Showing posts with label Pilihan Raya Kecil (PRK) P.044 Permatang Pauh. Show all posts
Showing posts with label Pilihan Raya Kecil (PRK) P.044 Permatang Pauh. Show all posts

Friday, May 8, 2015

Wan Azizah Menang isyarat kerjasama PR masih utuh

MOHD SABRI SAID

PERMATANG PAUH: Kemenangan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh adalah isyarat kepada kekuatan kerjasama Pakatan Rakyat (PR) masih utuh.

Pengarah PRK.044 PAS Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, walaupun berbagai badai dan ombak melanda hubungan antara parti dalam PR namun gerak kerja PRK telah berjaya mengatasinya.

“Bagi PAS khususnya kami berjanji untuk menyumbang undi terbanyak di Dun Permatang Pasir dan kami telah membuktikannya dengan komitmen para petugas tegar di MTD dan negeri-negeri dari utara yang bertugas termasuk Kota Bharu, Kubang Kerian dan sebahagian Selangor,” ujarnya.

Katanya, penyelarasan kerja di Bilik Operasi Induk PKR menandakan PR mampu mencapai matlamatnya yang lebih besar iaitu membuka lembaran politik baru.

Tambahnya, isu perkauman dan sentimen agama sempit tidak lagi menjadi tumpuan tetapi penderitaan rakyat adalah keutamaan untuk dibela.

Katanya lagi, kemenangan PR di Permatang Pauh perlu menjadi semangat tentang kesetiaan dalam bertahaluf dan dorongan untuk meneruskan agenda PR.

“Saya sekali lagi mengucapkan tahniah Kak Wan dan kezaliman ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjara telah dibela oleh pengundi Permatang Pauh. Tahniah para petugas PAS dan PKR serta DAP,” ujarnya yang juga AJK PAS Pusat.

Menurutnya, Permatang Pauh menjanjikan harapan di sebalik saat sukar yang dilalui oleh ketiga-tiga parti.

Dr Wan Azizah selaku calon PKR yang mewakili PR memperolehi 30,316 undi mengalahkan calon BN, Suhaimi Sabudin yang mendapat 21,475 dengan majoriti 8,841 undi.

Calon Bebas yang menggunakan lambang kunci, Salleh Isahak mengutip 367 undi manakala calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Azman Shah Othman (101), kedua-duanya hilang deposit.

Keputusan diumumkan oleh Pengurus PRK Permatang Pauh, Jusni Ismail jam 10.15 malam ini di dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam.

Hadir sama meraikan kemenangan Wan Azizah di dewan itu ialah Timbalan Presiden PKR dan PAS, Mohamed Azmin Ali dan Mohamad Sabu serta Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. – HARAKAHDAILY

Thursday, May 7, 2015

KEADILAN di hadapan, majoriti lebih 7000

(Oleh: Azuan Ab Rahman)
PERMATANG PAUH 7 MEI- Seperti dijangka, KEADILAN berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan itu dengan majoriti besar.
Keputusan tidak rasmi setakat ini menunjukkan calon KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendahului empat pencabarnya dengan majoriti melebihi 7,000 undi.

Sehingga jam 8.00 malam, KEADILAN memperolehi 25,175 undi berbanding BN, 16960 undi, Bebas 312 undi dan PRM 90 undi.

Bagaimanapun, keputusan ini masih belum rasmi dan kertas undi masih dalam proses pengiraan dengan keputusan rasmi dijangka diumumkan pada malam ini.

Dalam PRK itu, Wan Azizah berdepan calon BN, Suhaimi Sabudin, Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia atau PRM) dan Salleh Isahak (bebas).

Kerusi itu kosong susulan kegagalan penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapatkan pengampunan diraja atas kes Fitnah 2 yang mengheretnya ke penjara.

Terkini: Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh

PERMATANG PAUH, 7 Mei:

Hari ini seramai 71.890 pemilih berdaftar di Permatang Pauh akan mengundi untuk memilih Ahli Parlimen baharu.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menghadapi calon BNSuhaimi Sabudin dan dua calon lain dalam pertempuran untuk PKR untuk mengekalkan kerusi itu.

Dua calon yang lain ialah Salleh Isahak, 53, dan Azman Shafie, 50.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga suami Dr Wan Azizah, dipenjara lima tahun selepas didapati bersalah atas kes liwat.

Permatang Pauh merupakan kubu kuat PKR sejak tahun 1999.

Pusat mengundi di 25 sekolah membabitkan 132 saluran dibuka sehingga jam 5 petang sebelum proses penjumlahan dilakukan di Dewan Perdana, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

Proses pengundian awal PRK Permatang Pauh diadakan Selasa lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah membabitkan 627 anggota keselamatan dan pasangan masing-masing.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan PRK Permatang Pauh dijangka diketahui sebelum jam 9 malam ini.

8.43 pagi
Pada jam 8.40, calon PKR, Dr Wan Azizah memasukkan kertas undi ke dalam peti undi. Wan Azizah selesai menjalankan tugas membuang undi di SK Seri Penanti – Foto TRP/Michael Murty

8.28 pagi:

Che Jan Ahmad, 70, ibu Suhaimi telah mengundi di SMK Guar Perahu.
8.23 pagi:

Halijah Lebaiman adalah orang pertama yang mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti.

Foto TRP: Qurnisha Hamka
8.21 pagi:

Rosni Salleh, Ketua Wanita UMNO Permatang Pauh dilihat di sini bersama calon BN Suhaimi Sabudin di SMK Guar Perahu.
Foto TRP: Zalinah Noordin
8.18 pagi:

Pengundi berdaftar tertua di sini, Othman Daud telah selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti.

Ketika ditemui, beliau berkata pilihan raya kecil ini adalah yang ke-14 beliau mengundi dan beliau sentiasa menjalankan tugasnya mengundi.

“Saya gembira kerana dapat mengundi hari ini,” kata Othman, atau Tok Wan.

Othman yang merupakan penduduk Kampung Tanah Liat telah dilahirkan pada 12 Dis 1912.
Foto TRP: Michael Murty
8.10 pagi:

Mohd Hisham Md Arshad (kiri) dan Mat Desa Ismail adalah antara pengundi awal di SK Seri Penanti.
Foto TRP: Qurnisha Hamka
8.05 pagi:

Calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Perahu untuk mengundi.
Foto TRP: Zalinah Noordin
8.01 pagi:

Pengundi Permatang Pauh tertua, Othman Daud, 103 dari Kampung Tanah Liat telah sampai di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Seri Penanti dengan keluarganya.
Foto TRP: Michael Murty
8.00 pagi:

Calon BN, Suhaimi Sabudin membuang undi di pusat mengundi SMK Guar Perahu. Beliau juga meluangkan masa bertemu dengan pengundi di sini.

Rajimah Sharif, 70 dari Kampung Guar Perahu dilihat bersama Suhaimi.
Rajimah Sharif, 70 dari Kampung Guar Perahu dilihat bersama calon BN, Suhaimi Sabudin selepas beliau selesai mengundi di SMK Guar Perahu. Foto TRP: Zalinah Noordin
7.58 pagi:

Pengundi-pengundi telah menunggu di luar pusat mengundi SMK Guar Perahu sejak jam 07:30. Pintu dibuka pada jam 8 pagi.
7.55 pagi:

Halijah Lebaiman, 83, tiba di pusat mengundi bersama keluarganya. Beliau adalah anak tempatan di sini dan telah mengundi banyak kali dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil.
Foto TRP: Michael Murty
7.45 pagi:

Orang ramai mula berkumpul di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Seri Penanti. Calon PKR Wan Azizah dijangka mengundi di sini.
Foto TRP: Michael Murty

Pesanan Anwar dari penjara Sungai Buloh

MOHD SABRI SAID
PERMATANG PAUH: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi mesej dari penjara Sungai Buloh supaya rakyat terus menyokong Pakatan Rakyat dan memastikan kemenangan mutlak PKR dalam Pilihan raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, hari ini.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, PRK Permatang Pauh yang diadakan hari ini bukan kehendak rakyat tetapi kerana kerakusan Barisan Nasional ( BN) yang tidak mahu melihat kelibat Anwar dalam politik tanah air.

Menurutnya, semalam peguam Anwar telah memfailkan saman bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menafikan hak beliau membuang undi di Permatang Pauh.

"Pesanannya dari penjara ialah supaya teruskan sokongan terhadap Pakatan Rakyat," ujarnya.

Katanya, Anwar sendiri sedaya upaya mencari jalan perundangan untuk keluar mengundi berikutan adanya Akta 119 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan seseorang keluar mengundi.

PRK Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Suhaimi Sabudin (BN), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

Sementara itu, Wan Azizah menerusi facebook memaklumkan, beliau akan mengundi di lokaliti Sungai Semambu, Kubang Semang dalam Dun Permatang Pasir, pagi ini.

"Kak Wan jemput semua pengundi hadir, jangan lupa undi calon Keadilan, Dr Wan Azizah Wan Ismail, insya Allah. Terima kasih Kak Wan ucapkan kepada semua," tulisnya. -HARAKAHDAILY

Wednesday, May 6, 2015

Rompin sudah tolak GST, bagaimana Permatang Pauh

HARAKAHDAILY
Culaan terbaru menunjukkan bahawa peratusan yang akan keluar undi lebih kurang 68%.

Ini adalah peratusan keluar undi yang paling rendah dalam masa 16 tahun selepas lima kali pilihan raya sejak pilihan raya umum 1999.

Apakah senarionya jika peratusan yang keluar undi jatuh hingga 68%?

Jika sokongan kepada Pakatan Rakyat masih sekuat pilihan raya umum ke-13 pada tahun 2013, maka walaupun peratusan undi kepada Kak Wan akan menurun, namun, sekurang-kurangnya undi majoriti beliau masih tinggi iaitu lebih kurang 9,000 undi berbanding undi majoriti kepada PKR pada tahun 2013 iaitu 11,700 apabila PKR mendapat 58.6% daripada undi keseluruhan.

Namun kita perlu ingat bahawa pada tahun 2004, sokongan kepada PKR merudum kepada hanya 49.9%. Antara sebabnya adalah, kelemahan dalam kolisi pembangkang terutamanya pertelingkahan dalam isu negara Islam dan Hudud. Umno Barisan Nasional (BN) mengambil kesempatan terhadap pergolakan dalam pembangkang dan Pak Lah, Perdana Menteri ketika itu mengemukakan alternatif “Islam Hadhari” yang dilihat sebagai lebih moderat dan universal. Sudah tentu secara retrospektifnya, semua janji-janji UmnoBN ketika itu hanyalah janji kosong semata-mata. Namun ia cukup untuk memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional.

Kak Wan mungkin kalah kalau peratusan keluar undi terus menyusut

Justeru, berbalik kepada Pilihan raya Kecil Permatang Pauh kali ini, dengan mengambil senario paling teruk pernah berlaku, jika pola pengundian 2004 berulangan, maka undi majoriti Kak Wan dijangka lebih kurang 600 undi sahaja. Walaupun menang, namun kemenangan tidak selamat dalam tangan. Dalam keadaan sebegini, jika ada sedikit sahaja peralihan, contohnya penyokong Pakatan Rakyat tidak keluar mengundi ataupun dihalang dari mengundi, maka kalah-lah Kak Wan.

Rompin tolak GST

Ada sehari lagi sebelum rakyat Permatang Pauh akan membuat keputusan. Rakyat Rompin telahpun bersuara, Umno hanya menang 61.2% undi berbanding 65.5% pada 2013. Undi majoriti Umno di Rompin juga telah berkurangan. Ini jelas bermakna rakyat Rompin telah mewakili rakyat Malaysia menolak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

GST 6% hanya satu permulaan

Rompin sedar bahawa GST 6% hanya permulaannya. Perdana Menteri Najib Razak pada tahun 2014 telah berkata di Parlimen bahawa GST dijangka memberikan kerajaan pendapatan sebanyak RM23.2 billion setahun. Ini hanyalah separuh daripada hutang syarikat berkait kerajaan (GLC), 1MDB sebanyak RM42 billion. Jika pendapatan setahun GST yang dikutip daripada darah dan keringat rakyat pun tidak sampai separuh hutang hanya sebuah GLC, maka kita tahulah bahawa GST 6% hanya permulaan sahaja.

Permatang Pauh kena buat keputusan pada 7 Mei. Namun Permatang Pauh ada kelebihan berbanding Rompin. Di Rompin, hampir tidak mungkin mereka mampu menghantar seorang Ahli Parlimen yang berani lawan rejim ke Parlimen. Di Permatang Pauh, pengundi berpeluang menghantar seorang Ahli Parlimen sebegini ke dalam Dewan Rakyat meneruskan perjuangan Reformasi dan melawan rejim termasuk cukai menindas rakyat GST. Jom keluar undi! - HARAKAHDAILY

Steven Sim Chee Keong
Ahli Parlimen Bukit Mertajam
Pengarah Pilihan Raya Kecil DAP Pakatan Rakyat

Thursday, April 30, 2015

Undi Pakatan undi tolak GST


KUALA LUMPUR 29 APR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh peluang terbaik pengundi untuk menolak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai isyarat kepada kerajaan agar tidak terus menindas rakyat.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, PRK P44 ini yang bakal menyaksikan pertembungan antara Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin, bukanlah PRK biasa tetapi memberi peluang rakyat menyuarakan penolakan terhadap penindasan kerajaan BN dengan pengenalan GST.

“PRK ini berserta PRK Rompin merupakan satu referendum terhadap GST dan saya mengesyorkan agar pengundi menjadi wakil kepada seluruh rakyat Malaysia dengan mengundi Pakatan Rakyat dan menyatakan bahawa rakyat menolak perlaksanaan cukai yang membebankan itu,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi berkata, penolakan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan untuk berdebat dan tiada penjelasan berhubung isu-isu kritikal GST jelas menunjukkan kerajan BN masih tidak mahu mendengar aduan dan persoalan yang dikemukakan rakyat.

“Jelas kepincangan dalam perlaksanaan GST isu yang tidak dapat dielak BN walaupun sudah sebulan ia dilaksanakan.

“Perdana Menteri Najib Razak dan Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, berulang kali cuba mengalih isu sebenar dengan memberi pelbagai gambaran dan alasan.

“Namun, setelah sebulan perlaksanaannya, GST dilihat cukai yang menindas rakyat dan kenyataan bahawa ia tidak membebankan pengguna satu penipuan sama sekali. Rakyat tidak boleh diperbodohkan lagi.

“Oleh itu PRK Permatang Pauh dan Rompin memberi peluang terbaik untuk menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap GST dan kelemahan kerajaan BN mentadbir urus negara,” sambung Nik Nazmi.

Wednesday, April 29, 2015

Ingatan untuk pimpinan PAS Pusat - Usah terburu-buru hukum anak buah

Nasrudin memberi peringatan jika PAS Pusat dilihat menghukum Yusni secara terburu-buru tanpa ada siasatan rapi, beliau sendiri akan berdiri membela Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang itu. - Foto Facebook Nasrudin Hassan At Tantawi

PERMATANG PAUH, 29 April:

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi meminta pimpinan PAS Pusat agar tidak terburu-buru mengambil tindakan untuk menghukum Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Yusni Mat Piah, atau beliau sendiri akan bangkit mempertahankan pemimpin pelapis PAS itu.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Dewan Pemuda PAS Negeri (DPPN) Pulau Pinang, Nasrudin berkata, tindakan yang diambil Yusni perlu diselidik dengan teliti terlebih dahulu sama ada betul-betul melanggar disiplin parti.

Malah Nasrudin menegaskan beliau tidak akan berpeluk tubuh jika tindakan terhadap Yusni diambil secara tergesa-gesa tanpa sebarang siasatan terperinci.

“Jangan terburu-buru mahu menghukum anak buah sendiri sedang asas tindakan mereka adalah kerana sayang kepada jemaah dan (berniat) memelihara maruah pucuk pimpinan.

“Isu yang timbul mesti terlebih dahulu diusahakan untuk selesai dengan baik.

“Jika anda terburu-buru mahu menghukumnya, saya tidak lengah untuk mempertahankannya,” tegas mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat itu.

Kelmarin, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu melalui satu kenyataan berkata, semua ahli PAS wajib menolak sebarang arahan atau pendirian yang bertentangan dengan keputusan yang telah dikeluarkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.

Jika ada ahli bertindak bertentangan dengan arahan PAS Pusat, tindakan tatatertib boleh dikenakan ke atas ahli berkenaan berdasarkan peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan parti, kata Mohamad merujuk kepada arahan Yusni supaya Pemuda PAS Pulau Pinang menutup bilik gerakan jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh dan berehat.

Mat Sabu yang juga Pengarah Induk Jentera Pilihan Raya PAS Pusat, berkata siasatan dan tindakan tegas akan diambil oleh Jawatankuasa PAS Pusat terhadap Yusni dalam masa terdekat.

Malah Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat juga dilihat tidak cuba mempertahankan rakan seperjuangannya apabila turut menyokong Mat Sabu supaya tindakan disiplin dikenakan ke atas Yusni.

“Timbalan Presiden (Mohamad Sabu) akan membawanya dalam mesyuarat akan datang. Pemuda akan menyokong,” Suhaizan dilaporkan berkata kelmarin.

Perkembangan itu kurang disenangi Nasrudin yang hairan keputusan mengambil tindakan disiplin terhadap Yusni dibuat terlalu cepat, berbeza dengan kes-kes salah laku lain yang dilaporkan sebelum ini.

“Terlalu banyak kes dakwaan salah laku tindakan dalam PAS tetapi sukar untuk sampai ke pintu tindakan disiplin kerana terpaksa melalui pelbagai peringkat perbincangan, siasatan dan penelitian.

“Namun (dalam) kes Pemuda PAS Pulau Pinang, begitu pantas ketuanya mahu diseret ke Jawatan Kuasa Disiplin untuk diambil tindakan.

“Lihat dulu apakah asas tindakan DPPN Pulau Pinang dan selesaikan dengan baik,” pinta Nasrudin yang juga merupakan Ahli Parlimen PAS Temerloh.

Yusni dalam satu kenyataan pada 26 April berkata semua jentera dan petugas Pemuda PAS Pulau Pinang direhatkan dari semua gerak kerja sepanjang kempen PRK Permatang Pauh berlangsung.

Tindakan itu dilakukan kerana kecewa dengan sikap tidak peduli dan membisu Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang terhadap desakan Pemuda PAS negeri agar memohon maaf berhubung kenyataan yang menghina dan memfitnah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

AMK Pulau Pinang diberi tempoh sehingga hari penamaan calon 25 April lalu untuk memohon maaf tetapi memandang remeh desakan itu dan langsung tidak mengambil sebarang tinndakan.

Ingin menambah sesuatu pada laporan ini? Sila maklumkan melalui komen di bawah.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/29/ingatan-untuk-pimpinan-pas-pusat-usah-terburu-buru-hukum-anak-buah/#ixzz3YeaIIuQW

Tuesday, April 28, 2015

Kenapa dan mengapa "Krisis Tun Mahathir - Najib" tidak perlu bawa ke Permatang Pauh.....?

Krisis Tun Mahathir-Najib tidak perlu bawa ke Permatang Pauh
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu tersebut tidak memberi sebarang kepentingan dan faedah kepada pengundi di sini.

PERMATANG PAUH, 28 April:

Krisis antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak perlu dibawa ke Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata isu tersebut tidak memberi sebarang kepentingan dan faedah kepada pengundi di sini.

“Itu tak apalah, tak payah beri tumpuan yang lebih dalam isu tersebut kerana yang penting di Permatang Pauh adalah yang berkaitan ekonomi, sosial dan sebagainya kita (BN) akan jelaskan.

“Yang penting adalah pengundi di sini, kerana kalau di sini tak timbul masalah itu buat apa kita nak sentuh soal itu (kerana) kita hanya sentuh soal-soal yang perlukan penjelasan oleh penduduk di sini” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas melancarkan projek naik taraf Hospital Seberang Jaya pada Selasa.

Menurut Muhyiddin, persoalan tersebut juga telah ditimbulkan sewaktu beliau berkempen di PRK Rompin sebelum ini.

“Di Rompin juga begitu juga, (saya) ditanya soalan yang sama tapi saya kata apa masalah di Rompin isu Felda, ekonomi, peluang pekerjaan dan saya fikir ia lebih utama yang ingin didengar oleh pengundi,” ujarnya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/28/krisis-tun-mahathir-najib-tidak-perlu-bawa-ke-permatang-pauh/#ixzz3YcO3mEjU

Oh Azizah............

Datuk Seri Wan Azizah mempunyai tarikan tersendiri yang mampu menarik pengundi pada PRK Pauh walaupun pencalonannya mempunyai pelbagai kisah.

COMMENT
Oleh Nila Kanna

PETALING JAYA:Pengumuman calon pilihanraya kecil (PRK) Permatang Pauh daripada Pakatan Rakyat (PR) tidak mengejutkan kerana seperti dijangka, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan dipilih sekali lagi menjadi calon.

Sejak diumumkan, pelbagai kisah menyelubungi Presiden Parti Keadilan rakyat (PKR) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang. Bersama-sama kipas tangannya, Wan Azizah dilihat semakin ‘muda’ dari segi penampilan dalam mendekati rakyat.

Tidak dimakan usia dengan imej kipas di tangan menjadi imej beliau sejak dulu turut menjadikan dirinya perhatian.

Disebalik penerampilan tersendiri, timbul persoalan bagaimana penerimaan rakyat serta pengundi Permatang Pauh dengan percaturan semula PR atau khususnya PKR dengan meletakkan Wan Azizah sebagai calon?

Jikalau diperhati secara mendalam, mengikut laporan-laporan media, tidak kira media arus perdana ataupun alternatif, banyak pihak yang mempertikaikan kemampuan Wan Azizah untuk kembali berkhidmat di Permatang Pauh, selepas beliau memberi laluan kepada Anwar, sebaik bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibebaskan dari penjara, beberapa tahun lalu.

Ramai yang berpendapat Wan Azizah sudah ‘tidak boleh dijual’ lagi selepas beberapa episod keluar masuknya di Permatang Pauh untuk kepentingan peribadi sehingga menjadikan pengundi di kawasan itu sebagai mangsa.

Tidak ketinggalan bagi mereka yang masih utuh dengan parti PR kerana mereka mengundi parti dan bukan calon. Selagi ia parti pembangkang, pangkah sahaja, muka calon pun tidak kisah.

Tetapi keadaan itu semakin berubah dan bercampur-campur kerana mungkin disebabkan kemelut dalaman parti PR sendiri yang sudah pincang di dalamnya. Ia kelihatan seperti kertas yang sudah koyak robak ditampal secantik mungkin untuk elak cacat celanya kelihatan jelas.

Ramai yang beranggapan, dinasti suami isteri itu sudah cukup, sudah terlebih masak dengan peredaran masa kini.

Mengimbas penyertaan Wan Azizah dalam arena politik negara, ia bermula seawal tahun 1998 selepas suaminya dipecat dan ditangkap pada September 1998. Dari situ juga lahir satu gerakan reformasi yang akhirnya membentuk satu parti politik,PKR.

Rentetan itu, Wan Azizah berjaya menewaskan pesaing politik pertamanya, Datuk Seri Ibrahim Saad dalam pilihanraya tahun 1999 dengan majoriti 9,077 undi. Kerusi itu terus berada ditangannya dan menjadi salah satu satu kubu kuat PKR.

Pada Julai 2008, Wan Azizah bagaimanapun memilih untuk meletak jawatan bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar kononya untuk memberi tumpuan terhadap keluarga, iaitu untuk menjaga cucunya.

Tanggungjawabmenjaga cucu lupus selepas strategi yang disusun untuk memberi laluan kepada Anwar untuk mencapai hasratnya menjadi Menteri Besar Selangor gagal dan Wan Azizah terpaksa menjadi calon pilihan raya kecil Kajang sekali gus menjadi ADUN sehingga ke hari ini.

Kekalutan demi kekalutan terus berlaku dalam parti PKR dan PR lagi-lagi pada PRK kali ini.

Terdapat desas-desus yang mengatakan pemilihan Wan Azizah itu tidak direstui Ahli Majlis Tertinggi PR. Pencalonannya dibuat setelah dikatakan tiada calon lain yang lebih layak.

Ramai yang menjangkakan Permatang Pauh mungkin akan kecundang tatkala pengundi bosan dan muak dengan permainan politik suami isteri, namun secara pratikal kubu kuat Wan Azizah dan Anwar tidak mungkin runtuh begitu sahaja.

Pengaruh kedua-dua nama yang kuat bukan sukar dimalapkan, tetapi jikalau adapun, penurunan majoriti undi yang kemungkinan besar akan berlaku. Jika wujud beza besar dalam majoriti undi (maksudnya majoriti mengecil), itu sudah cukup menjadi amaran untuk Wan Azizah supaya tidak bermain-main di gelanggang politik dengan memperalatkan pengundi.

Malah, ia juga petanda kepada parti itu bahawa para pengundi termasuk yang bukan pengundi naik jemu dan menggunakan peluang PRK sebagai satu ‘amaran’ yang keras dan serius.

Tetapi jika sebaliknya berlaku, maka kita boleh lihat Wan Azizah dan Anwar akan terus mengambil peluang di atas ‘takhta’ pengundi yang bukan sekadar percaya kepada kempimpinan mereka tetapi betapa kuatnya parti pembangkang di Malaysia.

Ia juga akan menggambarkan kehebatan PR berhadapan dengan pilihanraya akan datang dan peluang untuk bersinar pada tahap paling gah.

Nila Kanna ialah bekas wartawan dan pembaca FMT

Saturday, April 25, 2015

Berita Terkini: Hari penamaan calon PRK Permatang Pauh

Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.044 Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Laporan oleh: Zalinah Noordin, G.Surach, Arfa Yunus, Rajina Dhillon, Noraizura Ahmad dan Adib Hakim

PERMATANG PAUH, 25 April:

Hari ini, berlangsung proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.044 Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Setakat ini, dua calon telah mengumumkan hasrat untuk bertanding pada PRK itu yang diadakan berikutan penyandang kerusi tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara selama lima tahun kerana meliwat bekas pembantu peribadinya dan oleh itu hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen.

Dua calon tersebut adalah Suhaimi Sabudin, 44, yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh mewakili Barisan Nasional (BN) dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, 63, mewakili calon PKR.

Hari ini The Rakyat Post akan melaporkan setiap perkembangan terkini proses penamaan calon di Parlimen Permatang Pauh, dari awal sehingga selesai tempoh bantahan dan pengumuman muktamad nama calon yang bertanding dibuat.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/25/berita-terkini-hari-penamaan-calon-prk-permatang-pauh/#ixzz3YHCW4Vys

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-