Wednesday, April 29, 2015

Ingatan untuk pimpinan PAS Pusat - Usah terburu-buru hukum anak buah

Nasrudin memberi peringatan jika PAS Pusat dilihat menghukum Yusni secara terburu-buru tanpa ada siasatan rapi, beliau sendiri akan berdiri membela Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang itu. - Foto Facebook Nasrudin Hassan At Tantawi

PERMATANG PAUH, 29 April:

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi meminta pimpinan PAS Pusat agar tidak terburu-buru mengambil tindakan untuk menghukum Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Yusni Mat Piah, atau beliau sendiri akan bangkit mempertahankan pemimpin pelapis PAS itu.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Dewan Pemuda PAS Negeri (DPPN) Pulau Pinang, Nasrudin berkata, tindakan yang diambil Yusni perlu diselidik dengan teliti terlebih dahulu sama ada betul-betul melanggar disiplin parti.

Malah Nasrudin menegaskan beliau tidak akan berpeluk tubuh jika tindakan terhadap Yusni diambil secara tergesa-gesa tanpa sebarang siasatan terperinci.

“Jangan terburu-buru mahu menghukum anak buah sendiri sedang asas tindakan mereka adalah kerana sayang kepada jemaah dan (berniat) memelihara maruah pucuk pimpinan.

“Isu yang timbul mesti terlebih dahulu diusahakan untuk selesai dengan baik.

“Jika anda terburu-buru mahu menghukumnya, saya tidak lengah untuk mempertahankannya,” tegas mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat itu.

Kelmarin, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu melalui satu kenyataan berkata, semua ahli PAS wajib menolak sebarang arahan atau pendirian yang bertentangan dengan keputusan yang telah dikeluarkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.

Jika ada ahli bertindak bertentangan dengan arahan PAS Pusat, tindakan tatatertib boleh dikenakan ke atas ahli berkenaan berdasarkan peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan parti, kata Mohamad merujuk kepada arahan Yusni supaya Pemuda PAS Pulau Pinang menutup bilik gerakan jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh dan berehat.

Mat Sabu yang juga Pengarah Induk Jentera Pilihan Raya PAS Pusat, berkata siasatan dan tindakan tegas akan diambil oleh Jawatankuasa PAS Pusat terhadap Yusni dalam masa terdekat.

Malah Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat juga dilihat tidak cuba mempertahankan rakan seperjuangannya apabila turut menyokong Mat Sabu supaya tindakan disiplin dikenakan ke atas Yusni.

“Timbalan Presiden (Mohamad Sabu) akan membawanya dalam mesyuarat akan datang. Pemuda akan menyokong,” Suhaizan dilaporkan berkata kelmarin.

Perkembangan itu kurang disenangi Nasrudin yang hairan keputusan mengambil tindakan disiplin terhadap Yusni dibuat terlalu cepat, berbeza dengan kes-kes salah laku lain yang dilaporkan sebelum ini.

“Terlalu banyak kes dakwaan salah laku tindakan dalam PAS tetapi sukar untuk sampai ke pintu tindakan disiplin kerana terpaksa melalui pelbagai peringkat perbincangan, siasatan dan penelitian.

“Namun (dalam) kes Pemuda PAS Pulau Pinang, begitu pantas ketuanya mahu diseret ke Jawatan Kuasa Disiplin untuk diambil tindakan.

“Lihat dulu apakah asas tindakan DPPN Pulau Pinang dan selesaikan dengan baik,” pinta Nasrudin yang juga merupakan Ahli Parlimen PAS Temerloh.

Yusni dalam satu kenyataan pada 26 April berkata semua jentera dan petugas Pemuda PAS Pulau Pinang direhatkan dari semua gerak kerja sepanjang kempen PRK Permatang Pauh berlangsung.

Tindakan itu dilakukan kerana kecewa dengan sikap tidak peduli dan membisu Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang terhadap desakan Pemuda PAS negeri agar memohon maaf berhubung kenyataan yang menghina dan memfitnah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

AMK Pulau Pinang diberi tempoh sehingga hari penamaan calon 25 April lalu untuk memohon maaf tetapi memandang remeh desakan itu dan langsung tidak mengambil sebarang tinndakan.

Ingin menambah sesuatu pada laporan ini? Sila maklumkan melalui komen di bawah.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/29/ingatan-untuk-pimpinan-pas-pusat-usah-terburu-buru-hukum-anak-buah/#ixzz3YeaIIuQW

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-