Tuesday, March 24, 2015

Putus dengan Hadi bermakna putus dengan PAS, kata naib presiden

Beberapa pemimpin kanan PAS hari ini mempersoalkan tindakan DAP memutuskan hubungan dengan presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menyifatkannya sesuatu yang janggal dan susah diterima.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan DAP malam tadi sesuatu yang janggal kerana parti itu tidak boleh memutuskan hubungan dengan Hadi seorang.

Sebaliknya, Tuan Ibrahim berkata keputusan itu satu isyarat DAP mahu memutuskan hubungan dengan parti Islam itu.

"Keputusan itu keputusan yang kita rasa janggal, sebab presiden mewakili parti. Tiada istilah putus dengan presiden, tetapi putus dengan PAS.

"Kami mendukung kepimpinan presiden dan apa-apa yang berlaku pada presiden bermakna berlaku pada PAS.
"Bagi PAS, kami bersama dengan presiden. Sebarang keputusan khusus untuk presiden, bagi PAS itu keputusan yang janggal dan pelik," katanya kepada The Malaysian Insider.

Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP yang bermesyuarat malam tadi bersetuju meneruskan kerjasama bersama Pakatan Rakyat (PR) tetapi memutuskan hubungan dengan Hadi kerana hilang keyakinan terhadapnya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (gambar, kanan) berkata, parti itu kesal dengan tindakan "tidak jujur dan tidak bermaruah" Hadi yang bekerjasama dengan Umno melanggari semangat konsensus serta dasar bersama dalam PR.

Mengulas gesaan Lim supaya Hadi meninggalkan PR jika ingin meneruskan pembentangan rang undang-undang persendirian hudud di Parlimen, Tuan Ibrahim berkata DAP yang perlu meninggalkan gabungan itu.

Katanya, bukan sesuatu yang janggal bagi DAP meninggalkan PR kerana parti itu pernah berbuat demikian ketika isu hudud dibangkitkan PAS sebelum ini.

"Mereka pernah buat benda yang sama dulu. Dulu DAP pernah tarik diri dari PR. Kalau mereka rasa tak selesa, mereka harus buat keputusan yang sama untuk tarik diri.

"Bagi PAS, tiada parti yang boleh memecat atau mengeluarkan mana-mana parti dalam PR kecuali parti tersebut nak tarik diri.

"Mereka pun dah kemukakan satu pakatan baharu seperti kata Lim Kit Siang dua hari lepas. Saya fikir mereka kena bergerak begitu," katanya kepada The Malaysian Insider.

Kit Siang, ketua Parlimen DAP, pada Ahad mencadangkan pembentukan "Selamatkan Malaysia", satu gabungan antara PR dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, gabungan yang bertujuan memelihara Perlembagaan Persekutuan dan keluhuran undang-undang itu bagi membolehkan PR dan BN mengenal pasti masalah masing-masing selepas PAS berkeras melaksanakan hudud di Kelantan

Ditanya mengenai dakwaan DAP yang Hadi tidak jujur dan tidak bermaruah dalam menjalinkan kerjasama bersama PR, Tuan Ibrahim berkata DAP juga tidak boleh dipercayai.
Katanya, kerajaan Pulau Pinang yang pernah membawa usul pilihan raya kerajaan tempatan di Dewan Undangan Negeri juga membuktikan DAP membelakangkan PR.

"Kalau atas alasan DAP, kononnya PAS membelakangkan PR, DAP pun tak boleh dipercayai sebab bawa usul pemilihan kerajaan tempatan dalam Dewan Undangan Negeri tanpa bawa kepada PR.

"Alasan itu sebenarnya balik pada dia. Berapa banyak keputusan mereka membelakangkan PR? Saya fikir mereka perlu buat keputusan tarik diri, itu lebih baik," katanya.

DAP hari ini memberi 3 contoh Hadi mengambil tindakan tidak jujur dan tidak bermaruah.

Pertama, berhubung keengganan Hadi mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk jawatan menteri besar Selangor tahun lepas; kedua, kegagalannya membincangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan dalam Majlis Pimpinan PR, dan ketiga, membelakangkan PR membuat permohonan membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar, kiri) menyifatkan keputusan DAP memutuskan hubungan dengan Hadi sebagai "kebudak-budakan".

Katanya, hubungan dalam politik termasuk dalam PR, ialah antara parti dengan parti, bukannya antara parti dengan mana-mana pemimpin parti.

"Ini keputusan kebudak-budakan dan tidak matang," kata Mustafa kepada The Malaysian Insider ketika diminta mengulas perkara tersebut.

Beliau berpendapat, sekiranya DAP matang, parti itu akan membuat keputusan dengan parti itu sendiri, bukan dengan mana-mana pemimpinnya.
"Setiap parti melantik pemimpin masing-masing. Jadi, jika ingin bekerjasama, kena terima pemimpin yang dipilih parti itu," katanya.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar, kanan) pula berkata sukar menerima keputusan DAP itu dan berpendapat memutuskan hubungan dengan Hadi bukan penyelesaian terbaik, sebaliknya ia harus dibawa ke dalam mesyuarat.

"Hadi presiden saya dan presiden lebih satu juta ahli PAS.

"Rumit dan sukar bagi saya menerima sepenuhnya keputusan DAP yang mahu memutuskan hubungan dengan Hadi tetapi mahu terus kekal dengan PAS dan PR," katanya.

Beliau, bagaimanapun, mengakui memahami kesukaran yang dihadapi DAP berdepan dengan isu pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan itu, khususnya kontroversi tindakan Hadi membentang rang undang-undang persendirian di Parlimen nanti.

"Memutuskan hubungan dengan presiden PAS bukanlah jalan atau pendekatan penyelesaian terbaik menangani isu ini.

"Saya masih yakin dan percaya, melalui pengalaman suka duka bersama PR, sebesar mana dan sekusut mana pun masalah yang pernah didepani, medan atau platform terbaik berbincang dan membuat keputusan secara kolektif ialah Mesyuarat Majlis Tertinggi PR." – TMI

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=259562:putus-dengan-hadi-bermakna-putus-dengan-pas-kata-naib-presiden&Itemid=2#ixzz3VJ9mbYxV
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-