turunkan kadar jenayah”, ujarnya.

Belia Cina, Peck Kien Shen, 25, pula menyeru Kerajaan Negeri agar segera meneruskan rancangan untuk melaksanakan hukum hudud itu.

Malah katanya, beliau bersedia menerima undang-undang berkenaan walaupun tanpa sebarang penjelasan dan penerangan daripada mana-mana pihak.

“Teruskan saja. Kami bersedia menerima hukum orang Islam walaupun tidak memahami hukum ini secara mendalam”, katanya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/03/17/kaum-cina-mahu-kerajaan-kelantan-segera-laksana-hudud/#ixzz3Ue68F1YX

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-