Wednesday, June 24, 2015

Lanun mungkin kurang licik, namun tetap ancaman yang berbahaya

oleh V Shuman

SEKILAS PANDANG: Sekurang-kurangnya ada tujuh kumpulan lanun yang bergiat di Selat Melaka dan Laut China Selatan, menjadikan kapal dagang Malaysia sebagai mangsa.

Menurut akhbar Harian Metro, kumpulan-kumpulan ini dilengkapi bot laju dan senjata api.

Dengan memetik sumber, akhbar itu menamakan tujuh kumpulan tersebut sebagai Gang Wak Yon, Wak Jet, Gang John, Gang Dapit, Gang Deni, Gang Asmi, dan juga Gang Johar – semuanya memiliki ahli dari Indonesia.

Kumpulan-kumpulan ini nampaknya sudah bergiat aktif sejak 15 tahun, dan biasanya menyerang pada waktu malam atau awal pagi.

“Perisikan mendedahkan yang kumpulan ini berpangkalan di beberapa pulau yang ‘strategik’ di Selat Melaka.

“Mereka ini, yang terdiri daripada suku Buton, dan bukan sahaja sangat mahir dengan pelayaran dan laut, malah mampu merampas kapal hanya dengan bersenjatakan parang besar,” kata sumber itu seperti dipetik.

Menurut sumber itu lagi, setiap kumpulan lazimnya memiliki antara tujuh dan 12 ahli, dan semuanya dilengkapi senjata. Mereka menggunakan bot laju sebagai pengangkutan utama.

“Kami percaya yang lanun-lanun ini menggunakan ratusan pulau kecil di selatan Sumatera untuk bersembunyi.

“Perisikan juga telah mendedahkan yang sebahagian kumpulan didalangi oleh penjenayah yang berpangkalan di Singapura, yang menyalurkan maklumat tentang kapal yang menggunakan laluan kepada mereka dan merancang rampasan,” katanya lagi.

Kebanyakan rampasan bukanlah kebetulan atau tuah. Sebaliknya, ia rompakan yang dirancang rapi,” katanya lagi.

Menurutnya, ada juga berlaku di mana anak kapal yang dirampas didapati bersubahat dengan mereka.

Akhbar itu turut bercakap dengan timbalan ketua pengarah (operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Ahmad Puzi Ab Kahar yang mendedahkan, kumpulan lanun mutakhir ini sudah mula mensasarkan kapal yang membawa minyak dan gas.

Pesisir pantai Johor nampaknya menjadi kawasan kegemaran lanun untuk membuat serangan, dengan sebanyak 18 buah kapal dirampas sejak dua tahun lalu – termasuk Orkim Harmony.

Manakala hanya enam kes seumpama itu dilaporkan berlaku di Pantai Timur untuk tempoh yang sama.
Beliau mengakui bahawa tugas menjaga semua kapal yang melalui antara selat paling sibuk di dunia itu sebagai amat mencabar.

“Ratusan ribu kapal pedagang dan kapal nelayan melaluinya setiap tahun.

“Ini berlaku dengan peranan negara seperti China, Taiwan, Jepun dan Korea Selatan yang semakin besar dalam perdagangan antarabangsa,” katanya.

Ahmad Puzi berkata, mereka akan mengekalkan pengawasan setiap masa dan pemeriksaan berkala di laluan air di sekeliling Malaysia.

“Walaupun acaman kegiatan lanun di negara ini masih di bawah kawalan, kami tetap perlu meningkatkan penguatkuasaan,” katanya lagi seperti dipetik.

Seperti yang dilihat dalam rampasan MT Orkim Harmony baru-baru ini, perampas biasanya mereka yang ganas dan terdesak, serta sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat apa yang dimahukan.

Mereka sanggup menembak tukang masak kapal warga Indonesia ketika dia cuba untuk melawan.

Lanun mungkin bukanlah penjenayah paling pintar, tetapi mereka ternyata lebih berbahaya berbanding kebanyakan penjenayah – mereka dilengkapi senjata dan dipandu oleh sifat tamak, marah dan gerak hati.

Polis, Tentera Laut dan APMM memerlukan lebih daripada bot laju untuk melawan ancaman ini.

Mereka perlu dilengkapi dengan kenderaan dan peralatan yang mampu menyaingi lawan mereka. Untuk itu, mereka memerlukan peruntukan yang lebih besar dalam Belanjawan Negara.

Kemudian, bot, kapal dan peralatan yang lengkap ini perlulah digunakan sebaik mungkin. Ini boleh dibuktikan dengan membanteras ancaman lanun secara seluruhnya, dan tiada lagi pencerobohan warga asing bersenjata ke kawasan perairan kita.

Perkara terakhir yang kita perlukan adalah satu lagi projek gajah putih yang mahal tetapi tidak bertaring, seperti Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Laporan menyatakan APMM dalam proses memohon ekstradisi bagi lapan suspek rampasan MT Orkim Harmony yang ditahan di Vietnam, untuk dibicarakan di Malaysia.

Semoga penjahat ini akan dibicarakan dan dihukum dengan hukuman tegas yang dapat memberi pengajaran kepada lanun dan mereka yang berniat terjun ke dunia itu.

Pada masa ini, kita tidak menembak lanun dan menyoalsiasat seperti yang dilakukan pasukan keselamatan Amerika. Apa yang kita boleh lakukan adalah menjatuhkan hukuman berat dan menghindarkan mereka dari laut untuk tempoh yang lama.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Lanun-mungkin-kurang-licik-namun-tetap-ancaman-yang-berbahaya#sthash.81BkGlhl.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-