Untuk PAS sebagai suatu entiti politik, keputusan pemilihan parti tersebut telah ‘membunuh’ peluang pemimpin Melayu generasi baru mereka yang terdiri dari kalangan profesional dan sederhana untuk merelevenkan parti PAS dalam arus politik baru.
Sebelum peristiwa politik 1998, parti PAS dilihat sebagai parti kampong, parti Pak Lebai, parti buat peniaga kecil Melayu yang terpinggir dan parti dengan imej sebagai parti utara atau pantai timur sahaja, malah dilihat sebagai parti Taliban yang ekstrem.
Namun, ledakan politik ketika pemecatan DS Anwar Ibrahim, telah menjadikan PAS wadah baru bagi kumpulan profesional Melayu untuk disertainya.
Sejak itu, PAS menjadi amat dominan apabila muncul tokoh-tokoh seperti Ir. Khalid Samad, Dr Zulkifli, Dr Mujahid hingga sekarang seperti Ir.Nizar Jamaludin dan lain-lain, sebagai tokoh politik yang mampu mencabar ketokohan pemimpin UMNO yang sedia ada.
Namun tokoh-tokoh professional ini ‘dibunuh’ ketika kemuncak sokongan dan ketrampilan karisma mereka dapat dilihat oleh rakyat, baik Melayu Islam mahupun yang bukan muslim.
Pakatan Rakyat
Sungguhpun Anwar Ibrahim dilihat sebagai penyatu parti pembangkang selepas pembebasannya pada 2004 sehingga wujudnya Pakatan Rakyat, faktor tersembunyi yang melicinkan kerjasama antara DAP dengan PAS adalah bilamana keberadaan tokoh-tokoh progresif (profesional dan moderat) ini didalam PAS.
Tanpa adanya mereka, mungkin liat bagi DAP untuk bekerjasama dengan ustaz-ustaz pondok yang lebih gemar berceramah menghentam UMNO dengan ayat-ayat Quran. Apatah lagi pengalaman buruk ketika berkerjasama dengan PAS sebelum era Pakatan Rakyat, iaitu Barisan Alternatif.
Hasil kelicinan kerjasama ini, maka berlaku perubahan senario politik arus perdana, hingga berlaku tsunami politik 2008. Dari situ, lama-kelamaan ketokohan dan kemampuan kumpulan progresif ini menjadi kecemburuan dikalangan ustaz-ustaz konservatif yang telah lama berada didalam PAS hingga munculnya label puak Erdogen, Anwarinas, Jebon dan sebagainya.
Dan hari ini, kumpulan tersebut telah dihumban keluar menerusi pemilihan oleh ahli-ahli PAS yang mahukan parti mereka kekal dengan imej 70-80an, parti ulama, ustaz dan pak lebai.
Mengimbau sejarah
Sebelum wujudnya senario politik hari ini, penyertaan kumpulan progresif (sederhana dan profesional) ini ke dalam PAS juga adalah atas usaha dan tarikan kuat Allayarham Dato’ Fadzil Noor, Presiden PAS.
Ketokohan dan politik Ust. Fadzil Noor inilah yang menjadi magnet kuat hingga berjaya menarik kumpulan profesional menyertai PAS. Penyertaan kumpulan ini bukan hanya sekadar reaksi terhadap politik kotor UMNO, tetapi yang lebih utama adalah untuk menjadikan PAS sebagai parti pencabar kuasa UMNO yang terkuat. Bukan PAS sebagai UMNO no.2.
Fadzil Noor sebagai Presiden PAS yang sederhana ranah politiknya dilihat sebagai alternatif kepada tokoh-tokoh lain selaian daripada UMNO. Maka penyertaan kumpulan sederhana dan profesional ini, kini menjadi satu legasi terhadap usaha Fadzil Noor untuk menjadikan PAS sebagai parti politik nasional. Parti untuk Bangsa Malaysia.
Maka ‘pembunuhan politik’ ini juga adalah ‘pembunuhan legasi’ politik Dato Fadhil Noor. Ia amat menyedihkan apabila melihat sesuatu yang telah dibina dengan asas yang baik, kemudian dicemar dengan cara yang cukup licik dan hodoh.
Apa pun, perwakilan PAS telah membuat keputusan dan keputusan itu adalah pilihan mereka untuk masa depan mereka sendiri.
Kini terpulang kepada kumpulan progresif yang tewas dalam muktamar yang lalu, samada terus bangkit bekerja untuk membina kembali keyakinan rakyat atau terus kecewa dengan kekalahan ‘duniawi’ mereka.
Yang pasti, legasi Almarhum Ust. Fadzil Noor telah dibunuh dan dirampas oleh kumpulan konservatif di dalam PAS. Ini biasa terjadi dalam politik merebut kekuasaan.
Jika UMNO membunuh legasi Dato’ Onn hingga menjadi parti perkauman yang sempit, begitulah yang kita lihat dalam PAS pada hari ini. Sejarah telah berulang.
MAHDZIR IBRAHIM, AHLI DAP.
Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=286222:legasi-ustaz-fadzil-noor-dirampas&Itemid=2#ixzz3cQjvk7uG
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.