KOMEN: Seperti dalam kes-kes perceraian perkahwinan sebenar, perpisahan dalam sebuah persepakatan politik yang mudah akan menimbulkan isu-isu harta sepencarian, rakan-rakan dan lain-lain isu hubungan sebelumnya.
Ini juga berlaku dalam kes 'perceraian' PAS-DAP.
Satu perkara yang terlintas di fikiran di luar kerjasama politik perjanjian Pakatan Rakyat, adalah penglibatan PAS dalam Pulau Pinang yang dikuasai DAP, dan penglibatan DAP dalam kerajaan negeri Kelantan yang dikawal PAS.
Bagi berkerat rotan dan untuk menghentikan kerjasama dengan DAP, PAS perlu melihat kemungkinan yang amat nyata meninggalkan kedudukan majlis eksekutifnya, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain yang diagihkan oleh parti demokrasi sosialis yang berkuasa di Pulau Pinang itu.
PAS sudah tentu perlu mengharapkan yang sama daripada DAP di Kelantan, kerana ia tidak boleh lagi mengekalkan hubungan langsung dengan ahli-ahli DAP.
Walaupun kita boleh berhujah bahawa Pakatan mentadbir Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, hakikatnya ialah pakatan politik ini tidak wujud secara rasmi dan kerjasama mereka hanyalah di atas kertas.
Secara teknikalnya, DAP mentadbir Pulau Pinang, PAS di Kelantan dan PKR di Selangor.
Kerana pakatan ini bukanlah satu entiti yang rasmi dari segi undang-undang, parti-parti individu ini mengawal negeri-negeri yang berasingan dan kemudian mengagihkan jawatan-jawatan dan pangkat kepada sekutu-sekutu mereka.
Oleh itu apabila membuat keputusan untuk "bercerai" dengan DAP, PAS menghadapi isu perlu mengosongkan semua jawatan dan kedudukan dalam GLC (syarikat berkaitan kerajaan) negeri, dan juga dalam kerajaan negeri dan tempatan.
Walaupun ianya bersifat menyindir, tindakan timbalan presiden PAS yang telah kalah, Mohamad Sabu tepat apabila beliau mengumumkan bahawa beliau akan meletak jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang.
Seperti hujahnya dalam ucapan beliau pada muktamar parti itu pada 6 Jun, ini adalah selaras dengan keputusan untuk memutuskan hubungan dengan DAP.
"Jika saya tidak mematuhinya, mereka akan berkata saya tidak taat pada ulama," Malaysiakini memetik beliau sebagai berkata.
Seperti yang dilaporkan, beliau adalah ahli lembaga pengarah Perbadanan Air Pulau Pinang dan Hab Halal Pulau Pinang.
Ini adalah sebahagian daripada ucapan sinis Mohamad, yang seolah-olah menyindir kepimpinan ulama parti itu yang menang besar dalam muktamar itu, di mana beliau juga mengkritik tindakan menghentam DAP yang seolah-olah menjadi tema muktamar itu.
Malah, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dari DAP telah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa ia akan menerima peletakan jawatan wakil-wakil PAS yang dijangka, selepas muktamar meluluskan usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP.
"Berikutan kelulusan usul itu, tanpa membenarkan sebarang perdebatan untuk memutuskan hubungan dengan DAP, wakil PAS tidak mempunyai pilihan selain meletakkan jawatan daripada kerajaan negeri Pulau Pinang dan agensi-agensinya, serta ahli majlis perbandaran dan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).
"Walaupun saya mempunyai hubungan kerja yang mesra dan baik dengan ramai wakil PAS, saya faham bahawa mereka perlu meletakkan jawatan atas sebab-sebab etika dan moral.
"Adalah tidak munasabah dari segi politik bagi mereka untuk kekal dalam kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh saya dalam kapasiti saya sebagai setiausaha agung DAP, apabila muktamar PAS telah memutuskan hubungan dengan DAP," jelasnya dalam kenyataan itu.
Beliau juga menyifatkan keputusan PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP tetapi masih kekal dalam Pakatan Rakyat sebagai "bercanggah" kerana pakatan itu merupakan sebuah tarian berasaskan konsensus tiga entiti, dan koreografi mereka tidak membenarkan apa-apa langkah separuh jalan.
"Pakatan berfungsi melalui persetujuan ketiga-tiga parti, dan tidak ada mana-mana parti boleh membuat keputusan bagi pihak Pakatan," beliau dipetik sebagai berkata.
Persoalannya sekarang ialah, adakah PAS akan memenuhi apa yang diperkatakan mereka?
Dan seperti dalam mana-mana perceraian sebenar, wujud juga perkara janggal tentang rakan-rakan, siapa kawan-kawan suami dan siapa yang jadi kawan-kawan si isteri, kerana kedua-dua pihak kini akan perlu mencari telinga yang mahu mendengar dan bahu untuk ditumpang menangis.
PKR akan terperangkap dalam keperluannya terhadap kedua-dua PAS dan DAP, tetapi pada masa ini tanpa kelibat Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang telah dipenjarakan, ia tidak dapat membina jambatan atau memperbaiki pagar.
Satu lagi kejanggalan untuk PAS adalah untuk melihat kembali kerusi-kerusi bandar, di mana ia mendakwa pengundi-pengundi bukan Islam turut mengundi baginya.
Kerana dalam kes-kes ini, ia beroperasi di bawah naungan Pakatan, dengan kerjasama DAP.
Sekarang setelah kerjasama ini diketepikan, adakah PAS kini boleh mendapatkan sokongan yang sama, terutamanya dari pengundi Cina yang dikatakan telah beralih kepada DAP beramai-ramai?
Mungkin lebih ramai golongan Melayu sederhana di kawasan-kawasan bandar turut meragui PAS yang kini mempunyai pandangan Islam yang lebih 'militan', disebabkan saga hudud dan pendirian keras kepala pemimpin-pemimpin ulamanya.
Jadi bukan sahaja ia perlu melangkah pergi dari kerajaan Pulau Pinang, tetapi PAS mungkin menghadapi kemungkinan kehilangan kerusi-kerusinya di bandar, kerana kesan sampingan daripada saga hudud dan perselisihan dalaman yang menyaksikan kebangkitan golongan ulama konservatif, boleh mencalarkan reputasinya.
- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Adakah-PAS-akan-buktikan-ia-akan-berkerat-rotan-dengan-DAP#sthash.2RlgQp0X.dpuf
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.