KUALA SELANGOR, 5 Jun:
“Akhirnya, kita tampar dia (DAP) satu kali baru dia tahu rasa kena tampar itu pedih,” itu ungkapan yang dilafazkan perwakilan Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP), Nasruddin Hassan ketika membahaskan ucapan dasar Presiden PAS bersempena Muktamar PAS ke-61 hari ini.
Beliau berkata demikian ketika membicarakan soal DUPP meluluskan usul tergempar untuk memutuskan hubungan bersama DAP dan kekal dalam Pakatan Rakyat (PR).
Menurut beliau, tindakan itu diterjemahkan sedemikian bagi menggambarkan keadaan PAS yang kerap kali dihentam dan dikritik parti komponen PR terutamanya berhubung isu pelaksanaan hudud di Kelantan.
Katanya, ramai pihak yang mempersoalkan tindakan DUPP membawa usul berkenaan ekoran cadangan itu menginginkan PAS kekal di dalam PR.
“Saya minta, jangan cabar kesabaran kami, walaupun kami dari DUPP rata-rata pakai kopiah, pakai jubah tapi dalam jubah masih ada siku dan lutut yang masih belum digunakan.
“DAP dia putuskan hubungan dengan Pakatan Rakyat di Sabah dan Sarawak, tetapi di Semenanjung dia kekal. DAP memutuskan hubungan dengan presiden PAS, tetapi masih dengan kita.
“Saudara, dia tampar kita dua kali, dia tampar pipi kanan kita kata pedih, dia tampar pipi kiri kita, kita kata lagi jangan, pedih!” jelasnya ketika menyampaikan ucapan tersebut di hadapan perwakilan dan disambut positif dengan laungan ‘Allahuakbar’.
Jelasnya lagi, pihak PAS juga telah menjalankan beberapa usaha untuk menjelaskan keadaan sebenar kepada DAP namun reaksi yang diterima oleh mereka dikatakan tidak positif.
Pada Rabu lalu, DUPP meluluskan usul tergempar berkenaan pemutusan hubungan bersama DAP ekoran kebiadapan parti itu yang kerap kali mengkritik PAS dan menyerang peribadi Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Usul berkenaan diluluskan tanpa bahas selepas mendapat sokongan penuh daripada seluruh perwakilan DUPP yang bermuktamar pada hari tersebut.
Bagaimanapun, usul berkenaan masih belum dibahaskan di peringkat muktamar penuh dan dijangka bakal dibahaskan pada esok, Sabtu.
Awal pagi ini, Ketua DUPP, Datuk Mahfodz Mohamad mengatakan bahawa usul berkenaan bakal diluluskan di Muktamar Tahunan PAS ke-61 tanpa dibahas.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/06/05/dap-ditampar-pas/#ixzz3cCT7oqxW
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.