SEKILAS PANDANG: Apa-apa perubahan kepimpinan dalam sesebuah organisasi akan sering menyebabkan kesan ke atas individu-individu berpangkat rendah dalam operasinya.
Oleh itu, mana-mana dasar dan keputusan perlu dibuat sama ada dengan perbincangan yang wajar dengan pihak-pihak berkepentingan, atau dengan perancangan terperinci yang wajar yang perlu dilaksanakan sehingga ke penghujungnya.
Apa-apa langkah separuh masak adalah berbahaya.
Kesan langsung daripada keputusan yang tidak wajar, dalam kebanyakan kes, adalah ketiadaan hala tuju dalam sebarang proses membuat keputusan organisasi itu.
Walaupun presiden PAS, Abdul Hadi Awang telah berjaya mempertahankan jawatannya bagi penggal yang ketujuh, sebahagian daripada ahli akar umbi terkejut dengan cara perwakilan-perwakilan telah 'diarahkan' untuk mengundi bagi barisan kepemimpinan beliau yang didominasi golongan ulama.
Di sebalik sikap angkuh pemimpin-pemimpin mereka, telah didedahkan pada hari mengundi bahawa puak konservatif telah menyediakan 'cai' (menu undian) untuk mengenal pasti calon-calon dari dua kem pesaing – golongan konservatif yang disokong Hadi dan kem progresif yang menyokong lawannya, Ahmad Awang.
Dan sebelum mengambil alih kepimpinan parti, perwakilan-perwakilan sayap PAS Dewan Ulama juga sebulat suara meluluskan usul tergempar supaya parti itu memutuskan hubungannya dengan DAP.
Para pemerhati berkata yang taktik ini boleh menjadi tanda terdesak oleh kem Hadi untuk mengambil alih kawalan ke atas parti Islam dan membendung pengaruh saingan mereka yang semakin meningkat, atas nama "mengembalikan PAS ke perjuangan teras Islamnya.”
Usul Dewan Ulama itu kemudiannya diluluskan tanpa perbahasan oleh perwakilan pusat PAS, dan pada 11 Jun akhbar berbahasa Melayu Sinar Harian melaporkan bahawa ia telah dilakukan di bawah arahan Hadi sendiri.
Sinar Harian memetik Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar yang mempengerusikan jawatankuasa usul muktamar ke-61, sebagai berkata bahawa usul itu sepatutnya dibahaskan, tetapi semasa mesyuarat itu Hadi mengarahkan beliau untuk meluluskan usul itu tanpa apa-apa perbahasan.
"Dalam mesyuarat itu, saya telah menyebut mengenai implikasi sama ada usul itu dibahaskan atau sebaliknya. Walau bagaimanapun, semua yang hadir bersetuju bahawa mereka mahu ia diluluskan tanpa perbahasan, jadi saya hanya mengikut arahan," kata ketua penerangan PAS itu.
Selain Abdul Hadi, mesyuarat itu juga telah dihadiri oleh penasihat rohani PAS Haron Din, timbalan presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, bekas timbalan presiden Mohamad Sabu dan setiausaha agung Mustafa Ali.
Walaupun Mahfuz menjelaskan bahawa perwakilan masih mempunyai mandat untuk meminta usul itu dibahaskan, tiada siapa yang hadir – termasuk anggota Majlis Syura Ulama – telah mengemukakan cadangan itu kepada pengerusi muktamar itu.
Kekeliruan yang timbul di kalangan ahli PAS – khususnya penyokong pemimpin-pemimpin progresif – telah menjadi lebih buruk disebabkan oleh keengganan Hadi untuk memuktamadkan keputusan muktamar ini.
Pada 10 Jun, Hadi telah mempengerusikan mesyuarat pertama barisan jawatankuasa pusat PAS 2015-2018 yang baru, tetapi tiada keputusan telah dibuat mengenai status hubungan parti itu dengan DAP.
Malaysiakini sebaliknya memetik Tuan Ibrahim sebagai berkata yang telah diputuskan bahawa enam ahli PAS yang tidak berjaya dalam pemilihan parti baru-baru ini akan dibawa masuk ke dalam jawatankuasa pusat, dan pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat pada 21 Jun.
Mengenai keputusan muktamar ini, Tuan Ibrahim mengesahkan bahawa ia terlebih dahulu perlu dibincangkan oleh majlis syura, dan ahli-ahli yang dilantik bagi jawatan di Pulau Pinang dan Selangor mesti terus menjalankan tugas mereka "seperti biasa".
PAS mempunyai kira-kira 1,100 anggota yang memegang jawatan lantikan dalam kerajaan negeri Pulau Pinang, dan kira-kira 5,000 jawatan di Selangor.
Setakat ini, hanya Mat Sabu dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusuf Rawa yang dilaporkan telah meletak jawatan daripada semua jawatan kerajaan negeri selepas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang juga merupakan setiausaha agung DAP, berkata yang beliau kini "tidak dapat mempertahankan" tindakan membenarkan ahli-ahli PAS untuk bekerjasama dengan beliau.
Dalam sebuah kenyataan pada 11 Jun, Lim berkata lagi: "PAS tidak perlu bersembunyi sepertimana Perdana Menteri Najib Abdul Razak bersembunyi daripada (bekas perdana menteri) Dr Mahathir Mohamad dalam isu skandal 1MDB, tetapi berani bertanggungjawab sepenuhnya kerana membunuh Pakatan Rakyat, apabila muktamar PAS meluluskan usul Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan dengan DAP tanpa membahaskannya."
"Secara logiknya, PAS harus mengarahkan wakil-wakil kerajaan mereka untuk meletakkan jawatan-jawatan mereka kerana mereka bukan lagi sebahagian dari Pakatan," katanya.
Para pemerhati berkata arahan yang sama juga perlu diberikan kepada ahli-ahli PAS di Selangor, walaupun timbalan presiden PKR dan Menteri Besar, Azmin Ali menggesa kedua-dua parti ini supaya tidak mengheret beliau ke dalam permainan "kebudak-budakan" mereka.
Kerana Hadi telah menggunakan pengaruhnya untuk meluluskan keputusan kontroversi itu, beliau harus dipertanggungjawabkan ke atas sebarang gangguan dan kekeliruan di kalangan ahli-ahli partinya, dan juga pentadbiran negeri-negeri yang dipimpin Pakatan.
Keberanian dan kejujuran adalah sifat yang perlu dimiliki seseorang pemimpin yang dihormati.
Maka adalah malang bagi Hadi untuk dilihat bersembunyi di sebalik Majlis Syura Ulama yang berpengaruh, sama seperti langkah "Keputusan Kabinet" Najib dalam skandal 1MDB.
Malah, Hadi mungkin akan menjerumuskan parti Islam itu dan Pakatan ke dalam kegawatan yang jauh lebih besar, daripada mengembalikan apa-apa kepada PAS dan memperkukuhkan parti itu seperti dakwaan beliau.
- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Hadi-mesti-bersikap-tegas-untuk-memperkukuhkan-PAS#sthash.9aqzhiem.dpuf
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.