KUALA LUMPUR, 12 Jun:
Keputusan Muktamar Tahunan PAS Ke-61 yang meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP disifatkan kurang bijaksana dan dilihat terlalu mengikut emosi.
Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata keputusan tersebut dilakukan tanpa memikirkan implikasi jangka panjang melibatkan ahli parti tersebut yang memegang pelbagai jawatan di Pulau Pinang dan Selangor.
Menurutnya, berdasarkan Perlembagaan PAS, apabila Muktamar telah menerima usul tersebut maka ia adalah keputusan muktamad dan sekiranya benar-benar berlaku ia akan menjejaskan lebih lima ribu ahli PAS pelbagai peringkat di dua negeri tersebut.
“Apabila sudah putuskan hubungan dengan DAP, maka realitinya terkuburlah Pakatan Rakyat (PR) dan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor kini berada dalam keadaaan tidak stabil kerana ia dibentuk atas persetujuan tiga parti iaitu PAS, PKR dan DAP.
“Di samping itu, kesemua Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Ketua Kampung, Ahli Majlis Perbandaran dan Ahli Lembaga Pengarah Anak Syarikat Kerajaan Negeri perlu meletak jawatan dan ia akan menjejaskan punca rezeki lima ribu orang ahli PAS,” katanya kepada The Rakyat Post di sini hari ini.
Tambah Mohd. Azizuddin lagi, PKR kini perlu memainkan peranan bagi menentukan siapakah yang akan bersama-sama parti berkenaan untuk memerintah Kerajaan Negeri Selangor sekiranya hubungan PAS dan DAP berakhir.
Jelasnya, sekiranya PKR memilih untuk bersama-sama dengan DAP, maka mereka memerlukan sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS untuk melompat parti bagi memperoleh majoriti dalam DUN.
“Berdasarkan indikator sewaktu krisis Menteri Besar Selangor sebelum ini yang mana terdapat dua ADUN PAS yang menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail maka perkara tersebut dilihat tidak mustahil untuk berulang.
“Namun begitu, sekiranya tidak ada ADUN PAS yang melompat parti, Kerajaan PR Negeri Selangor akan berkubur begitu sahaja,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azizuddin menegaskan PAS perlu menyatakan pendirian sebenar parti tersebut sama ada ingin kekal dalam PR, mahu bekerjasama dengan UMNO bagi membentuk Kerajaan Perpaduan (UG) atau bergerak sendirian seperti terbentuk gabungan PR.
Katanya, sekiranya PAS ingin terus kekal dalam PR maka pimpinan parti tersebut harus berbaik-baik dan tidak berbalah dengan rakan komponen mereka dalam gabungan berkenaan.
“Sekiranya mereka ingin membentuk UG, PAS perlu segera mengisytiharkannya kerana ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia perlu mendapat persetujuan 14 parti komponen Barisan Nasional (BN) sekalipun UMNO sanggup menerima parti berkenaan.
“Sekiranya PAS ingin bergerak sendiri seperti sebelum ini, ia adalah satu tindakan yang terkebelakang kerana parti tersebut adalah parti nasional dan ia tidak hanya boleh tertumpu di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sahaja,” tegasnya.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/06/12/putuskan-hubungan-dengan-dap-keputusan-emosi-penganalisis/#ixzz3coTPwfDn
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.