KUALA LUMPUR, 18 Mac:
MCA mesti memutuskan hubungan dengan UMNO jika parti yang bersama dengannya menjadi teras Barisan Nasional (BN) itu berpendirian menyokong pindaan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (EKJS II) Kelantan 1993 bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di negeri itu.
Pengerusi Biro Undang-undang Syariah dan Unit Khas Pelaksanaan Polisi MCA, Gan Ping Sieu berkata, senario sekarang memaksa parti itu untuk bertindak.
“Timbalan presiden saya, ketika menjawat jawatan Ketua Pemuda MCA sudah menegaskan jika perkara itu berlaku (UMNO menyokong hudud) bermakna sudah tiba masanya MCA mengkaji semula kedudukannya dalam Barisan Nasional,” kata Gan.
Menurut Gan, beliau berpendapat jika UMNO menyokong RUU berkenaan di peringkat Persekutuan atau Parlimen, maka ia telah melanggar asas fundamental negara, pembinaan bangsa dan kontrak sosial.
“Malah MCA, dalam hal ini, jika saya terpaksa menyatakan di sini, saya akan mengajak semua parti komponen (BN) yang lain untuk turut memutuskan hubungan dengan UMNO,” tegas Gan ketika bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media di ibu negara, Selasa malam, dan diterbitkan portal berita Malaysiakini hari ini.
Sebelum ini Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong sudah menyatakan secara terbuka berkata parti berkenaan akan mengkaji kedudukannya dalam BN jika UMNO menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan.
Jika perkara tersebut berlaku, bermakna sudah tiba masanya MCA berbincang tentang kedudukannya dalam BN, kata Ka Siong ketika menjadi ahli panel Wacana Sinar Harian bertajuk, “Hudud: Bersediakah Kita” di Shah Alam pada 8 Mei tahun lepas, .
Ka Siong yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, MCA tidak pernah menolak Islam tetapi parti itu cuma mempertikaikan hukum hudud yang cuba dibawa oleh PAS.
Pada sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan siang tadi, pindaan RUU EKSJ II 1993 setebal 47 muka surat dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob pada jam 11 pagi dan turut disokong Ahli Dewan Undangan (ADUN) Barisan Nasional (BN), yang kesemuanya dari UMNO.
Bagaimanapun, perbahasan pindaaan enakmen tersebut ditangguhkan hingga esok, hari terakhir sidang DUN khas, yang mana semua ADUN akan mengundi bagi menyokong atau menolak pindaan terhadap RUU EKJS II 1993 itu, yang sudah wujud sejak 22 tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, sokongan kepada pindaan EKSJ II 1993 itu dilakukan wakil rakyat UMNO kerana Allah.
Md Alwi yang juga Ketua Penerangan UMNO negeri itu ketika berucap menyokong pindaan EKSJ II di DUN Kelantan hari ini berkata, sokongan ADUN UMNO terhadap pindaan yang memasukkan hukum hudud itu ikhlas dan bukan kerana politik semata-mata..
Beliau turut mengajak pemimpin PAS dan UMNO untuk bekerjasama bagi memastikan hasrat kerajaan Kelantan melaksanakan udang-undang tersebut berjaya.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/03/18/mca-ajak-semua-komponen-bn-putuskan-hubungan-dengan-umno-jika-sokong-hudud/#ixzz3UkIyFSdK
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.